Halaman

15 May 2011

Ahmad Tirmizi, Nor Hidayah johan tilawah

Oleh: Suriati Ali



“Saya berazam melakukan yang terbaik demi mencapai kejayaan peringkat kebangsaan dan seterusnya menaikkan imej Terengganu yang sememangnya berpegang kuat kepada ajaran agama Islam .

“Kemenangan ini adalah hasil sokongan ibu bapa tercinta yang tidak jemu-jemu memberi nasihat dan sokongan. Selain itu, ia menjadi pembakar semangat buat diri untuk terus cemerlang dalam hidup,” kata qari Ahmad Tirmizi Ali, 26 dari Kampung Che Lijah, Dungun.

Beliau berjaya menjadi johan sempena Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Terengganu tahun 1432H/ 2011M Kali Ke-54 yang diadakan di Stadium Tertutup Kompleks Gong Badak, Kuala Terengganu, malam kelmarin (12 Mei).

Ahmad Tirmizi sebelum ini pernah dinobatkan sebagai johan dalam program Akademi al-Quran TV9 tahun lalu; pertandingan Tilawah dan Menghafaz al-Quran peringkat antarabangsa di Morocco (Februari 2011) dan pertandingan Tilawah a-Quran peringkat negeri pada 2004 dan 2005.

Manakala qari Abdul Razak Mat Ripin dari Besut memenangi tempat kedua dan Abu Bakar Deraman dari Hulu Terengganu memenangi ketiga.

Manakala qariah pula, Nor Hidayah Abdul Rahman berasal dari Setiu diumum sebagai johan, Rafidah Omar dari Besut (kedua) dan Hajah Roziayati Mohd Ali dari Marang pula tempat ketiga.

Mereka yang berjaya menjadi johan dalam majlis tilawah yang bertemakan 1Malaysia 1Ummah itu, berjaya membawa pulang wang tunai RM7,000, pakej menunaikan haji, komputer riba, piala dan sijil penghargaan.

Manakala tempat kedua pula berjumlah RM5,000 dan ketiga berjumlah RM4,000. Johan qari dan qariah akan mewakili Terengganu ke peringkat kebangsaan yang bakal diadakan di Kuching, Sarawak pada 13 hingga 17 Jun depan.

Nor Hidayah berkata, persediaan awal akan dilakukan daripada pelbagai aspek terutama berkaitan kelemahan taranum bagi membaiki markah yang masih di tahap kurang memuaskan.