Halaman

19 May 2011

SKM beri pinjaman niaga hingga RM10 juta

Oleh: Esah Abdullah

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memberi pinjaman sehingga RM10 juta dengan syarat bercagar kepada mana-mana koperasi untuk mengembangkan lagi industri masing-masing.

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Terengganu, Encik Umar Sarim Saidin berkata, bagi pinjaman RM40,000 dan ke bawah ianya tidak memerlukan cagaran.

“Kita sangat mengalu-alukan penubuhan koperasi kerana melaluinya banyak manfaat yang diperolehi termasuk pembelian secara berkelompok terhadap bahan mentah ternyata lebih rendah berbanding individu,” katanya.

Katanya, mengikut perangkaan am koperasi sehingga pertengahan Mac tahun ini terdapat 454 buah koperasi berdaftar di seluruh negeri dengan keahlian mencecah 241,149 orang serta nilai aset lebih RM360 juta.

Katanya, daripada jumlah berkenaan 401 merupakan koperasi kategori mikro yang mempunyai modal pusingan RM200,000 ke bawah dan selebihnya adalah koperasi kecil sebanyak 37 buah , sederhana (15 buah) dan sebuah koperasi besar.

“ Setiap koperasi harus merebut peluang meluaskan perniagaan masing-masing hingga ke pasaran luar negara dan ini tidak mustahil kerana kualiti barangan buatan negara kita mengatasi negara lain termasuk Thailand,” katanya.

Katanya, SKM sentiasa membuka ruang dan peluang kepada mana-mana pengusaha yang ingin membesarkan perniagaan koperasi mereka dan mengalu-alukan untuk membuat permohonan kepada SKM.