Halaman

15 May 2011

Terengganu bangkit untuk mara ke final Piala FA

Oleh: Aida Abd Rahman

Bersandarkan kebangkitan yang ditunjukkan pemain ketika menentang Pahang selepas ketinggalan dua gol pada separuh akhir yang pertama malam kelmarin, tidak mustahil buat skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim mengulangi kemenangan di laman sendiri, esok seterusnya melangkah ke final Piala FA.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Dato’ Che Mat Jusoh, berkata pihaknya tidak mahu mendabik dada dan terlalu yakin Terengganu bakal ke final Piala FA 2011 memandangkan resam bola sepak merupakan sesuatu perlawanan yang sukar dijangka biarpun pemain menunjukkan permainan yang baik sepanjang 90 minit persaingan.
“Saya tidak boleh meletakkan keyakinan seratus peratus memandangkan bola itu bulat, apa saja boleh berlaku. Bagaimanapun bersandarkan keadaan yag berlaku semalam dan kelebihan pemain dalam pasukan, saya berasa Insya-Allah, pasukan Terengganu boleh terus mara (ke final),” katanya ketika mengulas mengenai pencapaian Terengganu selepas memenangi perlawanan separuh akhir di Stadium Darul Makmur, malam kelmarin.

Beliau ditemui ketika mengiringi Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad dalam Program Sehari Bersama Menteri Besar Terengganu di Dewan Undangan Negeri Batu Buruk, di Pantai Chendering, semalam.

Terengganu berjaya mengatasi lawan yang berkelebihan dua gol pada separuh masa pertama, hasil tiga jaringan yang hadir dalam tempoh masa 27 minit terakhir perlawanan, bagi memastikan pasukan Penyu mengatasi Pahang, 3-1.

Mengulas kemenangan itu, Dato’ Che Mat berkata, suntikan semangat yang diberikan ketika waktu rehat selepas pasukan ketinggalan dua gol memberi keyakinan kepada pasukan untuk beraksi dengan lebih baik dan menampilkan kekuatan sebenar.

“Semasa rehat separuh masa kedua, kita memberi suntikan semangat bahawa pasukan kita lebih baik daripada lawan dan kita perlu buktikan kemampuan dan kehebatan kita memenangi perlawanan di tempat lawan ini,” katanya

Malah, Terengganu juga memiliki kelebihan apabila lima pemain pasukan itu terpilih menyertai skuad Kebangsaan dan inya perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin dengan meneruskan prestasi terbaik bagi membuktikan bahawa pemilihan mereka sebagai pemain negara tepat.

Lima pemain yang disenaraikan termasuk Mohd Ashaari Shamsuddin, Mohd Sharbinee Allawee Ramli, Ismail Faruqi, Zubir Azmi dan Helmi Ramli.

Beliau berkata, pemain diberikan rehat secukupnya sejurus perlawanan malam itu (di Pahang) dan hanya keluar memanaskan badan petang semalam serta menjalani latihan pada awal pagi ini, selain memberi peluang mereka meluangkan masa bersama keluarga sebelum menjelangnya perlawanan penentuan malam esok.

Dato’ Che Mat juga menasihatkan penonton lebih berdisiplin, tidak menimbulkan provokasi dan menjaga tingkah laku sepanjang menyaksikan perlawanan akan datang bagi mengelak insiden yang memalukan dan perkara tidak diingini berlaku.