Halaman

19 May 2011

Mesej veteran untuk generasi muda

Oleh: Aida Abd Rahman



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said meminta golongan veteran supaya menyampaikan mesej kepada anak cucu mereka agar terus memperjuangkan Umno sampai bila-bila.

“ Kita takut generasi sekarang sudah melupakan sejarah dan jerit perih perjuangan ayah dan datuk mereka mengenai perlunya mereka bersama Umno demi mempertahankan maruah bangsa, agama dan tanah air,” kata beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri ketika sidang media selepas melancarkan program Majlis Mesra Veteran Umno Bahagian Hulu Terengganu Bersama pemimpin Tahun 2011, di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, hari ini.
Turut hadir Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang merangkap Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri; Pengerusi Majlis Veteran Umno Negeri, Dato’ Yahya Hashim; Timbalan Ketua Bahagian, YB Haji Rozi Mamat; Ketua Pergerakan Wanita Perhubungan Negeri, Senator Datuk Hajah Fatimah Hamat.

Turut hadir Ahli Parlimen Hulu Terengganu, YB Haji Mohd Nor Othman dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Berang, YB Haji Zawawi Ismail, ketua-ketua sayap parti serta Ahli Veteran Umno Bahagian Hulu Terengganu.

Menteri Besar berkata, jasa dan pengorbanan golongan veteran tidak pernah dilupakan, malah usaha dan keikhlasan mereka dalam memartabatkan parti sentiasa dipandang tinggi oleh kerajaan termasuk memberi pengiktirafan yang sewajarnya.

Malah, beliau juga mengingatkan supaya golongan veteran tidak berkecil hati jika ada pihak yang tidak menyanjungi dan memberi pengiktirafan sepatutnya berbanding dengan apa yang sudah diperjuangkan kerana apa sahaja kemuliaan yang sudah dilakukan akan mendapat balasan yang setimpal di sisi Allah s.w.t.

“Semoga perjuangan semua veteran Umno tidak berhenti di sini, malah akan terus menyumbang jasa dan bakti kepada kerajaan serta rakyat bagi memperkukuhkan pentadbiran kerajaan negeri.

“Golongan ini juga menjadi pendukung yang mampu menyemarakkan parti, sekaligus merupakan golongan yang berpengalaman dan mempunyai komitmen yang tinggi kepada parti Umno dan Barisan Nasional,” katanya.

Untuk rekod, seramai 45,000 ahli veteran Umno di seluruh Terengganu yang terdiri daripada mereka yang berusia 65 tahun ke atas.

Dalam majlis itu, Menteri Besar turut menyampaikan penghargaan kepada 21 veteran bagi Anugerah Jasamu Dikenang, iaitu masing-masing empat penerima di setiap Dewan Undangan Negeri dan lima Ahli Jawatankuasa Veteran Umno Bahagian Hulu Terengganu.

Lapan veteran Umno, masing-masing dua penerima dari setiap Dun turut menerima bantuan khas berupa kerusi roda dalam majlis itu.