Pemimpin Umno Terengganu perlu mencontohi kegigihan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib mendekati dan menambat hati golongan muda dalam usaha memikat mereka menyokong kerajaan.
Beliau bukan saja mengamalkan Program Turun Padang bagi meninjau sendiri masalah rakyat, tetapi melakukan pelbagai cara bagi mendekati golongan belia yang sebahagian besarnya dikatakan masih ‘kabur’ mengenai dasar-dasar dan program kerajaan.
Terbaru, Perdana Menteri sanggup bersengkang mata pada awal pagi semalam untuk bersama-sama golongan belia dan orang ramai menyaksikan perlawanan akhir bola sepak pertandingan Piala Juara-Juara Eropah antara Manchester United dan Barcelona melalui skrin gergasi di Dataran Putrajaya.
Pada dinihari semalam beliau menyertai 10,000 orang dengan sebahagian besarnya adalah golongan belia bagi menyaksikan pertandingan yang menampilkan dua kelab termasyhur di dunia itu berentap merebut piala tersebut.
Sebelum ini, Perdana Menteri turut ‘turun padang’ menyaksikan pertandingan akhir Piala Suzuki yang melibatkan pasukan bola sepak kebangsaan negara dengan negara tetangga Indonesia, melalui skrin besar di Bukit Bintang.
Dengan cara pemimpin nombor satu bergaul dengan golongan muda itu sudah pasti mereka akan mudah didekati dan tertarik untuk menyertai program-program yang diadakan kerajaan.
Kesudian Perdana Menteri mendekati golongan belia sudah menampakkan bukti apabila Program Himpunan Sejuta Belia sempena sambutan Hari Belia yang diadakan di Bukit Jalil semalam, berjaya.
Program besar-besaran itu berjaya menghimpunkan sejuta belia dari seluruh negara bagi menyertai pelbagai program yang diadakan Kementerian Belia dan Sukan.
Dalam konteks Terengganu, para pemimpin kerajaan dan parti perlu mendekati golongan belia dan menyediakan program untuk mereka mengisi masa lapang.
Jika generasi belia dapat ditawan, banyak kerja menjadi mudah kerana mereka mudah mengikut kemahuan kita asalkan kepentingan mereka tidak diabaikan.