Halaman

21 May 2011

Dewan baru di Hulu Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Penantian penduduk Hulu Terengganu untuk menggunakan kemudahan dewan orang ramai yang baru bakal menjadi kenyataan apabila kerajaan negeri meluluskan bajet pembinaan dewan itu yang dijangka akan dibangunkan pada tahun depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri melihat pembinaan dewan baru yang dimasukkan ke dalam bajet negeri tahun depan itu suatu keperluan yang cukup penting kepada penduduk daerah berkenaan bagi menggantikan dewan sedia ada yang semakin uzur.
“Pelan reka bentuk dewan baru itu sudah siap dan kita mahu melihatnya terlebih dahulu. Dewan baru ini lebih besar dan mampu menampung sehingga 3,000 orang pada satu-satu masa.

“Kos belum diputuskan lagi dan lokasinya bukan di tapak asal (Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu) tetapi bakal dibangunkan bertentangan dengan Hospital Hulu Terengganu yang juga berdekatan Kompleks Jabatan Kerajaan yang kini sedang rancak dibangunkan,” katanya ketika sidang akhbar di Majlis Mesra Veteran Umno Bahagian Hulu Terengganu Bersama pemimpin Tahun 2011, di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, semalam.

Turut hadir Ketua Bahagian Umno Hulu Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Pengerusi Majlis Veteran Umno Negeri, Dato’ Yahya Hashim; Timbalan Ketua Bahagian, YB Haji Rozi Mamat; Ketua Pergerakan Wanita Perhubungan Negeri, Senator Datuk Hajah Fatimah Hamat.

Hadir sama, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, YB Haji Mohd Nor Othman dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Berang, YB Haji Zawawi Ismail, ketua-ketua sayap parti serta Ahli Veteran Umno Bahagian Hulu Terengganu.

Menteri Besar berkata, Hulu Terengganu turut menikmati pembangunan yang hebat termasuk kemudahan jalan raya terutama di kawasan Ajil yang sudah dinaiktaraf serta sudah boleh digunakan orang ramai.

Katanya, tumpuan kerajaan negeri terhadap pembangunan di Hulu Terengganu juga selaras dengan usaha menjadikan Tasik Kenyir sebagai Pulau Bebas Cukai yang kini sedang rancak dibangunkan.