Halaman

16 May 2011

Kerajaan bangga PM bantu promosi candat sotong

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan




Kesudian Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, ‘turun padang’ mempromosikan program mencandat sotong di Terengganu, menjadi daya tarikan kepada banyak pihak bagi menganjurkan acara tersebut pada masa depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Datuk Haji Abdul Rahin Mohd Said, berkata kerajan negeri cukup berbesar hati apabila pemimpin nombor satu negara turut melapangkan masa membantu kerajaan negeri mempromosikan pogram mencandat sotong.

“Kerajaan negeri yakin selepas ini banyak pihak akan sama-sama membantu mempromosikan program mencadat sotong selepas menyedari ia juga mendapat perhatian Perdana Menteri, bagi menarik pelancong ke Terengganu,” katanya pada sidang media sempena Program Retreat Media 2011 di Pulau Kapas, malam tadi.

Sebelum itu, beliau turut menikmati makanan malam berupa barbeku hasil laut, bersama-sama kira-kira 20 wartawan dan jurugambar tempatan.

Perdana Menteri menyempurnakan acara pelepasan peserta mencandat sotong di Pulau Duyong sempena Program Turun Padang beliau akhir bulan lalu.

Datuk Haji Abdul Rahin berkata, acara mencandat sotong yang bermula bulan Mac merupakan program permulaan pelancongan di negeri ini pada setiap tahun.

Sehubungan itu, katanya, ia perlu dipertingkatkan bagi menarik lebih ramai pelancong pada masa depan.