Halaman

19 May 2011

Kontraktor disaran guna teknologi pembinaan moden

Oleh: Suriati Ali


Dato' Seri Haji Ahmad Said mencuba alatan yang dipamerkan pada Terengganu Trade Fair 2011 di Pusat Dagangan Terengganu. - Foto: Zul Putra.

Kontraktor disaran supaya melabur dan berusaha untuk menggunakan teknologi pembinaan terkini dan tidak bergantung selamanya kepada tenaga buruh yang murah.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, penggiat industri pembinaan terutama kontraktor sering kali tersepit di antara penggunaan buruh yang murah berbanding penggunaan teknologi yang menuntut kos yang lebih tinggi.

Bagaimanapun katanya, secara realitinya, kontraktor sebenarnya dapat mengurangkan penggunaan buruh dan mengaplikasikan penggunaan teknologi secara beransur-ansur.

“Ini kerana penggunaan teknologi dengan penggunaan buruh sekaligus dapat menuntut peningkatan kos secara mendadak. Pengurangan buruh dalam industri pembinaan bukan sesuatu yang boleh direalisasikan secara sekelip mata dan memerlukan masa untuk diguna pakai.

“Bagaimanapun, penggunaan teknologi ini juga perlu bagi menghadapi cabaran pada masa depan. Bermula pada tahun 2015, pasaran industri pembinaan di rantau ASEAN akan diliberalisasikan di bawah perjanjian AFAS (Asean Frameworks Agreement on Services), yang mana mengikut perjanjian ini, para kontraktor di rantau ASEAN bebas menawarkan perkhidmatan pembinaan di negara-negara ASEAN, termasuklah Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu katanya, para kontraktor haruslah bersedia dengan melengkapkan diri masing-masing dengan keupayaan yang sewajarnya.

Katanya, kontraktor perlu menilai keistimewaan dan kelebihan yang dapat ditawarkan berbanding dengan kontraktor lain bagi mendapatkan projek.

“Ketika ini, kita sering bersaing diantara kontraktor tempatan bagi membida sesuatu projek. Maka bagaimanakah sekiranya saingan di masa hadapan jika turut melibatkan kontraktor asing. Daripada sudut positif, liberalisasi ini juga membukapeluang para kontraktor untuk menerokai pasaran serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian sempena Terengganu Trade Fair 2011 dan Program Seminar anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia CIDB Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu di sini, semalam.



Penganjuran seminar itu merupakan sebahagian langkah kerajaan melalui CIDB bagi mengukuhkan serta menyebarkan maklumat terkini berkenaan perkembangan terbaru terhadap peraturan dan prosedur kerja di tapak pembinaan.

Ia juga berfungsi sebagai platform bagi mengumpulkan penggiat industri di bawah platform yang sama dan bertukar pandangan serta pendapat dalam meningkatkan kelancaran pelaksanaan projek.