Halaman

03 June 2011

MB minta atlet, ibu bapa daftar sebagai pemilih

Oleh: Aida Abd Rahman



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said meminta supaya semua ibu bapa serta atlet Terengganu yang layak mengundi supaya segera mendaftar sebagai pemilih bagi menunaikan tanggungjawab masing-masing apabila tiba waktu pilihan raya.

“Kerajaan sudah menyediakan pelbagai insentif kepada atlet terutama mereka yang berjaya membuktikan kecemerlangan dalam sukan masing-masing.

“Kita bersedia memberi pengiktirafan dalam apa jua bidang terhadap anak Terengganu yang berjaya, namun apa yang lebih penting semua ibu bapa dan atlet perlulah mengundi kerajaan Barisan Nasional yang sentiasa mengiktiraf dan membangunkan sukan untuk kepentingan semua ini,” katanya ketika berucap di Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Terengganu Sukma Ke-14 Kuala Lumpur 2011, di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat.

Beliau berkata, kerajaan tidak meminta apa-apa balasan daripada ibu bapa dan atlet kecuali mereka membantu kerajaan BN apabila tiba waktu pilihan raya dengan memilih kerajaan yang sudah terbukti sentiasa menjaga kebajikan dan memberi penghargaan kepada golongan itu.

Menteri Besar turut meminta keluarga serta ibu bapa atlet sentiasa memberi sokongan moral kepada anak-anak mereka supaya mereka lebih bersemangat dan mampu menguasai acara yang disertai sekaligus menyumbang pingat buat negeri.

“Sokongan keluarga penting dan saya percaya kejayaan atlet negeri ini dalam pelbagai bidang sukan juga berpunca daripada sokongan tidak berbelah bahagi keluarga masing-masing yang memberi semangat untuk mereka cemerlang,” katanya.

Kontinjen Terengganu mensasarkan 27 emas, 18 perak dan 12 gangsa menerusi penyertaan dalam 17 acara termasuk basikal (trek), bina badan, bola baling, judo, kanu, lawan pedang dan mendayung.

Seramai 214 atlet melibatkan 119 lelaki dan selebihnya wanita akan mempertahankan misi Terengganu yang turun dengan moto `Terengganu Hanelang’ untuk mengekalkan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut selepas menjuarai Sukma Terengganu 2008 dan Sukma Melaka 2010 yang lalu.