Halaman

24 June 2014

Hadiah Ramadan: Mangsa kebakaran dapat rumah baru.

Shukri dan ahli keluarga gembira ketika menerima replika kunci rumah mereka daripada Mahadi bersama Mohd Hamdan dan Md Salleh.
Oleh: Mohammad Ishak.

 “Syukur Alhamdulilah, selepas hampir setahun tinggal di rumah sewa akhirnya hari ini saya mendapat sebuah rumah baru untuk didiami sekeluarga,” kata Mohd Shukri Mohamad, 37, dari Kampung Kubang Depu, dekat Jertih.

Mohd Shukri bekas pengawal keselamatan hilang tempat tinggal lima hari sebelum menyambut Aidilfitri tahun lalu apabila rumah kediamannya musnah dalam kebakaran .

Beliau gembira kerana Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi memberi peluang keluarganya tinggal di rumah sendiri selepas Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu berjaya menyiapkan rumah baru.

Shukri...bersyukur.
Majlis penyerahan kunci rumah berkenaan dilakukan oleh Timbalan Pengerusi Penyelaras DUN Hulu Besut, Mahadi Hassan yang mewakili Ahli Exco Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Nawi Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut.

Hadir sama Penolong Ketua Pengarah Bahagian Latihan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Mohammad Hamdan Wahid dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Md Salleh Sarbini. Rumah berharga RM37,000 dibina oleh anggota bomba dan mengambil masa dua bulan untuk disiapkan sebelum diserahkan kepada mangsa kebakaran berkenaan.

Mohamad Hamdan berkata, rumah itu ialah yang pertama dibina di negeri Terengganu menerusi Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan Ke 7 (NBOS7) bagi membantu mangsa kebakaran yang menghadapi masalah untuk membina rumah sendiri akibat kemiskinan.

Pada tahun ini,katanya, 30 projek rumah seumpama itu akan dibina di seluruh Negara membabitkan kos RM1.26 juta yang dibiayai oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).
Shukri dan keluarga bergambar kenangan di dalam rumah mereka.


 

JANGAN LUPA MEREKA INSAN SENI DAN BUDAYAWAN TERENGGANU INI.


Oleh: Lan Bayu

Dulu mereka seorang yang tersohor, hebat dan di kelilingi peminat tersendiri.
Namun kini ramai juga budayawan, seniman dan karyawan Terengganu ini sudah melalui musim senja, ada yang terlantar sakit dan ramai juga yang telah meninggal dunia ketika keluarga masih memerlukan mereka.
Walaupun sumbangan mereka selama ini tidaklah untuk meminta dihargai, tetapi sekurang-kurangnya masyarakat menjengah mereka di kala mereka dalam situasi begini.

Sekurang-kurangnya mereka merasakan masih ada insan yang sayang dan kasihkan mereka walaupun zaman kegemilangan mereka dulu telah berlalu.

Budayawan yang agar uzur kini;
Novelis Ali Jusoh, novelis A. Rashid Ngah,  pencipta lagu-lagu daerah, Mazlan Embong, penyanyi lagu-lagu daerah, Wan Salmah Sulaiman, Mazlan Zakaria (teater dan lawak jenaka), Habsah Jusoh (penyanyi lagu lagu Terengganu), Omara Rahman (penulis puisi), Masmi M (wartawan dan penulis puisi), Wahba (wartawan dan puisi)  Pok Sof Rodat dan Mok Nik Ketua Inang Rodak Gong Tok Nasek dan ramai lagi yang kini sedang melalui situasi kesihatan yang kurang memuaskan.


Begitu juga mereka yang telah pergi meninggalkan kita dan perlu agaknya kita menjengah keluarga mereka, Allahayarham Dato’ JM Aziz (puisi),  Pok Soh Wayang Kulit dan isterinya Meriam Titisan Airmata, Aziz Sulaiman (pereka tari) novelis Aziz Afkar, Shamshir HM (wartawan dan puisi), T.Alias Taib (Puisi),  Yusof Al Bakri (wartawan), Pak Jabar (pemuzik gamelan), novelis Morifin atau Ariffin Ngah dan lain lain lagi.

Sesungguhnya biarpun sekelumit jasa mereka, tetapi  mereka sebenarnya merupakan insan yang pernah memainkan peranan menaikkan nama Terengganu di persada seni dan budaya.







Bazlan rasmi sukan SK Pagar Besi.

Meriah...sebahagian murid mengambil bahagian.
Oleh: Aminudin Ismail.

JIKA dahulu dia menjadi urusetia untuk menjalankan aktiviti sukan di Sekolah Kebangsaan Pagar Besi tetapi kehadirannya ke sekolah itu, hari ini adalah untuk merasmikan Kejohanan Balapan dan Padang Kali Ke 24 selepas diberi kepercayaan penduduk Batu Rakit untuk menjadi wakil rakyat kawasan DUN itu.

Bazlan mengucapkan terima kasih kepada  pihak sekolah kerana menjemputnya merasmikan sukan tahunan itu dan beliau mengharapkan murid SK Pagar Besi akan mencipta kejayaan dalam sukan hingga ke peringkat negeri dan kebangsaan disamping berjaya dalam bidang pelajaran.

Baris..Bazlan melihat perbarisan peserta.
Beliau yang menjadi guru di sekolah ini bermula 2007 hingga 2013 mengharapkan semua murid yang menyertai sukan itu bermain bersungguh-sungguh supaya mendapat tempat bagi membantu mencapai kemenangan kepada pasukan mereka.

Kejohanan sukan yang berlangsung selama tiga hari itu berakhir esok dan Bazlan sempat menyaksikan beberapa acara sukan dan menyampaikan hadiah sebelum ke menghadiri beberapa program lain.


Ikrar peserta.

Bazlan sempat menyampaikan hadiah.



Rumah Bidong melakukan perbarisan.


 

Minggu PKS 2014

Menteri Besar Terengganu, Dato' Haji Ahmad Razif Abd. Rahman merasmikan Minggu PKS 2014 bertemakan 'Mula Berdikit, Azam Melangit' peringkat Negeri Terengganu di TTC, Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.








Sekitar sukan MASISWA 2014.

Pengerusi UCB, Datuk Dr.Tengku Mahmud Mansor menyampaikan cenderahati.
Oleh: Aminudin Ismail. 

KOLEJ Universiti Bestari (UCB) Setiu berjaya menjadi tuan rumah Majlis Sukan Institut Pengajian Tinggi Swasta (Masiswa 2014) Zon Timur meliputi Pahang, Kelantan dan Terengganu selama tiga yang berakhir 21 Jun lalu.

Seramai kira-kira 2000 peserta daripada 16 Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) menyertai Kejohanan Masiswa yang berlangsung selama tiga hari itu dengan menampilkan lapan acara dipertandingkan termasuklah bola sepak, badminton, pingpong, bola jaring, bola tampar dan sepak takraw.

Bergambar kenangan sebelum memulakan perlawanan futsal.
Tiga lokasi pertandingan dipilih membabitkan Kompleks Sukan Gong Badak, Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) dan Kolej Kesihatatn Batu Rakit.

UNITEN muncul juara kesuluruhan dalam kejohanan pertama kali dianjurkan oleh UCB itu dengan mengutip enam emas manakala ke dua ialah Kolej Shahputra dan ketiga TATIUC.






 

23 June 2014

JKR serah Komplek Tadika bernilai RM1.2 juta kepada KEMAS.

SERAH...Jurutera Jabatan Kerjaraya (JKR) Daerah Setiu, Anuar Ngah (dua dari kanan)  menyerahkan kunci replika kepada wakil Pengarah Kemas Negeri Terengganu Mohd Riduan Ngah sebagai tanda simbolik penyerahan Komplek Bangunan Tadika Kanak-Kanak (Komta) Felda Chalok Barat, Setiu kepada KEMAS di felda itu, hari ini.

Komplek tadika bernilai kira-kira RM1.2 juta itu yang memulakan pembinaan pada Mac 2013 itu siap sepenuhnya pada Mac tahun ini dan hari ini majlis ringkas penyerahan bangunan itu dilakukan bagi membolehkan bangunan itu dapat digunakan sebagai bangunan baru Tadika Kemas di felda itu.

Indah..Bagunan Komta Felda Chalok Barat.
Anuar berkata, projek pembinaan bangunan itu berjalan lancar dan dapat disiapkan dengan sempurna dan pihak KEMAS diberi masa setahun untuk membuat sebarang aduan mengenai bangunan itu kepada kontraktor sebagai tempoh percubaan.

"Dengan kerjasama yang baik dari semua pihak, akhinya bangunan ini dapat disiapkan dan saya mengucapkan kepada terima kasih kepada semua termasuklah kerajaan yang meluluskan peruntukan untuk pembinaan bangunan ini bagi memberi keselesaan kepada murid tadika di sini," katanya.

Sementara itu, Wakil KEMAS, Mohd Riduan berkata, bangunan komplek tadika itu adalah yang paling besar di negeri Terengganu dan ianya boleh mempunyai empat kelas dan kantin.

"Sebelum ini kita ada mempunyai bangunan yang sama reka bentuknya tetapi ia lebih kecil sedikit berbanding bangunan ini iaitu Padang Polis, Batu Rakit. Ini adalah satu tuah bagi penduduk Felda Chalok Barat dan saya mengharapkan bangunan ini digunakan sebaik mungkin untuk memajukan pendidikan di felda ini," katanya.- 

Turut hadir ialah wakil Kemas dari Putrajaya iaitu Mohd Nurizman Abdullah dan Pengurus Felda Chalok Barat, Ariffin Mohd serta beberapa jemputan lain-Aminudin Ismail.
antara jemputan yang hadir.
Guru kemas dan jemputan yang hadir.

JD (kiri) meninjau persekitran bangunan.

Tandatangan penyerahan bangunan oleh JD dan wakil KEMAS. 

 

Memanjat doa...meminta Terengganu sejahtera, dipermudahkan Allah untuk mentadbir dan menjauhkan rakyat Terengganu daripada perasaan dendam dan hasad dengki. Insyallah...

Gambar oleh Zulkipli Putra


22 June 2014

UniSZA lancar Perkongsian Pintar.

Idris ketika melancarkan program 'Perkongsian Pintar'.
Oleh: Mohammad Ishak.

UNIVERSITI Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melancarkan Program Perkongsian Pintar dalam usahanya mendekati komuniti setempat dengan warga university berkenaan.

Pelaksanaan 1Care “We Care We Share” bermatlamat memenuhi inspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia yang mahu semua universiti di negara ini menjadi Universiti Community Transformation Centre (UCT) untuk meningkatkan usahasama komuniti dengan universiti.

Antara jemputan yang hadir.
Majlis pelancaran 1Care Program Perkongsian Pintar itu dilakukan oleh Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Parlimen Besut.

Turut hadir ialah Naib Canselor UniSZA,Prof Dato’ Dr Yahaya Ibrahim, Ahli Exco Negeri, Muhamad Pehimi Yusof, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Mahdi Musa dan ADUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Idris berkata, ketika ini dua daerah itu Pagoh, Johor dan Besut, Terengganu sudah melaksanakan UCTC yang membolehkan pihak universiti di kawasan terbabit menjalankan pelbagai aktiviti berasaskan komuniti. 

Katanya, program UCTC menjadi agenda utama Kementerian Pendidikan dalam usaha mengubah kehidupan sesebuah universiti kepada persekitaran dalam komuniti.

UniSZA yang menjadi universiti pertama di Terengganu melaksanakan konsep itu akan dibantu oleh enam IPTA lain serta empat Politeknik, tiga Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan enam Kolej Komuniti yang ada di Pantai Timur.

“Program 1Care amat dekat dihati masyarakat dan ia meliputi semua kumpulan sasar termasuk kanak-kanak, pelajar, ibu tunggal, warga emas dan belia,” katanya.
Idris bersama Dr. Yahaya (kiri) menjawab soalan pemberita ketika sidang media.


Dengari suara hati rakyat...

Walaupun sesibuk mana pun tugas seorang pemimpin, suara hati rakyat mesti didengari...begitulah rutin seharian Menteri Besar Terengganu, YAB Dato' Haji Ahmad Razif Abd Rahman, tidak kira di mana, waktu dan hari sentiasa mendengar rintihan dan hasrat rakyat yang menelefonnya walaupun pada masa yang sama terpaksa menghadiri program harian yang begitu ketat...-Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.


UNITEN juara Sukan MASISWA 2014.

Oleh: Aminudin Ismail.

UNIVERSITI Tenaga Nasional (UNITEN) muncul juara Kejohanan Sukan MASISWA Zon Timur 2014 dengan memperolehi enam pingat emas mendahului UCSA (4 emas) dan TATIUC (3 emas) menduduki tempat kedua dan ketiga.

Kejohanan tiga hari yang berakhir semalam itu mempertandingkan sebanyak lapan acara iaitu bolasepak, bolajaring, Sepaktakraw, Pingpong, Futsal , Bola Tampar, Badminton dan Petangue. 

Jurucakap penganjur berkata, futsal lelaki dimenangi pasukan Uniten manakala naib johan ialah Tatiuc manakala bolasepak pula UCSA menang emas dan TATIUC mendapat perak. 

“Bagi acara bolatampar, juara ialah TATIUC, naib juara pula ialah KPTM KLIA manakala pasukan TATIUC juga menungguli bolajaring kali ini dengan menewaskan Uniten,” katanya. 

Hasbullah Omar dari TATIUC diumumkan sebagai olahragawan terbaik dan olahragawati terbaik pula ialah Siti Farah Farhana Mat Junoh dari Kolej PTPTL Kuala Terengganu.