Halaman

22 May 2011

Kampung Teknologi tingkat pengeluaran getah

Oleh; Esah Abdullah

Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan (Risda) telah mewujudkan Kampung Teknologi (KT) di semua daerah seluruh negeri dalam usaha memastikan peningkatan pengeluaran hasil pekebun kecil getah.

Pengarah Risda Terengganu, Haji Zakaria Mat Zin berkata, KT bertindak sebagai pusat pengilmuan dalam perkebunan getah, termasuk melaksanakan sistem torehan yang baik, pembajaan dan penggunaan peralatan perlindungan hujan.

“Setiap KT diberi modal permulaan RM10,000 untuk membeli peralatan berkaitan serta tambahan RM5,000 (tahun ini) bagi penambahabaikan pusat-pusat berkenaan,” katanya.

Katanya, pihak Risda juga menyasarkan pengeluaran sebanyak 1,500 kilogram (kg) getah setahun mulai tahun ini berbanding 1,407 kg tahun lalu.

“Dengan adanya pusat yang diwujudkan khas untuk meningkatkan hasil dan kualiti getah kita yakin tahap pengeluaran bahan berkenaan mampu mencapai sasaran,” katanya.

Menurutnya, KT bagi daerah Besut terletak di Kampung La, Kampung Hulu Seladang (Setiu), Teris (Hulu Terengganu), Tok Kah (Dungun), Perasing Jaya (Kemaman) dan Banggol Keratong bagi daerah Kuala Terengganu dan Marang.

Selain itu, beliau menyarankan semua pekebun getah dapat mengamalkan teknologi yang disarankan oleh pegawai Risda yang sentiasa memantau aktiviti torehan dan penjagaan kebun agar mendapat pulangan lumayan.

Katanya, tiga bulan pertama tahun ini, hasil pengeluaran getah agak memberangsangkan iaitu 360 kg dan untuk menghasilkan getah yang baik, setiap pokok hanya boleh ditoreh 15 kali dalam sebulan.