Halaman

28 May 2011

Umno Terengganu buat persiapan awal hadapi PRU13

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan

Umno Terengganu melakukan persiapan awal bagi memastikan jentera pilihan raya parti itu dan Barisan Nasional (BN) siap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 akan yang dijangka lebih sengit.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pada masa yang sama Program Turun Padang dan program mesra rakyat diadakan di seluruh negeri bagi mendekatkan pemimpin dengan rakyat.

“Umno dan BN mengamalkan pendekatan mendekati rakyat pada setiap masa, bukan tunggu musim pilihan raya baru nak dekat dengan rakyat dan umum macam-macam projek,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin baru-baru ini yang meminta Umno lebih bersedia bagi menghadapi PRU13.

Sewaktu berucap merasmikan Mesuarat Perwakilan Umno Bahagian Kemaman baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri itu mengingatkan pemimpin dan ahli Umno bahawa PRU13 akan menjadi pilihan raya paling sengit dalam sejarah politik tanah air kerana pihak pembangkang akan bermati-matian mahu menjatuhkan kerajaan.

Menteri Besar berkata, Umno dan BN Terengganu telah melakukan segala-galanya untuk kesejahteraan rakyat tempatan meliputi semua bidang.

“Kita harap rakyat akan berterima kasih kepada kerajaan dan bersyukur dengan segala nikmat yang telah diberikan kepada mereka.

“Kerajaan juga berharap golongan muda menyokong kerajaan kerana kita telah menyediakan segala kemudahan dan keperluan mereka,” ujar beliau.