Halaman

25 May 2011

TDM Berhad catat keuntungan

Oleh: Suriati Ali


Ketua Pegawai Eksekutif TDM Berhad, Encik Badrul Hisham Mahari.

TDM Berhad syarikat pegangan pelaburan milik kerajaan negeri mencatatkan lonjakan keuntungan sebelum cukai sebanyak 67 peratus kepada RM129.2 juta untuk tahun 2010 berbanding RM77.5 juta tahun sebelumnya.

Ia seiring dengan peningkatan pendapatan kumpulan sebanyak 25 peratus daripada RM335.6 juta kepada RM420.4 juta, hasil daripada peningkatan pengeluaran di bahagian peladangan serta prestasi bahagian penjagaan kesihatan.

Ketua Pegawai Eksekutif TDM Berhad, Badrul Hisham Mahari berkata, bahagian peladangan mencatat keuntungan sebelum cukai berjumlah RM119.5 juta, iaitu peningkatan sebanyak 73 peratus.

''Bahagian penjagaan kesihatan pula telah mencatatkan kenaikan 47 peratus keuntungan sebelum cukai berjumlah RM11.2 juta," katanya,

Perolehan bagi suku tahun pertama tahun ini turut memperlihatkan prestasi kukuh dengan peningkatan 18 peratus kepada RM105.8 juta manakala keuntungan sebelum cukai bertambah 42 peratus kepada RM38.2 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

TDM kini mengendalikan 12 ladang kelapa sawit di negara ini dengan jumlah keluasan 33,284 hektar dan pertumbuhan masa depan dijangka datang daripada perkembangan perniagaan di Kalimantan, Indonesia.

''Kami yakin pelaburan di Kalimantan merupakan satu strategi yang tepat, ia membolehkan kami memperluaskan perniagaan teras dan sejumlah RM44 juta telah dibelanjakan," katanya.

Menurut beliau, selain meningkatkan bank tanah dan memastikan kemampuan pertumbuhan bahagian peladangan, ia menawarkan potensi hasil yang lebih baik berdasarkan keadaan tanah yang lebih subur, lebih mendatar dan edaran taburan hujan yang lebih tinggi.

''Sehingga kini, 25,000 hektar telah diperoleh daripada keseluruhan pakej 40,000 hektar tanah di Kalimantan dan TDM merancang untuk menyelesaikan kerja-kerja penanaman pokok bagi 20,000 hektar yang pertama dalam tempoh tiga tahun," ujarnya.

Katanya, bahagian penjagaan kesihatan terus kukuh sepanjang 2010 dengan peningkatan pendapatan sebanyak 19 peratus kepada RM78.0 juta dan kenaikan 47 peratus keuntungan sebelum cukai kepada RM11.2 juta.

Ia juga telah mencatatkan kenaikan sebanyak lima peratus bagi jumlah pesakit yang dirawat.

''Penjagaan kesihatan terus mencatat pendapatan dua angka iaitu 19 peratus manakala pertumbuhan keuntungan sebelum cukai naik sebanyak 47 peratus hasil daripada peningkatan jumlah pesakit dan juga aktiviti Bahagian Penjagaan Kesihatan," katanya.

Dengan catatan keuntungan pertama Hospital Pakar Kuala Terengganu sejak mula beroperasi pada 2006, ketiga-tiga hospital miliknya kini berjaya meraih keuntungan di samping mempertahankan keuntungan berterusan sejak 2007.