Halaman

22 May 2011

Kerajaan belanja lebih RM50 juta untuk belia

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kerajaan negeri membelanjakan lebih RM50 juta pada setiap tahun bagi menyediakan pelbagai keperluan, termasuk pemberian wang tunai kepada golongan belia dan remaja di negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kira-kira RM30 juta disediakan kerajaan untuk Program Bakti Remaja di mana wang tunai diberi kepada belia dan remaja yang layak pada setiap tahun.

“Kerajaan negeri amat prihatin terhadap keperluan golongan belia dan kita banyak mengadakan program yang bertepatan dengan kehendak mereka,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kemaman 2011, semalam.

Pada masa ini, katanya, kerajaan negeri menubuhkan Kelab Motosikal Remaja yang melibatkan keahlian kira-kira 32,000 orang di seluruh negeri.

“Peruntukan yang besar disalurkan kerajaan bagi membiayai program ini yang bertujuan mengatasi masalah mat rempit di seluruh negeri,” ujar beliau.

Menteri Besar berharap dengan pelaburan yang besar bagi membiayai program remaja, mereka akan memberi sokongan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana hanya parti itu yang mampu membela nasib mereka di masa depan.