Halaman

21 May 2011

Umno yakin rampas empat kerusi pembangkang

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Umno Terengganu yakin sekurang-kurangnya empat daripada lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pembangkang pada pilihan raya umum lalu dapat dikembalikan semula kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13(PRU13).

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kenyataan ini dibuat berdasarkan realiti setelah mengambilkira sokongan semasa rakyat negeri ini kepada Umno dan BN.


Bagi menguatkan hujah tersebut, beliau yang juga Menteri Besar berkata, sepanjang tahun lalu Umno berjaya mendaftar 34,000 orang sebagai pemilih manakala Pas hanya mampu mendaftar 10,000 pemilih baru.

“Saya mahu memastikan semua pemilih yang kita daftar itu akan menyokong calon BN pada pilihan raya umum akan datang.

“Jika itu berjaya dilakukan kita bukan saja dapat mengekalkan pemerintahan BN di Terengganu, tetapi dapat merebut semula sekurang-kurangnya empat daripada lapan kerusi yang dimenangi pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kemaman yang disempurnakan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Mohd Yassin.

Dato’ Seti Haji Ahmad meminta semua pemimpin Umno di negeri ini supaya ‘turun padang’ pada setiap masa dan mengenal pasti masalah rakyat serta mendampingi golongan belia.

“Kita perlu ikut kehendak golongan belia dan menyediakan keperluan mereka bagi menambat golongan tersebut agar mereka menyokong Umno dan BN,” ujar beliau.