Terengganu telah muncul juara dua kali berturut-turut iaitu pada Sukma Ke-12 (2008) dan Sukma Ke-13 (2010), jadi kita akan pastikan juara itu menjadi milik kita sekali lagi. - Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda
Terengganu berazam untuk mempertahankan kejuaraan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-14 yang akan berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor pada awal bulan depan.
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) merangkap Ketua Kontijen Sukma Terengganu, Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda berkata, Terengganu telah muncul juara dua kali berturut-turut iaitu pada Sukma Ke-12 (2008) dan Sukma Ke-13 (2010), jadi kita akan pastikan juara itu menjadi milik kita sekali lagi.
“Sasaran pungutan pingat keseluruhan adalah 57 pingat iaitu 27 emas, 18 perak dan 12 gangsa dan sumbangan pingat emas terbesar disandarkan melalui acara sukan kanu iaitu 10 emas,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan ke Pusat Latihan Sukma di Gong Badak, petang semalam.
Katanya, sumbangan pingat juga diletakkan pada acara berbasikal (4), judo (3), mendayung (3), lawan pedang (2) dan masing-masing satu bagi acara bola baling, bola tampar (pantai), futsal, ragbi dan softball.
Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Encik Zainal Abidin Hussin dan pengurus dan jurulatih pasukan yang akan bertanding.
Acara lain yang turut menjadi taruhan pingat termasuklah bina badan (gangsa), bola jaring (perak), bola keranjang (gangsa), ping pong (gangsa) dan tenis (gangsa).
“Kita akan menghantar 218 atlet lelaki dan wanita yang akan menyertai 15 acara yang menawarkan 92 pingat keseluruhan,” katanya.
Dato’ Haji Wan Ahamad berkata, semua atlet terbabit telah menjalani latihan intensif sejak beberapa bulan lalu di bawah bimbingan 24 jurulatih dan 10 pegawai.
“Setelah membuat tinjauan ke beberapa pusat latihan, saya berpuas hati dengan tahap disiplin dan semangat para atlet kita ketika ini dan yakin mereka mampu memberikan yang terbaik nanti,” katanya.
Temasya Sukma Ke-14 ini akan berlangsung 11 hari bermula 2 hingga 12 Jun depan dan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said akan melakukan penyerahan bendera Terengganu kepada Ketua Kontijen pada 30 Mei ini bertempat di Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man.