Halaman

26 May 2011

Jasa guru tidak ternilai dengan wang ringgit

Oleh: Esah Abdullah



Kerajaan negeri akan menaja 110 orang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Kebangsaaan (SK) membuat lawatan ke luar negara bermula Ogos depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, jasa guru tidak ternilai dengan wang ringgit dan sebagai menghargai jasa mereka yang mendidik anak bangsa hingga mencapai kejayaan sekaligus mengharumkan nama negeri.

‘Daripada jumlah berkenaan , 50 orang guru besar SK yang cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) akan dibawa melawat ke Korea pada cuti sekolah Ogos ini dan meninjau kelas maya yang ada di negara berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri, di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Haji Za'abar Mohd Adib; Pengerusi Yayasan Pelajaran Mara, Datuk Rosli Mat Hasan dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Razali Daud.

“Manakala 60 orang lagi terdiri pengetua SMK yang cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) (30) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) (30) akan dibawa melawat ke Perth, Australia,” katanya.



Menurut Menteri Besar, ini merupakan tahun ketiga kerajaan menaja lawatan guru-guru keluar negara di mana tahun lalu seramai 30 orang tapi tahun ini tambah 20 orang lagi memandangkan kita dah 10 tahun berturut menjadi negeri terbaik dalam keputusan peperiksaan itu.

Dato’ Seri Haji Ahmad juga memberitahu, seramai 10 orang guru cemerlang akan dibawa menunai umrah melalui penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Madinah yang akan berlepas pada 27 Julai nanti.

“Pemilihan calun guru cemerlang akan diserah kepada Jabatan Pelajaran negeri bagi menentukan guru mana yang paling layak menerima anugerah ini,” katanya.

Sementara itu katanya, seramai 3,500 orang guru Tahun Enam akan mula menerima pemberian komputer riba bermula akhir Jun ini.

“Kerajaan membelanjakan RM3 juta untuk tujuan berkenaan dalam usaha melestarikan pendidikan terbilang dan terus unggul di negeri ini,” katanya.

Bersempena dengan majlis berkenaan, Menteri Besar turut melancarkan dua buah buku berjudul ‘Janji ‘ dan Jejak Razali – Wira dan Tokoh Pendidik’ hasil karya Haji Mohamad Jusoh.