Program itu nyata mendapat sambutan menggalakkan apabila masing-masing menyatakan minat untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan kaedah dan syarat pembayaran zakat.
Pendekatan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam ) Terengganu mengadakan Kempen Zakat di beberapa lokasi tumpuan di setiap daerah nyata memberi manfaat berguna kepada masyarakat dan peniaga.
Penolong Kanan Setiausaha (Teknologi Maklumat) Maidam Encik Nordin Alias, berkata Maidam sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan terutama berkaitan kesedaran orang ramai terhadap pentingnya kewajipan membayar zakat.
Katanya, buat permulaan, pihaknya mendekati orang ramai dan peniaga di Pasar Tani Kuala Besut sebelum diterusnya program sama di lokasi lain mengikut jadual.
“Program itu nyata mendapat sambutan menggalakkan apabila masing-masing menyatakan minat untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan kaedah dan syarat pembayaran zakat.
“Berdasarkan pertemuan secara berdepan, rata-rata peniaga kecil di pasar tani itu kurang mengetahui bahawa mereka juga perlu membayar zakat berdasarkan sumber pendapatan yang diperoleh,” katanya ketika dihubungi pemberita Teganukita, hari ini (1 Jun).
Seramai lima atau enam kakitangan ditugaskan bagi tujuan itu dengan membuka gerai pameran dan mengedar risalah kewajipan zakat.