Bantuan persediaan berupa wang tunai RM500 hingga RM1,000 yang disediakan kerajaan negeri kepada pelajar yang bakal menjejakkan kaki ke menara gading selepas mendapat keputusan yang baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menceriakan golongan itu, malah memberikan mereka lebih semangat untuk menyambung pengajian masing-masing.
Seorang pelajar, Farhana Najwa Mohd Akhir, 18, dari Taman Jaya Kijal, Kemaman berasa bertuah kerana menjadi salah seorang anak Terengganu yang mampu meraih pelbagai peluang dan bantuan yang disediakan kerajaan negeri.
“Saya rasa bertuah kerana kerajaan sentiasa bantu pelajar negeri ini dalam pelbagai aspek. Bantuan hari ini amat bermakna kerana dapat meringankan bebanan keluarga saya untuk menyediakan bajet bagi membeli pelbagai barangan sebagai persiapan sebelum memasuki pusat pengajian tinggi tidak lama lagi,” kata bakal penuntut Diploma Pengurusan Bank, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dungun.
Bagi Mohd Ramsyamjani Mohd Lazim, 18, dari Rhu Rendang, Marang, bakal mengikuti Diploma Sains UiTM Kampus Chendering, Kuala Terengganu pula bersyukur dengan bantuan kerajaan negeri kepada golongan pelajar seperti mereka.
Kata bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu yang mendapat 6A 3B 1C dalam SPM lalu, bantuan itu amat wajar dan selari dengan kepimpinan kerajaan negeri yang sentiasa mementingkan kebajikan dan keperluan rakyat terutama dalam sektor pelajaran.
“Bantuan ini cukup bernilai buat kami dan kami lebih bersemangat untuk melangkah ke menara gading serta belajar dengan gigih dalam pelajaran supaya mampu mencapai hasrat dan cita-cita kami kelak,” katanya lagi.
Sementara bekas pelajar SMK Badrul Alam Shah, Kemaman, Zamira Zanilabidin, 18, turut berkongsi kegembiraan mendapat wang bantuan persediaan itu dan berhasrat menggunakan wang itu bagi membeli barangan yang penting untuk ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kedah, beberapa hari lagi.
Anak kepada pekerja ladang di Seri Bandi, Kemasik, Zanilabdin Mohamad, itu menganggap bantuan itu dapat menampung perbelanjaannya sebelum ke UTM nanti, sekaligus dapat membantu meringankan beban bapanya yang hanya bekerja buruh.
“Syukur dengan apa yang diterima ini. Saya akan belajar dengan lebih tekun dan mungkin kejayaan yang diraih apabila bergelar graduan nanti membolehkan saya menikmati insentif dan ganjaran yang disediakan kerajaan,” kata bakal penuntut Diploma Sains Kuantatif itu lagi.
Kerajaan negeri menerusi Yayasan Terengganu memperuntukkan RM1.5 juta kepada 2,482 pelajar seluruh Terengganu yang bakal melanjutkan pelajaran peringkat matrikulasi dan diploma di Institusi Pengajian Tinggi Awam seluruh negara.
Daripada jumlah itu, seramai 1,407 pelajar menerima RM500 seorang bagi mengikuti kursus matrikulasi, manakala selebihnya menerima RM750 setiap seorang bagi pengajian peringkat diploma.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan memperuntukkan RM703,500 bagi kursus matrikulasi dan sejumlah RM808,250 bagi program diploma yang melibatkan peruntukan keseluruhan RM1, 511,750.
“Jumlah ini tidak termasuk pelajar yang telah menyertai kursus atau memasuki asrama penuh. Asrama penuh dan sijil masing-masing akan mendapat RM500 seorang dan peringkat ijazah akan menerima RM1,000 seorang bagi kemasukan September ini.
“Ini juga tidak termasuk mereka yang menyambung pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Swasta kerana mereka perlu melapor diri (di IPTS) terlebih dahulu. Berdasarkan surat pengesahan lapor diri itu kita akan bayar,” katanya ketika sidang media selepas menyampaikan bantuan persediaan YT ke IPT Peringkat Matrikulasi/Diploma Sesi 2011/2012, di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, baru-baru ini.