Halaman

19 May 2011

Usahawan kraf berdaya maju

Oleh: Esah Abdullah

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) sentiasa bersedia memberi perkhidmatan dan bantuan bagi membangunkan usahawan kraf di negeri ini.

Pengarah PKKM Cawangan Terengganu, Encik Zahir Ahmad berkata, antara bantuan yang disediakan adalah prasarana yang meliputi bengkel kerja dan mesin jentera serta latihan untuk tenaga pelapis dan bimbingan teknikal produk.

“Kita juga bersedia memberi perkhidmatan dalam pembangunan rekaan baru, pasaran dan promosi serta pembangunan keusahawanan,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Koperasi Penenun Songket (Kopsongket) Terengganu di Chendering petang semalam.

Kopsongket telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, YB Dato’ Haji Mohamed Awang Tera. Hadir sama Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Terengganu, Encik Umar Sarim Saidin.

Mengikut kajian terakhir tahun lalu terdapat 891 usahawan kraf di seluruh negeri dan daripada jumlah berkenaan 665 merupakan pengusaha tenunan songket.

“Dengan jumlah berkenaan jelas menunjukkan bidang kraf utama di negeri ini adalah songket bukannya batik atau bidang lain dan kita patut berbangga serta harus berusaha melalui persatuan atau koperasi bagi memantap dan memertabatkan lagi industri ini di mata dunia,” katanya.

Selain itu katanya, sokongan kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) akan membuka lebih banyak peluang dalam usaha memajukan industri kraf di negeri ini.