Halaman

26 May 2011

ITC-TATiUC sedia pusat seminar eksklusif

Oleh : Aida Abd Rahman


Kemudahan di Pusat Latihan Antarabangsa (ITC), Teluk Kalong yang turut berfungsi sebagai kampus kedua TATiUC. - Foto: Zulkipli Putra.

Kolej Universiti Tati (TATiUC) bukan hanya berperanan sebagai sebuah institusi pengajian kemahiran yang ulung di negara ini, malah turut menyediakan kemudahan pusat penganjuran seminar yang eksklusif untuk orang ramai.

Kemudahan di Pusat Latihan Antarabangsa (ITC), Teluk Kalong yang turut berfungsi sebagai kampus kedua TATiUC, terletak dalam jarak kira-kira dua kilometer sahaja dari kampus induk TATiUC di Teluk Kalong.
Timbalan Rektor Hal Ehwal Korporat TATiUC, Haji Zulkifli Mohamad, berkata ITC sebelum ini dikenali sebagai kompleks Pusat Pupuk Semangat menyediakan 200 bilik penginapan berkonsepkan hotel serta kemudahan yang kondusif seperti bilik seminar dan dewan besar.

“Sebanyak 200 bilik hotel disediakan. Selain itu, dalam usaha meningkatkan kemudahan penginapan, kerja membaik pulih kuaters kediaman dan banglo yang yang berkonsepkan dorm juga dilaksanakan,” katanya ketika ditemui di ITC-TATiUC, Kemaman, baru-baru ini.



Haji Zulkifli berkata, lokasi ITC yang strategik dengan panorama yang indah berhampiran Pantai Teluk Kalong turut menjadi faktor yang mampu mencetus keselesaan kepada peserta seminar yang menginap di pusat latihan itu.

“TATiUC cukup beruntung kerana Kerajaan Terengganu menyerahkan ITC secara percuma dan kini kami hanya menanggung kos pengubahsuaian, pemuliharaan serta kerja penyelenggaraan bagi memastikan ia sesuai sebagai tempat bagi menganjurkan `retreat’, seminar dan sebarang perhimpunan.

“Bukan sahaja institusi pengajian tinggi, syarikat juga boleh melaksanakan aktiviti mereka di sini. Bagaimanapun, permintaan dan tempahan bergantung kepada jadual berikutan banyak permintaan yang kami terima daripada pelbagai pihak,” katanya lagi.

Menurutnya, pihak pengurusan TATiUC mengenakan kadar caj yang berpatutan kepada pelanggan bagi menampung kos elektrik, air dan kerja penyelenggaraan.

Dalam pada itu, beliau berkata Bahagian Korporat TATiUC diwujudkan dalam usaha memastikan hala tuju strategik untuk menjadikan institusi pengajian itu sebagai universiti penuh pada 2015 akan terlaksana.

Selain itu, TATiUC juga melaksanakan tanggungjawab sosial dengan masyarakat sekitar bagi memastikan peranan pusat pengajian itu tidak hanya tertumpu kepada aspek pendidikan semata-mata.