Halaman

15 May 2011

Penduduk berjanji kembalikan Batu Buruk kepada BN

Oleh: Suriati Ali




Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN), Batu Buruk berazam akan mengembalikan kawasan itu kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 selepas 20 tahun dipimpin Parti Pas.

Lebih bersemangat lagi selepas mendengar janji Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said akan membina 1,000 unit rumah mampu milik sekiranya DUN Batu Buruk berjaya ditawan BN.

Dalam setiap ucapan sempena Program Sehari Rakyat Bersama YAB Menteri Besar yang melibatkan 11 kawasan DUN Batu Buruk, Dato’ Seri Haji Ahmad tidak lupa menghebahkan perkara itu supaya rakyat mengingatinya selain berpesan mengundi BN.

Antara kawasan yang dikunjungi bermula jam 7.30 pagi tadi, termasuk Pantai Chendering, Taman Seri Desa Chendering, Pusat Komuniti Kampung Raja, Taman Permin Jaya,Pusat Komuniti Che Kundor dan Taman Bukit Bayas.



Pada sebelah malam pula, Dato’ Seri Haji Ahmad hadir mendengar ceramah politik, jamuan makan malam bersama rakyat dan seterusnya menyampai hadiah kepada warga berjasa, rumah terbersih.

Turut hadir dalam program sehari itu, Pegawai Pembangunan DUN, Dato’ Che Mat Jusoh; Pegawai Pembangunan Parlimen yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh; Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail dan beberapa pemimpin masyarakat

Seramai 26,344 pengundi pemilih di DUN Batu Buruk yang melibatkan 11 peti undi termasuk Peti Undi (PU) Pantai Batu Buruk, PU Kenanga, PU Kampung Nibong, PU Gong Tok Nasek, PU Bukit Depu, PU Permin Jaya, PU Chendering, PU Chendering Pantai, PU Kolam Kuala Ibai, PU Kuala Ibai dan PU Mengabang Tengah.

Seorang penduduk, Idris Mahmud, 40 ketika ditemui pemberita Teganukita berkata, dia kesal dengan sikap pemimpin Pas yang langsung tidak mengambil peduli kebajikan rakyat walaupun mengetahui terdapat penduduk di kawasan ini berada dalam kesusahan.

Katanya, jika ada kematian, berlaku bencana alam atau sebagainya, mereka hanya berdiam diri sebaliknya pemimpin BN yang datang membantu.

“Saya sedih sekiranya ada penduduk di negeri ini masih mengundi parti Pas pada pilihan raya akan datang yang sememangnya sudah terbukti tiada hala tuju,” katanya.