Halaman

26 May 2011

Penduduk Pulau Perhentian dapat tiga projek

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Kerajaan meluluskan peruntukan RM300,000 bagi membolehkan bekalan air diambil dari kawasan mata air yang dikenali air berani oleh penduduk tempatan di pulau ini.

Lawatan kerja sehari Menteri Besar ke Pulau Perhentian memberi makna yang besar kepada penduduk pulau ini apabila mereka mendapat tiga projek sekaligus, bagi menaik taraf hidup mereka.

Sempena lawatan itu, Menteri Besar mengumumkan kerajaan negeri bersetuju membina rumah pangsa empat tingkat mengandungi 150 unit bagi memberi kediaman lebih selesa kepada penduduk pulau ini.

Beliau berkata, kawasan tanah seluas lima setengah ekar sudah dikenal pasti bagi tujuan tersebut dan pembinaannya akan dilakukan secepat mungkin.

“Pada masa ini ada penduduk di pulau ini terpaksa berkongsi rumah antara tiga dan empat keluarga bagi sebuah rumah dan ini sudah tentu menimbulkan rasa kurang selesa kepada mereka,” katanya pada sidang media selepas menghadiri jamuan rakyat di pulau ini, malam ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Hal Ehwal Pengguna, YB Dr A.Rahman Mokhtar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco).

Dato’ Ahmad turut meluluskan pembinaan sebuah gelanggang futsal berhampiran jeti ke Pulau Perhentian bagi kegunaan golongan belia bermain futsal.

“Saya juga meluluskan peruntukan RM300,000 bagi membolehkan bekalan air diambil dari kawasan mata air yang dikenali air berani oleh penduduk tempatan di pulau ini,” katanya.