"Dalam soal ini, kita tidak kiralah dari parti mana sekalipun, Umno, Pas, PKR atau mana-mana parti; orang-orang Melayu dan beragama Islam perlu mempertahankan agama rasmi negara ini yang sudah termaktub di dalam perlembagaan negara," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno, Bahagian Kuala Nerus, di sini petang semalam.
Beliau mahu orang Melayu dan umat Islam di negara ini sedar dan insaf bahawa jika terus berpecah, akan menjejaskan masa depan bangsa dan umat Islam, terutama ancaman oleh golongan tertentu dari parti tertentu yang sedang berusaha untuk menguasai negara ini dari orang Islam dan bangsa Melayu.
Kita tidak boleh tertolak ansur jika ada usaha-usaha untuk menghapuskan hak-hak istimewa orang Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi negara, bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dan raja-raja Melayu sebagai ketua negara dan negeri-negeri, katanya.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan Malaysia berharap golongan yang diperkudakan oleh pihak yang mengancam kedudukan agama Islam dan orang Melayu di negara ini dari kalangan orang Islam dan Melayu sendiri supaya kembali ke pangkal jalan.
Ucapan bernas dan telus beliau mendapat tepukan gemuruh beberapa kali dari kira-kira 1500 perwakilan dan pemerhati yang memenuhi Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu.
Dato' Seri Dr.Ahmad Zahid berkata, pihaknya tidak 'redha' sekali-kali kalau ada pihak sama ada di dalam Barisan Nasional (BN) atau di luar BN (pembangkang) yang cuba membangkitkan soal hak istimewa orang Melayu, kedudukan agama Islam dan bahasa Melayu dan Raja-raja Melayu sebagaimana yang telah termaktub dalam perlembagaan negara.
Kita Umno dan orang-orang Melayu sudah banyak bertolak-ansur dalam banyak perkara dan jika ada pihak yang mahu menggugat perkara-perkara yang telah dipersetujui bersama sebelum ini, sama ada di kalangan orang biasa atau golongan profesional, langkah mayat Umno dulu.
Oleh: Ruslan Abdul Rahman