Kerajaan bercadang mewujudkan skim perlindungan insuran kepada semua golongan nelayan yang aktif di seluruh Negara.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Seri Noh Omar berkata, perkara ini baru dirancang dan pihak kerajaan akan cuba mendapatkan maklum balas daripada semua persatuan nelayan yang ada di setiap negeri.
“Sebelum laksanakan perkara ini, kita ingin tahu sama ada mendapat sokongan atau sebaliknya kerana ia membabitkan potongan elaun bulanan yang diterima di bawah skim elaun sara hidup,”.
Dato’ Seri Noh Omar berkata demikian kepada pemberita di majlis Penyampaian Bayaran Elaun Sara Hidup Nelayan daerah Kuala Terengganu secara tunai di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad, Losong, Kuala Terengganu semalam.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Ashaari Idris; Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), merangkap Ahli Parlimen Setiu, YB Haji Mohd Jidin Shafee dan Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Katanya, setiap nelayan menerima elaun sara hidup sebanyak RM200 sebulan dan potongan RM10 akan dikenakan untuk menyertai skim insuran ini bertujuan membantu ketika mereka berhadapan dengan musibah.
Menurutnya, skim perlindungan insuran dapat membantu meringankan beban para nelayan sama ada berlaku kemalangan, kecacatan kekal, masuk hospital, bencana alam, kematian atau menghidap penyakit kronik.
“Setakat ini kita sedang meneliti beberapa tawaran dari syarikat insuran dan akan dibawa ke Mesyuarat Kabinet, jika semuanya berjalan lancar kita akan jalankan selewat-lewatnya pada Ogos depan ,” katanya.