Halaman

26 May 2011

Haji Abdullah Tokoh Guru Terengganu

Oleh; Esah Abdullah


Menteri Besar menyampaikan hadiah kepada Tokoh Guru, Abdullah Ali pada Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri, di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun. - Foto: Zulkipli Putra.

Usaha yang tidak mengenal jemu serta pengorbanan yang tidak pernah mengharap balasan sebaliknya menjadikannya sebagai tanggung jawab ‘wajib’ untuk mendidik anak bangsa supaya menjadi insan berguna kepada agama dan negara akhirnya membuahkan hasil yang tidak pernah termimpi olehnya.

“Saya tidak pernah mengharapkan anugerah atau penghargaan, tapi apa yang saya buat adalah untuk melihat generasi pelapis penuh ilmu didada,” kata Haji Abdullah Ali, Tokoh Guru Terengganu 2011.




Beliau yang dilahirkan 59 tahun lalu di Kampung Nyior, Paka, Dungun, Terengganu, lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan memulakan tugas sebagai pendidik pada 1976 di Sekolah Menengah Tengku Hussin, Johor.

Sepanjang tempoh 32 tahun bergelumang dalam bidang pendidikan dan pernah ditugaskan ke beberapa Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) antaranya, SMK Tengku Ampuan Intan, Dungun, SMK Pulau Serai, Dungun dan lain-lain lagi.

Haji Abdullah telah bersara dalam bidang perguruan pada 22 April 2008 dan kini bergiat aktif dalam kerja-kerja kebajikan dan memegang beberapa jawatan di tempat kelahirannya seperti Pengerusi jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Ketua UMNO cawangan.

Dengan anugerah berkenaan, beliau membawa pulang wang tunai RM5,000, senaskah al-Quran dan sepersalinan pakaian.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said telah menyampaikan hadiah bersempena sambutan Hari Guru Peringkat Negeri yang berlangsung di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun hari ini.

Turut menerima Anugerah Guru Berjasa ialah Haji Abdul Rahim Long, Jalan Pasir Panjang, Kuala Terengganu; Cheah Ah Tee @ Shieh Soon Yen, Wisma Tenang Kuala Terengganu dan Joachim A/L Joseph Masilamany dari Taman Permint Jaya, Chendering.