Halaman

18 May 2011

Tilawah manifestasi martabat kalam Allah

Oleh: Aida Abd Rahman

Penganjuran majlis tilawah al-Quran bukan sekadar untuk memperdengarkan kemerduan atau kelunakan suara peserta pertandingan semata-mata, tetapi keutamaannya adalah penghayatan dan pengertian terhadap ayat-ayat dalam sirah junjungan itu sendiri.

Pemahaman serta penghayatan mendalam terhadap ayat al-Quran itu diharap dapat memberi inspirasi dan galakan untuk semua umat lebih berusaha mendekatkan diri pada Ilahi, seterusnya menjadi pendorong memperbaiki mutu pembacaannya.

Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah, berkata majlis tilawah al-Quran yang diadakan saban tahun merupakan manifestasi ke arah memartabatkan kalam Allah s.w.t itu sebagai panduan dan petunjuk sepanjang zaman.

”Al-Quran adalah mukjizat yang tidak ternilai hikmahnya dan dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepada Rasulullah s.a.w untuk disampaikan kepada umat manusia seluruhnya.

”Malah sejarah ketamadunan dan kegemilangan peradaban Islam bermula dengan kelahiran para ilmuwan dan cendekiawan Islam yang menguasai pelbagai cabang ilmu sebagaimana yang terkandung dalam al-Quran,” katanya ketika berucap di Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu kali ke-54 tahun 1432H/2011M, di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Sai, Yang DiPertua Dewan Undangan negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Hadir sama, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Haji Mohd Rozali Salleh.

Majlis penutup tilawah serta penyampaian hadiah dan cenderahati kepada peserta bakal disempurnakan Yang Teramat Mulia, Tengku Sri Laksamana Raja pada malam ini bermula jam 8.30 malam.

Dato’ Mazlan berkata, budaya membaca menghafaz, menghayati dan mengambil iktibar daripada isi kandungan al-Quran serta pengamalannya perlu disemarakkan lagi dan dijadikan agenda utama dalam pembentukan `khaira ummah’.

Katanya, program tilawah ini diharapkan dapat menarik lebih ramai remaja untuk sama-sama menyertainya dan seterusnya akan meningkatkan kadar celik al-Quran di kalangan masyarakat Islam di negara ini dan Terengganu khususnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sentiasa memberi tumpuan dan sokongan kepada pelaksanaan pendekatan Islam dalam pelbagai aspek keilmuan yang menjadi teras modal insan sesuai dengan aspirasi kerajaan dalam melahirkan `1 Malaysia 1 Ummah’, iaitu tema yang dipilih untuk tilawah tahun ini.