Halaman

15 May 2011

Kekurangan katil di HSNZ selesai akhir tahun

Oleh: Esah Abdullah

Kekurangan katil-katil di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu bakal berakhir apabila pembinaan Kompleks Materniti yang sedang dalam pembinaan dijangka siap akhir tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr. A. Rahman Mokhtar berkata, kompleks berkenaan menyediakan 315 katil dan berharap dapat memberi keselesaan kepada pesakit.

“Setakat ini HSNZ mempunyai 821 katil dan kerap mengalami kesesakan terutama di Wad Kelas Dua dan Kelas Tiga,” katanya.

Menurutnya, HSNZ satu-satunya hospital kerajaan di Daerah Kuala Terengganu yang menampung perkhidmatan kira-kira 367,800 penduduk sekitar Kuala Terengganu dan 106,500 penduduk Marang.

“HSNZ juga merupakan hospital pakar pusat rujukan kes dari seluruh negeri dan kadar penggunaan katil menunjukkan peningkatan yang ketara setiap tahun iaitu 72.1 peratus (2006), 74.36 peratus (2010) dan tiga bulan pertama tahun ini sebanyak 72.28 peratus,” katanya.

Menurut YB Dr. A. Rahman, terdapat kemasukan kes-kes ke wad tertentu melebih jumlah katil sedia ada dan dalam situasi begini katil-katil tambahan akan digunakan bagi menampung keperluan berkenaan.

Katanya, kerajaan sentiasa memikirkan bagaimana untuk memberi kepuasan kepada seluruh rakyat dan usaha sentiasa dibuat termasuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk kesejahteraan masyarakat.