Halaman

25 May 2011

Kerajaan perlukan kakitangan bijaksana dan berinovatif

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan memerlukan penjawat awam yang berilmu, berkemahiran, bijaksana dan berinovatif bagi membolehkan berperanan secara berkesan dalam melaksanakan strategi pembangunan yang digariskan secara berhemah.

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, mereka perlu mempunyai mindset untuk membawa perubahan serta membentuk agenda dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.

“Rakyat merupakan pelanggan kepada perkhidmatan, lantaran itu kerajaan menaruh harapan tinggi kepada penjawat awam kerana rakyat memerlukan mereka yang boleh berfikir,” katanya ketika berucap di majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) peringkat negeri di Wisma Darul Iman semalam.

Katanya, kepuasan pelanggan perlu diutamakan supaya perkhidmatan awam terus relevan. Setiap kejayaan diukur menerusi penyampaian yang menepati kehendak dan cita rasa orang ramai selagi tidak melanggar garis panduan serta dasar yang diputuskan kerajaan.

“Marilah kita sama-sama menanam azam yang bersungguh-sungguh untuk meletakkan kecemerlangan sebagai keutamaan dalam setiap usaha yang dilakukan,” katanya.

Katanya, sebarang cabaran atau isu yang dihadapi hendakah di atasi melalui kaedah berfikir dan bertindak secara kreatif dan inovatif.

Dato’ Haji Mazlan berkata, pemahaman yang jelas terhadap matlamat yang hendak dicapai sangat penting justeru itu semuanya perlu bertindak sebagai satu pasukan.

Oleh itu katanya, semua ketua jabatan dan penjawat awam hendaklah sentiasa komited dalam memberi sumbangan dan khidmat bakti kepada kerajaan dan pentadbir negeri.