Halaman

15 May 2011

Skuad Remaja Combi Kampung Batu Enam, Chendering dilancarkan

Oleh: Aida Abd Rahman

Peristiwa kehilangan nyawa akibat demam denggi yang berlaku di Kampung Batu Enam, Simpang Empat, Chendering mencetuskan idea penubuhan Skuad Remaja Combi (Aktiviti Pencegahan dan Kawalan Demam Denggi Pendekatan Perubahan Tingkah Laku dan Komuniti Melalui Komunikasi) yang dilancarkan secara rasmi Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, di Pantai Chendering, Kuala Terengganu, semalam.

Dato' Seri Haji Ahmad menyampaikan sijil pelantikan anggota Skuad Remaja Combi sempena Program Sehari Bersama Menteri Besar Terengganu di DUN Batu Buruk.
Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Pegawai Pembangunan DUN Batu Buruk, Dato’ Haji Che Mat Jusoh dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail.

Seramai 25 ahli yang terdiri daripada sembilan remaja perempuan menganggotai skuad yang mula ditubuhkan sejak September lalu susulan tiga kes wabak denggi yang mengakibatkan seorang mangsa meninggal dunia di kampung itu selepas musim banjir tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Encik Mainong Ali, berkata kejadian wabak denggi itu benar-benar menimbulkan kesedaran kepada penduduk setempat dan tercetusnya penubuhan skuad berkenaan.

Katanya, skuad berkenaan bersama JKKK dan masyarakat kampung bekerjasama menjalankan gotong-royong dua kali sebulan bagi memastikan persekitaran kampung sentiasa terjaga dan bersih, sekaligus mengelakkan daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

“ Hasil semangat sukarelawan, skuad ini berjaya merealisasikan hasrat membasmi kejadian wabak denggi daripada berulang. Kini, masalah itu terkawal dan kami berharap tiada lagi kes berkenaan terjadi di kawasan kami.

“Pelancaran secara rasmi skuad ini pada hari ini juga menyuntik lebih semangat kepada anggota skuad untuk terus menjalankan kerja sosial yang dapat memberi manfaat kepada semua komuniti di kampung kami,” katanya.