Halaman

19 May 2011

Nenek aktif politik sejak 1957 penerima Anugerah Jasamu Dikenang

Oleh: Aida Abd Rahman



Seorang nenek kepada enam cucu ini aktif bergelumang dengan dunia politik sejak 53 tahun yang lalu, malahan menyandang jawatan Ketua Wanita Umno Cawangan Pulau Bahagia bermula 1960 hingga kini.

Atas tiket itu, Hajah Gayah Ismail, 72, dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir menerima pengiktirafan Anugerah Jasamu Dikenang bersama 20 veteran Umno yang lain sempena Majlis Mesra Veteran Umno bahagian Hulu Terengganu Bersama Pemimpin Tahun 2011, di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang merangkap Setiusaha Perhubungan Umno Negeri; pengerusi Majlis Veteran Umno Negeri, Dato’ Yahya Hashim; Timbalan Ketua Bahagian, YB Haji Rozi Mamat; Ketua Pergerakan Wanita Perhubungan Negeri, Senator Datuk Hajah Fatimah Hamat.

hadir sama, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, YB Haji Mohd Nor Othman dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Berang, YB Haji Zawawi Ismail, ketua-ketua sayap parti serta Ahli Veteran Umno Bahagian Hulu Terengganu.

Hajah Gayah yang juga Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian (1996-2001) berkata, jawatan Ketua Wanita Cawangan yang kekal disandang beliau sehingga kini pernah beberapa kali dicabar ketika proses pemilihan pemimpin cawangan, bagaimanapun ahli Umno di kampungnya lebih yakin terhadap kepimpinan yang ditunjukkan beliau sehingga jawatan itu tidak pernah bertukar tangan.

“Saya mengamalkan budaya mesra dan sentiasa mendekati generasi muda dan bersama-sama turun padang memberikan komitmen dalam apa jua program parti dan kemasyarakatan tanpa mengira siapa pihak penganjurnya.

“Segala tindakan saya dalam parti juga benar-benar ikhlas kerana mahu membantu bangsa Melayu dan memartabatkan agama serta tanah air selaras dengan perjuangan Umno,” katanya.

Seorang lagi penerima anugerah itu, Haji Ismail Ali, 83, dari kampung Temir, DUN Telemong pula amat berbangga kerana dapat menjadi antara individu yang mempertahankan parti keramat itu sejak era sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi.

Bekas imam Kampung Temir itu berkata, walaupun pemimpin bersilih ganti, dia tetap akan terus memberi sokongan yang padu kepada parti dan tidak lupa memberi pandangan berguna kepada generasi muda supaya terus memperjuangkan Umno yang sudah banyak berjasa kepada agama, bangsa dan juga negara.

“Umno sudah banyak berjasa kepada anak bangsa dan negara. Jangan pula anak muda kita merosakkan parti yang sudah lebih 60 tahun membela nasib kita semua ini,” kata bapa kepada tujuh anak yang mula aktif dalam parti sejak 1963 sehingga kini itu.

Sementara Haji Sulaiman Jusoh, 87, dari Kampung Pelandan DUN Telemong pula menyanjungi pengiktirafan yang diterima daripada pemimpin negeri yang membuktikan generasi kepimpinan hari ini tidak melupakan golongan terdahulu sepertinya.

“Terima kasih kerana generasi pemimpin yang ada kini masih tidak melupakan orang lama seperti kita. Walaupun pemberian ini tidak seberapa, ia sudah cukup besar dan amat bermakna kepada golongan veteran yang masih setia menyokong segala kegiatan yang mengangkat martabat parti,” kata bekas AJK Umno Cawangan Pelandan itu.