Halaman

22 May 2011

PENERANGAN UMNO TERENGGANU PALING AKTIF- AHMAD HJ MASLAN

Ketua Penerangan Umno, Dato'Ahmad Haji Maslan memberi perakuan bahawa pada masa sekarang, Biro Penerangan Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu (BPUNT)adalah yang paling aktif di negara ini.

Katanya, pelbagai program diatur sama ada kursus atau latihan memantapkan penceramah mahupun program-program ceramah dan penyebaran maklumat dan berita isu semasa kepada rakyat dijalankan.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program TOT penceramah Umno seluruh Terengganu bertempat di Kemaman baru-baru ini.

Seramai 200 orang penceramah Umno dari lapan bahagian Umno di negeri ini menyertai TOT selama tiga hari itu yang diketuai oleh Ketua Penerangan Umno BPUNT, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman.

Hadir sama Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong, Pegawai-Pegawai Agama di Pejabat Menteri Besar, Ustaz Kamalrudin Omar dan Ustaz Kamal Saidin.

Beliau meminta jentera penerangan terus dapat digerakkan bagi memastikan rakyat mendapat maklumat yang tepat dan benar mengenai isu-isu semasa.

Sementara itu, sewaktu bercakap kepada media selepas majlis beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri meminta isu video seks yang didakwa membabitkan pemimpin utama parti pembangkang diselesaikan secara proses undang-undang.

Menjawab soalan Teganukita, beliau berkata, pendakwaan boleh dibuat kepada sesiapa sahaja yang boleh disabitkan kerana telah banyak pendakwaan sebelum ini dilakukan kepada pihak yang terbabit dengan rakaman video seks.

"Apabila dibicarakan di mahkamah, semua persoalan dan keterangan dapat dibuat secara rasmi dan benar di kamar mahkamah dan orang awam tidak akan terkeliru lagi," katanya.

Laporan: Ruslan Abdul Rahman-Pengarang Teganukita.