Halaman

30 May 2011

Mat Roda-Roda ganti Mat Rempit

Oleh: Esah Abdullah


YB Haji Rozi Mamat bergambar kenangan selepas Majlis Penyampaian Hadiah Kuiz Tfm Belia di Jabatan Penyiaran Kawasan Timur, Bukit Pak Apil, Kuala Terengganu.

Kerajaan negeri akan mengatur pelbagai aktiviti khusus bagi penggemar lumba motor atau ‘Mat Rempit’ dalam usaha mengurangkan kegiatan lumba haram yang hangat diperkatakan masyarakat sekarang ini dan menukar gelaran Mat Rempit kepada ‘Mat Roda-Roda’.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat, berkata panggilan baru bagi Mat Rempit itu lebih lembut dan sesuai kepada golongan muda berkenaan dan meminta masyarakat juga memanggil mereka dengan nama baru itu.

“Bukan tujuan memujuk tapi untuk mendekati dan memahami kehendak dan perasaan mereka serta mengatasi kegiatan lumba haram yang menimbulkan banyak masalah kepada masyarakat hari ini,” katanya kepada pemberita pada majlis Penyampaian Hadiah Kuiz Tfm Belia di Jabatan Penyiaran Kawasan Timur, Bukit Pak Apil hari ini.

Hadir sama, Pengarah jabatan Belia dan Sukan Terengganu, Encik Abdul Aziz Abdul rahman dan Pengarah Jabatan Penyiaran Kawasan Timur, Dr. Nawiyah Che Lah.

Beliau berkata, setelah mengadakan pertemuan hati ke hati dengan ketua-ketua kumpulan berkenaan, golongan tersebut bukanlah mewakili mereka yang terjebak dengan gejala tidak sihat, sebaliknya bersikap hyper aktif.

Katanya, kumpulan ini menggelarkan mereka kumpulan 71, 99, 69 dan macam-macam serta mempunyai keahlian melebihi 5,000 orang.

Kerajaan negeri mengamalkan sikap bermesra dan mendekati golongan Mat Motor dan meminta masyarakat agar menukar gelaran Mat Rempit kepada Mat Roda-Roda kerana nama sedemikian agak kurang manis untuk golongan muda.

Ada antara mereka lepasan Politeknik dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) malah rata-rata mereka memiliki kelulusan SPM dan STPM.

“Dalam perbincangan, mereka sanggup memberi kerjasama dengan kerajaan untuk mengatasi masalah remaja dikalangan masyarakat hari ini serta bersetuju menyertai apa-apa program anjuran kerajaan negeri yang bersesuai dengan minat mereka,” katanya.

Sehubungan itu YB Haji Rozi meminta kumpulan berkenaan dapat mendaftar pertubuhan masing-masing secara sah bagi memudahkan kerajaan menyalurkan bantuan untuk melaksanakan aktiviti pada masa hadapan.