Halaman

17 May 2011

Ibu bapa perlu tegas tangani anak merempit

Oleh: Aida Abd Rahman

Gejala sosial khususnya kegiatan merempit di negeri ini perlu ditangani secara serius oleh ibu bapa dan penjaga termasuk memantau pergerakan serta mengenakan hukuman sewajarnya seperti merotan sebagai pengajaran kepada anak masing-masing.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata beliau kesal dengan sikap segelintir ibu bapa yang seakan-akan takut untuk memarahi perilaku tidak baik anak sendiri walaupun mengetahui perbuatan anak mereka bertentangan dengan perundangan.
Beliau turut mengakui masalah remaja terlibat dengan gejala merempit di Terengganu agak serius dan tindakan tegas pihak berkuasa bagi menangani gejala itu masih belum mencukupi berikutan tindakan ibu bapa yang hanya melihat sahaja perbuatan anak mereka, malah tidak kurang yang menyalahkan pihak berkuasa apabila anak mereka dikenakan tindakan.

"Terengganu salah satu negeri yang serius dengan gejala ini. Perdana Menteri pun pernah sebutkan masalah ini. Pada Hari Raya ketika orang sedang solat hari raya, mereka (mat rempit) dengan berpakaian baju raya pun boleh merempit dan berlumba motosikal.

“Sekarang pun masih berlaku dan sampai bila. Takkan polis mesti tinggal solat untuk mengawal mereka. Ini yang menjadi masalah,” katanya ketika mengulas kejadian seorang kanak-kanak 11 tahun yang dilanggar mat rempit ketika lari dari sekatan polis di sini, petang Ahad.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, Ahmad Fakri Azni, dari Kampung Seberang Baruh, Kuala Terengganu cedera parah dan koma akibat dirempuh mat rempit yang cuba melarikan diri dari sekatan jalan oleh polis kerana dikatakan tidak mempunyai lesen memandu.

Mangsa, Ahmad Fakri yang patah tulang belakang, retak tempurung kepala, menerima tujuh jahitan di kepala, luka di tangan dan badan akibat rempuhan dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Suspek berusia 18 tahun dari Kampung Tok Imam Lapar, Kuala Telemong, Hulu Terengganu dipercayai ditahan polis tidak lama selepas insiden langgar lari itu.

Sementara itu, kerajaan negeri sedang mengenal pasti tapak yang sesuai bagi membina litar lumba yang bertujuan mengekang kegiatan mat rempit di jalanan.

“Saya sudah mengarahkan Exco Belia dan Sukan mencari tapak yang sesuai untuk kita bangunkan litar itu nanti,” katanya lagi.

Malah, beliau turut menyatakan kesudian kerajaan negeri untuk menyediakan latihan dan penajaan sepatutnya sekiranya terdapat anak Terengganu yang mempunyai bakat serta minat untuk menjadi pelumba profesional.