Halaman

22 May 2011

Semua daerah perlu skor 20 peratus dapat 5A

Oleh:Aida Abd Rahman

Semua Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) perlu memastikan sekurang-kurangnya 20 peratus murid di daerah masing-masing berjaya mendapat keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) supaya dapat merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk mencapai peratusan yang sama dalam peperiksaan itu tahun ini.

Pencapaian itu juga selaras dengan `program 201052’ yang mensasarkan 20 peratus pelajar UPSR seluruh Terengganu mendapat 5A.
Bagi keputusan peperiksaan UPSR tahun lalu, daerah Besut menunjukkan prestasi yang cemerlang dan mencatat rekod sebagai daerah terbaik apabila melepasi sasaran negeri dengan pencapaian 21 peratus pelajarnya mendapat keseluruhan A.

“Dalam keputusan UPSR yang lalu, Kemaman menjadi daerah yang paling tercorot dalam prestasi UPSR seluruh negeri.

“Oleh itu, saya minta Pengarah Pelajaran Negeri dan PPD merangka program yang khusus kepada guru meliputi kursus intensif bagaimana kaedah pengajaran yang betul merangkumi subjek Bahasa Melayu, Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris,” kata beliau dalam sidang akhbar selepas melancarkan Majlis Idolaku, Impianku, anjuran PPD Kemaman, di Dewan Sri Amar, Kemaman, petang tadi.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasek, Ir Rosli Othman dan wakil pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Ketua Penolong Pengarah Sains, Haji Muhamad Tawan dan Pegawai PPD Kemaman, Encik ZakariaHussin.

Program yang berbentuk kem jati diri dan pemantapan murid turut mengetengahkan Menteri Besar, sebagai idola dan ikon kepada kira-kira 1,000 murid yang berpontensi mendapat 5A supaya belajar lebih tekun dan tidak menjadikan kesusahan hidup sebagai alasan untuk gagal dalam pelajaran.

Menteri Besar berkata, jika sebelum ini tumpuan diberikan kepada guru, kini tiba masa memberi fokus kepada pelajar supaya dalam tempoh empat hingga lima bulan sebelum peperiksaan mereka berubah sikap dan dapat memotivasikan diri menerusi kem yang disediakan.

“Kita memberi tumpuan kepada 1,000 pelajar yang berpotensi , bagaimanapun ini tidak bermakna kita mengabaikan pelajar lain. Jika peperiksaan percubaan mereka tidak bagus, tidak semestinya peperiksaan sebenar mereka turut tidak mendapat keputusan yang baik.

“Tetapi sekurang-kurangnya kita ada kumpulan sasaran untuk meningkatkan pencapaian kita. Walaupun pencapaian di Besut amat baik, disebabkan prestasi di Kemaman rendah daripada sasaran kita menyebabkan pencapaian keseluruhan rendah,” katanya lagi.

Beliau berkata, kerajaan negeri berbangga dengan pencapaian keseluruhan dan kejayaan mengekalkan negeri terbaik untuk kali kesepuluh berturut-turut dalam UPSR, bagaimanapun kejayaan itu masih tidak memuaskan hati berikutan masih banyak ruang bagi membaiki keadaan dan mencapai hasrat 20 peratus.