Halaman

05 October 2011

Persaingan Aiman bermula

Oleh; Esah Abdullah

Bermula hari ini hingga 8 Oktober, Mohd Aiman Yusof, 22, anak kelahiran Kampung Kuala Bekah, Kuala Terengganu mula bersaing bersama 1,000 peserta seluruh dunia di dalam 45 bidang kemahiran di Pertandingan Kemahiran Worldskill di London, United Kingdom.

Beliau merupakan satu-satunya wakil negara terpilih kepertandingan berprestasi tinggi itu yang menampilkan kebolehan dan bakat vokasional belia.

Kehadirnya ditengah kelompok peserta dari serata pelusuk dunia itu memberinya peluang memperkenalkan negeri kelahirannya melalui masakan dan produk makanan utama negara dan negeri.

Pelajar tahun akhir Diploma Seni Kulinari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dungun itu akan memaparkan bendera negeri pada semua pakaian dan baju seragam chef sepanjang pertandingan berlangsung.

“Saya akan buat yang terbaik untuk menaikkan nama negara dan negeri di mata dunia,” katanya yang berlepas ke London dengan pegawai pengiring UiTM seminggu sebelum pertandingan.

Pemilihan Mohd Aiman juga akan membuka ruang jalinan kerjasama dengan Universiti of West London (UWL) yang terletak dilokasi pertandingan khususnya dalam bidang pendidikan pelancongan yang memberi manfaat secara langsung kepada pembangunan pelancongan negeri.




Politeknik Hulu Terengganu tetap diteruskan

Oleh FAUZI MOHD

Projek pembinaan kampus Politeknik Hulu Terengganu (PHT) yang tergendala sejak lebih tiga tahun lalu tetap diteruskan pembinaannya di daerah itu.

Ketika ditanya pemberita, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, projek berharga RM184 juta itu tertangguh pembinaan berikutan masalah teknikal dan tapak asal yang tidak sesuai.

Menurut beliau, pihaknya telah bangkitkan masalah berkenaan dalam pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin yang berkunjung ke Terengganu baru-baru ini.

“Walaupun mengalami kelewatan, politeknik itu tetap akan dibina. Tidak dipindahkan ke daerah lain, tetap dibina di Hulu Terengganu.

“Kita tidak dapat memaklumkan bila ia akan mula dibina kerana usaha untuk menyelesaikan masalah itu sedang berjalan antara kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya selepas Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Dungun baru-baru ini.

PHT yang menyewa bangunan milik Majlis Daerah Hulu Terengganu di Kuala Berang kini mempunyai kira-kira 200 pelajar dengan menawarkan dua program pengajian iaitu Diploma Perakaunan dan Diploma Pengurusan Pelancongan.

Tambah Ahmad Razif, pihaknya turut mengambil kira cadangan beberapa pihak untuk membina kampus itu di kawasan padang ragut Tersat di Kampung Tanjung Putat atau berhampiran Padang Astaka Kuala Berang.

“Pembinaan kampus berkenaan cukup penting bagi memastikan penduduk di kawasan itu menerima pendidikan dengan lebih baik, selaras dengan perancangan asalnya,” ujarnya.

23,157 calon duduki PMR di Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Seramai 23,157 calon di negeri ini menduduki Penilaian Menengah Rendah bermula hari ini hingga 11 Oktober ini.

Jabatan Pelajaran negeri dalam satu kenyataan berkata, daripada jumlah itu, 91 calon adalah pelajar Pendidikan Khas terdiri daripada enam calon masalah penglihatan, pendengaran (10), pembelajaran (75) dan kurang upaya fizikal (9).

Mara lulus RM22.7 juta pinjaman kepada 262 usahawan Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengeluarkan pinjaman sebanyak RM22.7 juta kepada 262 usahawan di Terengganu dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Pengarah Mara negeri, Abdullah Muhamad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM13.8 juta diluluskan untuk pinjaman kontrak yang melibatkan seramai 144 orang.

"Mereka meminjam antara RM250,000 dan RM500,000, bergantung kepada projek yang dijalankan," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Khidmat Cemerlang Mara 2010 yang disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Sumber Manusia Mara, Ramli Sudin.

Abdullah berkata, pinjaman kontrak merupakan pinjaman terbesar yang dikeluarkan di Terengganu setakat ini.

Beliau memberitahu, Mara tidak menghadapi masalah dari segi bayaran balik daripada para peminjam.

Dalam perkembangan lain, Abdullah berkata dalam tempoh yang sama Mara membelanjakan lebih RM374,800 untuk pinjaman pendahuluan kepada 249 pelajar yang berjaya masuk ke univesiti swasta tahun ini.

Beliau berkata pelajar berkenaan mendapat pinjaman sebanyak RM2,000 setiap seorang.

Kekalahan Sabah kepada T-Team dalam Liga Super tidak boleh dijadikan ukuran

Oleh FAUZI MOHD

Walaupun Sabah pernah kalah kepada T-Team dalam Liga Super, namun itu tidak boleh dijadikan ukuran apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam suku akhir Piala Malaysia 10 Oktober ini.

Jurulatih T-Team, Yunus Alif malah berkata Sabah mungkin menjadi ancaman utama kepada pasukan itu dalam pertandingan berprestij itu nanti.

"Pertandingan Liga Super tidak boleh dijadikan ukuran dan perbandingan kerana semua pasukan mahu merebut Piala Malaysia, piala terakhir dan teragung dalam Liga Malaysia," katanya semalam.

Yunus berkata dalam menghadapi perlawanan nanti beliau telah mengarahkan pemain T-Team lebih bersunggu-sungguh kerana semua perkara boleh terjadi dalam perlawan itu nanti.

Beliau berkata tidak mustahil Sabah boleh menundukkan T-Team walaupun pasukan itu mempunyai barisan pemain ternama dan berpengalaman.

Yunus berkata untuk mengekalkan momentum, T-Team perlu menyerang habis-habisan selain memantapkan barisan pertahanan bagi memastikan pasukan itu mencapai kejayaan.

Terengganu akan berkunjung ke Sabah untuk perlawanan pusingan pertama sebelum berdepan pasukan itu di pusingan kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 14 Oktober ini.

Yunus berkata di Sabah nanti, T-Team perlu sekurang-kurangnya seri untuk dijadikan bekalan bertemu di pusingan kedua di sini.

Dalam pada itu, beliau berharap pemain T-Team tidak mengalami sebarang kecederaan yang boleh menjejaskan peluang pasukan melangkah ke pusingan separuh akhir.

Beliau berkata ketika ini tiga pemain tonggak T-Team mengalami kecederaan iaitu Haris Safwan Mohd Kamal, Indera Putra Mahayuddin dan Mohd Fitri Omar yang diharapkan akan pulih sebelum perlawanan bermula.

11 buah negara sertai Jambori Pengakap Antarabangsa Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Sebanyak 11 buah negara akan mengambil bahagian dalam Jambori Malaysia ke-12 dan Jambori Pengakap Antarabangsa Terengganu 2011 selama tujuh hari mulai 19 November depan di Kem Telaga Batin, Seberang Takir.

Pengerusi Majlis Pengakap Negeri Terengganu, Dato’ Abdullah Taib berkata, negara itu ialah Singapura, Vietnam, Jepun, Nepal, Hong Kong, Maldives, Mesir, Indonesia, Kazakhstan, Brunei dan Sri Lanka yang melibatkan 361 peserta.

"Peserta dalam negara pula melibatkan semua negeri dengan jumlah peserta hampir 10,000 orang," katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Jambori Malaysia ke-12 dan Jambori Pengakap Antarabangsa Terengganu 2011 di Kem Telaga Batin semalam.

Dato’ Abdullah berkata, penyertaan peserta dari negara luar dan dalam negeri masih dibuka sehingga penghujung bulan ini.

04 October 2011

Kerja kuat seperti PM dan MB

Oleh; Esah Abdullah

Semua pemimpin Barisan Nasional (BN) dari empat peringkat (bahagian, cawangan, wanita, pemuda, puteri) perlu mencontohi sikap Perdana Menteri dan Menteri Besar yang sentiasa turun ke bawah mendekati rakyat pada setiap hari dan masa.

“Sentuhan yang diterima daripada pemimpin atasan, mampu menarik perhatian masyarakat di peringkat akar umbi,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pemantau UMNO Perhubungan Terengganu, Dato’ Muda Mamat.

Beliau yang baru dilantik ke jawatan berkenaan berkata, apa yang disuarakan itu hasil gerakan kerja keseluruh negeri oleh jawatankuasa pemantau di bawah pimpinan Allahyarham Dato’ Awang Jabar mengadakan perjumpaan dan dialog bersama masyarakat tempatan.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Marang selama 21 tahun (1983-2004) itu dilantik sebagai Pengerusi Pemantau UMNO Perhubungan Terengganu menggantikan Allahyahram Dato’ Awang Jabar yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 20 September lalu.

Dato’ Muda juga pernah menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri selama dua penggal (1986-1995) dan memegang portpolio Jawatankuasa Kemudahan Awam (penggal pertama) dan Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Peniaga Kecil(penggal kedua).

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Binjai kini dikenali Pengkalan Berangan, Marang selama 17 tahun (1982-1999) itu dengan pengalaman dan perlantikannya sebagai penyambung legasi Allahyarham Dato’ Awang.

“Setelah melihat dan berjumpa dengan sebahagian besar pengundi di peringkat akar umbi, saya yakin mereka tetap sayangkan parti yang memerintah dan BN mampu menguasai dua pertiga kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang,” katanya.




PPD Bukit Payong rai persaraan Guru Besar

Oleh: Amirullah Othman



Pegawai Pembangunan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, Encik Zaidi Muda meraikan persaraan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bukit Payong, di Primula Hotel Kuala Terengganu, semalam.

Tuan Haji Sulaiman Jang yang mencapai usia 58 tahun telah menamatkan perkhidmatan beliau dan diraikan para guru sekolah berkenaan bagi mengenangkan jasa-jasanya sepanjang berkhidmat di sekolah itu.

Seramai 80 orang guru Sekolah Kebangsaan Bukit Payong turut hadir pada majlis tersebut yang menyajikan pelbagai juadah berasaskan hari raya.

Encik Zaidi berkata, peranan guru amat penting dalam mendidik anak bangsa terutama dalam era sekarang yang kian mencabar.

Beliau berharap para guru tidak jemu dalam menjalanklan amanah yang diletakkan di atas bahu mereka dan kerajaan negeri sedia membantu apa sahaja bagi meningkatkan kualiti pendidikan di negeri ini.

“Kerajaan negeri sentiasa meletakkan soal pendidikan sebagai bidang utama yang perlu diberi perhatian dan peruntukan sewajarnya sentiasa disediakan agar pelajaran anak-anak Terengganu tidak terabai,” katanya kepada Teganukita.

Encik Zaidi berkata, jasa guru-guru perlu dikenang dan diingati kerana jika tiada guru sebagai pendidik yang baik , maka sukar untuk kerajaan melahirkan modal insan yang cemerlang.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan cenderamata kepada Haji Sulaiman sebagai tanda kenang-kenangan.



Kapal RV Discovery UMT pendek tempoh penyelidikan

Oleh: Suriati Ali

Kewujudan Kapal latihan dan penyelidikan Research Vessel Discovery (RV Discovery) nyata dapat memberi pendedahan dan latihan kepada pelajar-pelajar jurusan Sains Samudera, Biologi Marin, Sains Nautika, Pengangkutan Maritim serta Teknologi Maritim Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Naib Canselor UMT Dato' Prof Dr. Aziz Deraman, berkata membantu para pelajar dan penyelidik untuk melakukan penyelidikan mereka dengan lebih mudah, tepat, cepat dan dalam keadaan semula jadi tanpa perlu pulang ke daratan untuk menggunakan peralatan simulasi di makmal.

‘‘Untuk memahirkan penggunaan peralatan berkenaan, UMT mengadakan kerjasama dengan Keel University, Jerman dalam melatih kakitangannya agar kemudahan tersebut dapat digunakan dengan tepat,” ujarnya.

Selain itu tambahnya, UMT berharap RV Discovery dapat juga dimanfaatkan oleh pihak lain dalam melakukan pelbagai bentuk penyelidikan. Selain itu, hasil penyelidikan yang diperoleh dapat menjadi sumber rujukan terutamanya berhubung langkah-langkah pemuliharaan, pendidikan, penjanaan ekonomi dan lain-lain.

Pihaknya turut merancang untuk membuat pelayaran sebanyak dua kali setahun terutamanya untuk tujuan oseanografi termasuk ke perairan Sabah dan Sarawak.

“Kita akan turun ke laut untuk membolehkan para penyelidik menjalankan kajian mereka dalam bidang oseanografi secara lebih luas dan tanpa sempadan, sesuai dengan slogan UMT Teroka Seluas Lautan.

“Walaupun bidang penyelidikan oseanografi masih baru di negara kita, namun sebagai sebuah universiti yang memainkan peranan berasaskan marin dan akuakultur, kita berharap RV Discovery boleh dianggap satu titik permulaan kepada UMT untuk meletakkan ia sebagai institusi terulung di negara ini dalam bidang itu,” jelasnya.

Justeru, beliau juga berharap agensi-agensi lain yang berkaitan seperti Jabatan Geosains dan Agensi Nuklear Malaysia dapat turut serta berkongsi manfaat kewujudan RV Discovery.

“Kami sangat mengalu-alukan jabatan lain yang berminat untuk menggunakan kapal RV Discovery agar ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” jelasnya.

Kapal yang dilancar Raja Pemaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah baru-baru ini bernilai lebih RM15 juta khusus dibina bagi penyelidikan oseanografi dengan kelengkapan terkini setanding dengan kapal penyelidikan luar negara dengan keupayaan belayar sejauh lebih 4,000 batu nautika dan boleh berada selama dua minggu di lautan.

Kapal sepanjang 35 meter dan seberat 300 tan itu dibina pada September 2008 oleh syarikat tempatan, Kay Marine Sdn. Bhd. dan berkemampuan menampung 12 krew kapal dan 23 pelatih pada satu-satu masa dengan menyediakan kabin, ruang makan serta ruang rehat yang selesa.


Nurul Ain kembali menyertai MMRC di Pulau Duyong

Oleh FAUZI MOHD

Juara Kejohanan Malaysian Match Racing (MMRC) 2008, Nurul Ain Md. Isa, kembali beraksi dalam edisi keenam bagi kejohanan itu yang akan diadakan pada 7 hingga 10 Oktober di Pulau Duyong, Kuala Terengganu.



Dengan penyertaan Nurul, bermakna tiga bekas akan bertanding dalam MMRC 2011 yang merupakan acara kelayakan bagi Piala Monsun, acara penutup siri jelajah dunia, World Match Racing Tour.

Gadis kelahiran Perak yang berusia 26 tahun dari Pasukan Ri-Yaz Heritage Sailing dan pasukannya yang dibarisi Mohd. Fairuz Mat Daud selaku Pengurus F&B, Mohd. Izzaq Amir sebagai Eksekutif Resort dan Abdul Rahim Mohd. Zan dan Saifullah Mohd Esa yang juga pernah menjadi 'bowman' dalam Pasukan Tiffany Koo turut beraksi dalam MMRC tahun lalu.



Nurul menyandang gelaran Juara MMRC 2008 bersama Hazwan Hazim yang merupakan juara MMRC pada tahun 2009 dan tidak bertanding tahun lalu.

"Saya berhenti daripada menyertai pertandingan buat sementara waktu kerana memberi tumpuan kepada pelajaran pada 2009. Setelah tamat belajar saya membantu abang saya dalam perniagaan marin di Lumut", katanya.

Antara sebab utama Nurul kembali bertanding adalah atas dorongan Pengurus Besar Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Abdul Shaheed Yusof,



"Beliau merasakan penyertaan Nurul sebagai satu-satunya pengemudi wanita dalam regatta ini adalah dimensi yang unik kepada Ri-Yaz Sailing Team.

"Kami menggunakan peluang yang besar ini memandangkan kapal F36 berlabuh di Ri-Yaz dan kami selaku tuan rumah. Ri-Yaz Sailing Team telah menyertai beberapa edisi Piala Heritage Bay dan pernah satu kali muncul juara," kata Abdul Shaheed.