Halaman

16 May 2011

Ukom sentiasa bersama media

Oleh: Kamarudin Mat Akb dan Harun Hassan



Unit Komunikasi Negeri (Ukom) akan membantu media tempatan mendapatkan pelbagai maklumat semasa mengenai dasar-dasar dan program kerajaan negeri, bagi memastikan rakyat mendapat berita yang tepat mengenai kerajaan negeri.

Pengarah Ukom, Haji Shamsudin Sulong, berkata langkah ini selaras dengan penubuhan Ukom yang bertujuan menjadi penghubung antara kerajaan dengan rakyat dengan menyalurkan maklumat semasa mengenai aktiviti dan program yang dilaksanakan kerajaan kepada rakyat.

“Sebab itulah kita (Ukom) sentiasa mengadakan program-program seperti bicara media, retreat media, pemimpin di Terengganu Fm dan jelajah media bagi memberi peluang pemimpin kerajaan bertemu dengan media dan menyampaikan maklumat mengenai portfolio mereka kepada media,” katanya ketika berucap pada majlis Retreat Media 2011 di Pulau Kapas, malam tadi.

Sehubungan itu, katanya, Ukom akan mewujudkan hubungan secara ‘inter-person’ dengan pihak media bagi membantu memartabatkan lagi pentadbiran negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad Said.

“Kita mahu memastikan kerajaan yang mentadbir urus negeri ini diterima oleh rakyat dalam bentuk negatif dan positif serta sentiasa memberi sokongan kepada pemimpin dalam apa jua keadaan,” katanya.