Halaman

20 August 2012

Kampung Cina simpan pelbagai warisan bersejarah

Oleh: Suriati Ali

KAWASAN Kampung Cina yang pernah menjadi pusat perdagangan dan perniagaan antarabangsa terpenting di rantau ini pada abad ke-18 masih menyimpan pelbagai warisan bersejarah termasuk deretan bangunan tua yang berseni.

Kampung Cina yang didiami penduduk berketurunan Cina sejak hampir 300 tahun lalu itu juga mempunyai sebuah perigi yang dipercayai tertua di Terengganu.

Keistimewaan perigi ini bukan sahaja kerana usianya, namun dikatakan pernah berjasa kepada penduduk setempat serta membekalkan air kepada pedagang asing yang berniaga di situ.

Perigi itu juga mempunyai keistimewaan tersendiri kerana airnya dipercayai tidak pernah kering malah masih digunakan sehingga kini.

Ahli Dewan Undangan Negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw, berkata pihaknya menyokong jika ada sebarang cadangan untuk menjadikan Kampung Cina sebagai salah satu tapak warisan dunia di negara ini.

Katanya, dari segi sejarah, Kampung Cina dan kawasan sekitarnya pernah menjadi kawasan perdagangan dan perniagaan terpenting di kalangan ahli peniagaan daripada pelbagai bangsa dan negara termasuk Britain, China dan Thailand.

“Malah, pertumbuhan awal perniagaan di Kuala Terengganu bermula di Kampung Cina.

“Sangat wajar Kampung Cina ini dipulihara sebagai salah satu tapak warisan dunia di negara ini,” katanya.

Menurutnya, langkah itu bukan sahaja mampu mempopularkan negeri ini malah memartabatkan kembali kawasan yang pernah menjadi tapak perniagaan dan perdagangan terpenting di rantau ini pada abad ke-18.

“Dulu saya pernah mendengar ura-ura pihak-pihak tertentu yang mahu mengusahakan Kampung Cina dijadikan tapak warisan dunia, tetapi sekarang ia diam begitu sahaja,” katanya.
Chin Yaw turut memberitahu, masyarakat berketurunan Cina yang paling padat menetap di negeri ini ialah di Kampung Cina dan ia menjadi pilihan kerana kedudukannya di sebelah kanan muara Sungai Terengganu menjadi tempat berlabuh wangkang.

“Rumah dibina bertiang tinggi bagi mengelakkan ancaman pasang surut air sungai atau banjir. Ia menyerupai bentuk rumah yang terletak di negeri China,” katanya.


19 August 2012

Asam Gumpal Kak Han pembuka selera

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra


Setiap kali menjelang bulan Ramadan dan Syawal, membuatkan pengusaha asam gumpal, Wan Kalsom Wan Jusoh atau lebih dikenali sebagai Kak Han seakan pening untuk memenuhi permintaan pelanggan yang sememangnya berganda berbanding hari biasa.

Mendapat tempahan antara 1,500 hingga 2,000 biji asam gumpal yang dihasilkan dengan menggunakan 10 hingga 15 kilogram tepung sagu itu menjadi rutin harian beliau bersama lima pembantu lain sebaik menjelang awal Ramadan dan akhir Syawal.

Bahan lain yang turut digunakan adalah santan, kacang hijau dan isi nangka.
Rata-rata pelanggan yang datang menempah makanan tradisional itu adalah untuk pelbagai tujuan, termasuk dihidangkan kepada tetamu majlis berbuka puasa, rumah terbuka, mengagihkan kepada jiran atau saudara dan dijadikan sebagai pencuci mulut sewaktu berbuka puasa.

Katanya, dia gemar berpesan kepada pelanggan supaya membuat tempahan seminggu lebih awal bagi mengelak pemintaan mereka ditolak.
Saya seboleh-bolehnya mahu memenuhi pemintaan pelanggan walaupun ada yang menempah disaat akhir, tetapi ia tidak dapat berbuat demikian kerana bilangan pembantu tidak mencukupi selain mahu mengekalkan kualiti rasa asam gumpal.

“Tempahan untuk majlis rumah terbuka sepanjang Aidilfitri akan datang pun sudah ada pelanggan yang membuat tempahan,” katanya.

Kak Han memberitahu apa yang diusahakan itu adalah hasil tunjuk ajar ibu, Hajah Aisyah Sulong yang turut bersama-sama mengusahakannya hampir sepuluh tahun lalu.

“Selepas ibu menyatakan tidak larat untuk mengusahakannya, saya nekad mengambil alih sepenuhnya di samping mengubah resepi ibu daripada asam gumpal halba kepada asam gumpal berisi nangka.

“Ubah suai resipi itu nyata menjadi dan pelanggan lebih mengemarinya kerana ianya bersaiz lebih kecil dan tidak kenyal,” katanya yang ditemui dipremis perniagaannya di Batu Burok, Kuala Terengganu.

Katanya, langkah mengubahsuai resepi itu juga membuatkan dia tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan asam gumpal, kerana rata-rata pelanggan menginginkan dalam kuantiti banyak.

“Pada hari biasa, saya menyiapkan makanan tradisional itu secara bersendirian, sebaik menjelang Ramadan dan Syawal pula, terpaksa memanggil jiran dan saudara tiga sehingga lima orang untuk membantu,” katanya.

Menurutnya, sebelum serius dan memberi tumpuan sepenuhnya membuat asam gumpal, dia ada membuka gerai makanan di Batu Burok, Kuala Terengganu dan ianya hanya bertahan selama empat tahun itu.

“Perniagaan itu terpaksa ditutup semata-mata tidak mahu mengecewakan hati pelanggan yang ingin merasai keenakan asam gumpal hasil tangannya.

“Pada mulanya, saya cuba membahagi-bahagikan masa antara gerai makan dan membuatkan asam gumpal, tetapi ia tidak mampu dan larat untuk berbuat demikian,” katanya.



Rakyat Terengganu berduyun-duyun ke rumah terbuka MB

Oleh: Kamarudin Mat Akib
GAMBAR OLEH ZULKIPLI PUTRA

Rakyat Terengganu terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat berduyun-duyun ke kediaman Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, di Batu Buruk, untuk menghadiri rumah terbuka pemimpin kesayangan rakyat itu.

Beliau dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, tidak menang tangan melayan para tetamu yang berkunjung sejak dari pagi hingga petang.


Majlis rumah terbuka Menteri Besar bermula dari jam 11 pagi hingga 5 petang. Sebelum itu, beliau mengiringi Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid al-Muktafibillah Shah, Ladang.

Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, para pembesar negeri, wakil-wakil rakyat, ketua-ketua jabatan dan pemimpin Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) turut hadir pada majlis rumah terbuka tersebut.






Penduduk tempatan dari bangsa lain turut berkunjung ke Kediaman Seri Iman bagi mengucapkan Selamat Hari Raya kepada pemimpin nombor satu negeri ini.

Para tetamu dihidangkan dengan pelbagai juadah dan hidangan hari raya, termasuk ketupat, rendang dan tapai.






Indikator utama penguasaan Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Banyak indikator utama yang menyumbang kejayaan Terengganu dalam Sukan Malaysia (Sukma) sepanjang empat edisi yang bermula 2008 dengan mengumpul 61 emas, 39 perak dan 47 gangsa, berbanding kedudukan terbaik berada di tangga keenam Sukma Selangor 1998 dan meraih 15 emas sebagai pungutan pingat terbanyak pada Sukma Kedah 2006.

Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Encik Ibni Amin Busu, berkata faktor utama penyumbang kejayaan itu adalah dasar kerajaan Terengganu yang meletakkan sukan pada satu landasan tepat berbeza jika dibandingkan kerajaan negeri lain.

“Kerajaan Terengganu meletakkan pembangunan selari dengan sektor utama yang lain dengan melibatkan peruntukan besar kepada sukan sehingga mampu menggalakkkan atlet, penggiat sukan, persatuan serta MSNT untuk bergiat dengan aktif dalam pembangunan sukan negeri.

“Faktor lainnya, selepas diberi hak menjadi tuan rumah Sukma 2008, kita menyediakan pelan pembangunan sukan secara terancang yang bermula sejak 2006 lagi, iaitu dua tahun lebih awal serta berkesinambungan sehingga tahun seterusnya,” katanya kepada Teganukita ketika ditemui di pejabat beliau, baru-baru ini.

Encik Ibni berkata, program penyediaan atlet juga mengguna pakai modul latihan serta kaedah persiapan atlet kebangsaan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan kaedah berkenaan disesuaikan dengan keperluan serta persekitaran atlet negeri.

Katanya, kerjasama erat di kalangan semua pihak melibatkan kerajaan negeri, persatuan, penggiat sukan dan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) mampu mengelakkan timbulnya masalah berkaitan sukan dan merealisasikan hala tuju dengan lebih efektif.

“Setiap persatuan sukan pula ditubuhkan jawatankuasa kerja masing-masing yang terdiri di kalangan wakil daripada persatuan sukan, MSNT, wakil Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia dan orang perseorangan daripada panel penasihat kejurulatihan negeri Terengganu yang terdiri daripada pakar akademik Sains Sukan bagi membolehkan mereka berkongsi idea dan ilmu berkaitan pengalaman masing-masing.

“Peranan pegawai perhubungan sukan atau `lesion officers’ juga banyak membantu melancarkan urusan pentadbiran dan mengurangkan karenah birokrasi dalam memastikan program latihan berjalan dengan baik dan berterusan,” katanya.

Encik Ibni berkata, penubuhan jawatankuasa ini menjadikan setiap acara sukan ini sebagai tanggungjawab bersama dan tiada pihak yang boleh menuding jari menyalahkan pihak lain apabila timbulnya sebarang masalah.

“Ini mewujudkan persekitaran yang selesa di kalangan mereka kerana boleh berbincang dan duduk semeja bagi menyelesaikan perkembangan sukan negeri. Keakraban ini menjadi faktor menyumbang kejayaan kita,” katanya.

Pada masa yang sama, jawatankuasa kerja turut memantau program latihan mengikut mekanisme ditetapkan, selain mewujudkan jawatankuasa operasi di kalangan pengurus pasukan, pengurus sukan dan jurulatih khusus bagi memantau program latihan sahaja, berbanding jawatankuasa kerja yang merangkumi semua aspek.

“Latihan secara berterusan dan dirangka lebih awal. Selesai Sukma Pahang 2012 kita akan memulakan latihan untuk Sukma 2014, sementara Sukma tahun depan kita sudah mulakan latihan sejak tahun lalu.

“Dari segi atlet dan pengurus pasukan yang diserahkan kepada persatuan masing-masing juga dilantik lebih awal dan seharusnya individu yang bertanggungjawab terhadap kemajuan sukan itu, sementara pengurus sukan yang bertindak sebagai penghubung antara persatuan dan MSNT dilantik di kalangan pegawai MSNT,” katanya.

Katanya, setiap sukan juga menyediakan pelan periodisasi latihan masing-masing yang dirangka bersama pakar daripada Majlis Sukan Negara Malaysia dan para profesional bidang akademik universiti di seluruh Malaysia dalam bengkel yang dilaksanakan pada awal musim.

Beliau berkata, latihan atlit secara bersepadu beserta insentif kemenangan pingat, elaun bulanan yang semakin meningkat serta biasiswa kepada pelajar di sekolah sukan juga mendorong semangat dan kesungguhan mereka.

Katanya, atlit yang menerima elaun atau insentif Skim Latihan Atlit (Fasa I) akan menerima RM130 bermula akhir tahun sehingga November tahun seterusnya, manakala bermula Disember berikutnya sehingga Jun tahun semasa (menjelang Sukma) akan menerima bayaran RM390 (Fasa II).

“Jika atlit memenangi emas di Sukma Pahang, mereka akan mendapat Skim Bintang Cemerlang pada sesi latihan seterusnya yang bernilai RM300 untuk setiap emas, RM200 (perak) dan RM100 (gangsa) setiap bulan bermula Ogos,” katanya yang mengakui kadar elaun berkenaan adalah paling tinggi ditawarkan berbanding negeri lain.

Malah, MSNT juga menjalinkan persefahaman dengan institusi pengajian tinggi di seluruh Terengganu supaya atlit dapat memasuki pusat latihan kemahiran apabila tamat persekolahan kelak untuk menyambung pengajian bagi mengikat mereka terus menjalani latihan dan mewakili Terengganu.

Selain itu, penambahbaikan struktur MSNT dengan penekanan kepada `core-business’ dan `caretaker, program pemantapan kerohanian yang diadakan dari masa ke semasa termasuk program motivasi dan kem berasingan serta berkelompok juga memberi impak secara langsung kepada kemajuan atlet.

“Unit Sukan Berprestasi Tinggi dari MSN turut diwujudkan di Terengganu yang mewujudkan kerjasama dua hala di mana kita turut menggunapakai mereka dan melantik mereka sebagai pengurusan suka. Selain melatih atlet pelapis, mereka juga turut melatih etlit Sukma.

“Kita juga mengambil jurulatih luar negara bagi bagi menaikkan tahap dan prestasi acara tertentu seperti sepak takraw, taekwando, squash, renang dan badminton, selain dibantu jurulatih tempatan,” katanya.
ENDs


Rancang perjalanan yang berkualiti- YB Exco pembangunan luar bandar

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai, Dato’ Haji Mohamad Awang Tera mengucapkan selamat menyambut hari raya kepada semua rakyat negeri Terengganu khususnya penduduk kawasan Chukai, Kemaman.

Semoga Aidilfitri tahun ini membawa keberkatan dan kemakmuran kepada golongan masyarakat di kampung dan di desa.

Kepada perantau yang akan pulang berhari raya ke kampung, rancanglah perjalanan yang berkualiti dan mementingkan keselamatan diri, keluarga dan orang ramai.

Jika menggunakan motosikal, lebih baik pulang secara berkonvoi beramai-ramai dan jangan memandu dalam keadaan penat serta ambil peluang menziarah sahabat handai dan tempat-tempat menarik di negeri ini.






Hati-hati di jalan raya – YB Exco pelajaran

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman dan keluarga mengucapkan selamat menyambut hari raya khususnya kepada perantau, pelajar dan warga pendidik seluruh negeri.

Kepada perantau, berhati-hati di jalan raya, pastikan anda selamat tiba dan selamat kembali dan juga gunakan sepenuhnya masa yang ada untuk menziarahi sanak saudara kerana ini akan mengeratkan lagi silatulrahim sesama kita.

“Semoga hari raya tahun ini memberi keceriaan kepada semua dan saya dan keluarga mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut ketibaan Aidilfitri maaf zahir dan batin,” katanya.



Ucapan Selamat Hari Raya

Ucapan Hari Raya oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah
“Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh penduduk Terengganu khususnya kepada penjawat-penjawat awam. Semoga kita bersama-sama menyambut lebaran 1433 Hijrah ini dengan penuh meriah tetapi besederhana dalam persiapannya.

“Pada masa yang sama saya juga ingin mengucapkan selamat bertugas kepada mereka yang berkhidmat sepanjang perayaan ini, selain berharap Ramadan yang baru berlalu mampu mendidik kita menjadi penjawat awam yang berintegriti, menjalankan kerja dengan penuh ikhlas dan amanah seterusnya tugas kita mendapat keredhaan Allah s.w.t.

“Saya juga menasihat perantau yang pulang berhari raya supaya berhati-hati dalam perjalanan pulang ketika membawa kenderaan dan mengelak tragedi pada musim perayaan.


Sultan Mizan solat Aidilfitri di Masjid al-Muktafibillah Shah


Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid al-Muktafibillah Shah, Ladang, pagi ini.

Turut mengiringi baginda, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, para pembesar negeri, orang kenamaan dan rakyat jelata di kawasan Ladang dan Batu Buruk.
Selesai solat sunat Aidilfitri, rakyat jelata mengambil peluang untuk bersalam-salam dengan baginda sambil mengucapkan Selamat Hari Raya.




Jadikan Syawal bulan jalin persaudaraan - YB Kazan

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra.

Umat Islam di negeri ini diminta menjadikan bulan Syawal sebagai bulan bagi mengukuhkan ikatan persaudaraan dengan mengamalkan tradisi ziarah menziarahi sesama umat Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Khazan Che Mat, berkata inilah masa yang paling sesuai untuk umat Islam memupuk perpaduan dan melupakan persengketaan mereka selama ini.

"Saya dan seisi keluarga memohon berbanyak-banyak maaf kepada semua Muslimin dan Muslimat, khususnya penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

"Bagi umat Islam, pada kesempatan yang ada ini marilah kita sama-sama bersikap saling memaafkan segala kesalahan saudara kita, usah disimpan segala dendam di hati.

"Ambillah kemuliaan bulan Syawal ini untuk mengeratkan lagi tali silaturahim sesama kita dan hindari diri masing-masing daripada melakukan perbuatan yang boleh melukakan hati orang lain," katanya.






Rahsia kejayaan Terengganu

Oleh: Suriati Ali

Pembangunan jangka panjang dan perancangan teliti menjadi rahsia kejayaan Terengganu dalam Sukan Malaysia (Sukma) hingga muncul juara empat kali berturut-turut temasya berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat, berkata pelbagai aspek diutamakan termasuk berkaitan kebajikan atlet, komitmen tinggi seluruh ahli kontinjen dan sokongan padu pemimpin.

Katanya, sifat kerajaan negeri yang tidak `lokek’ untuk mengagihkan insentif kepada atlet setiap kali memperolehi kejayaan antara faktor atlet Terengganu mempunyai semangat juang yang tinggi bagi menggapai kejayaan.

“Kita bersetuju untuk mengagihkan insentif kemenangan kepada setiap atlet, masing-masing RM5,000 bagi setiap pingat emas, RM3,000 (perak) dan pingat gangsa RM2,000 sejak 2008 lagi.

“Kerajaan negeri sentiasa mengiktiraf kejayaan anak-anak Terengganu di bidang sukan dan menghulurkan bantuan yang diperlukan pada bila-bila masa bagi meningkatkan prestasi mereka,” katanya.

Menurutnya, biasiswa untuk atlet sekolah sukan turut diperkenalkan di mana mereka yang belajar di sekolah biasa layak menerima elaun bulanan RM50 manakala bagi Sekolah Sukan Bukit Nenas diberi RM60.

“Skim lain yang turut diperkenalkan adalah biasiswa atlet Sukma, bintang kecemerlangan, skim hadiah cemerlang dan skim wakil negara di mana jumlah pembayarannya bergantung kepada jenis skim,” katanya.

Sebagai rekod, Terengganu muncul juara Sukma buat kali pertama pada edisi 2008 ketika menjadi tuan rumah temasya tersebut, sekali gus menamatkan dominasi Selangor yang cukup digeruni suatu ketika dahulu.

Beraksi di laman sendiri pada 2008, kontinjen Terengganu ternyata mengambil segala kelebihan untuk membolot 61 pingat emas, 39 perak dan 47 gangsa.

Momentum itu diteruskan pada Sukma 2010 di Melaka yang menyaksikan kontinjen Terengganu sekali lagi ditabalkan selaku juara dengan pungutan 47 pingat emas, 30 perak dan 43 gangsa.

Kontinjen Terengganu terus berada pada trek kejayaan apabila menjuarai temasya Sukma buat kali ketiga berturut-turut selepas membawa pulang 30 pingat emas, lapan perak dan 12 gangsa pada edisi 2011 di Kuala Lumpur.

Bagi edisi Sukma kali ini, Terengganu tampil lebih bergaya apabila membawa pulang 62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa, seterusnya meninggalkan Selangor di tempat kedua dengan catatan 47 emas, 54 perak dan 60 gangsa.

Kejayaan merangkul 62 emas itu merupakan pencapaian terbaik Terengganu setakat ini biarpun tuan rumah Sukma ke-15, Pahang tidak mempertandingkan beberapa acara seperti kenu dan mendayung yang dianggap 'kekuatan' kontinjen Terengganu Hanelang itu.