Halaman

27 January 2012

Terengganu terima 17 guru ETA

Oleh: Suriati Ali

Seramai 17 daripada 50 Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) Fullbright dari Amerika Syarikat (AS) yang dihantar ke negara ini akan ditempatkan di beberapa sekolah di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Ahmad Razif Abd Rahman, berkata ia adalah tahun ketujuh negeri Terengganu mendapatkan khidmat ETA sebagai salah satu usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

Menurutnya, bagi program kali ini, pihaknya akan menumpukan penempatan di sekolah yang dikategorikan sebagai sekolah premier dan sekolah elit.

"Program ETA sebenarnya bukan asing bagi kita kerana ia dilaksanakan di sini sejak tahun 2006 lagi.

"Bezanya tahun ini ialah, ia tidak lagi diletakkan di bawah seliaan kerajaan negeri sebaliknya telah diambil alih oleh Kementerian Pelajaran," katanya.

ETA adalah program jalinan yang diwujudkan bagi mempromosikan pertukaran pendidikan antara Malaysia dan AS.

Kumpulan 50 guru ETA itu tiba di negara ini pada 4 Januari lalu dan sebahagiannya akan turut ditempatkan di Johor dan Pahang selama 10 bulan mulai 31 Januari.

Menurut Ahmad Razif, berdasarkan pengalaman Terengganu, 100 peratus format dan modul yang pernah digunakan akan terus dikekalkan.

Beliau berkata, kerajaan negeri berhasrat untuk menambah bilangan tenaga pengajar menerusi program ETA, tahun ini.

"Kita ada mohon daripada Fullbright untuk tujuan itu tetapi mereka hanya sediakan 50 ETA untuk Malaysia kali ini.

"Justeru, kita kini sedang mengenal pasti negara-negara lain termasuk United Kingdom untuk menambah bilangan tenaga pengajar Bahasa Inggeris di sini," katanya




74 pegawai, kakitangan APMT terima anugerah

Oleh FAUZI MOHD

Sebanyak lapan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) menerima anugerah APMT Terbaik.



Lapan APMT yang dipilih mewakili setiap kawasan Parlimen itu termasuklah APMT DUN Jertih dari Parlimen Besut, DUN Permaisuri (Setiu) dan DUN Teluk Pasu (Kuala Nerus).

Bagi Parlimen Kuala Terengganu ia dimenangi oleh APMT DUN Bandar, DUN Kuala Berang (Hulu Terengganu), DUN Rhu Rendang (Marang), DUN Bukit Besi (Dungun) dan DUN Cukai (Kemaman).



Anugerah disampaikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said pada Majlis Makan Malam APMT di Taman Tamadun Islam bagi menghargai para petugasnya.



Pada majlis itu juga, Ketua Penyelia APMT DUN Kota Putera, Ismail Shafie dan Pembantu Penyelia APMT DUN Manir, Gayah Ismail menerima Anugerah Khas Menteri Besar dengan hadiah pakej mengerjakan umrah.

Secara keseluruhannya, seramai 74 pegawai dan kakitangan menerima penghargaan pada majlis itu melalui beberapa anugerah termasuk Anugerah Inovatif dan Anugerah Khas Pengarah.

Pengarah APMT, Roshali Taha berkata, anugerah tersebut berdasarkan prestasi sepanjang tahun lalu yang meliputi khidmat kepada masyarakat, kerja berpasukan serta pencapaian dalam program yang dianjurkan.

"Jumlah penerima anugerah kali ini sekitar tujuh peratus daripada jumlah keseluruhan kakitangan dan pegawai seramai 1,056 di 32 DUN dan di ibu pejabat," katanya.

Menurut Roshali, pengiktirafan tersebut mungkin akan dijadikan satu kriteria untuk penerima anugerah memegang jawatan dan memikul tanggungjawab yang lebih tinggi pada masa depan.


26 January 2012

Pemimpin masyarakat diminta beri penerangan mengenai Bajet 2012

Oleh: Suriati Ali

Pelbagai pihak terutama pemimpin masyarakat diminta memainkan peranan penting dengan mengingati dan menyampaikan secara telus segala maklumat mengenai Bajet 2012 kepada penduduk setempat.



Timbalan Pegawai Kewangan, Pejabat Perbendaharaan Negeri, Haji A. Rahman Yahya, berkata pendekatan itu wajar supaya semua lapisan masyarakat memahami apa yang ingin dilaksanakan kerajaan.

Katanya, pemimpin masyarakat wajar memberitahu pelbagai aspek dan strategi utama yang dilakukan kerajaaan dalam mengurus bajet berjumlah RM1.950 bilion seperti apa yang dibentangkan baru-baru ini.

“Bajet 2012 telah dirangka dengan mengambil kira perencanaan Hala Tuju Pembangunan Negeri Terengganu (HPNT) bagi tahun 2009 sehingga 2013,” katanya ketika memberi taklimat di Majlis Perancangan Bajet 2012 di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.



Seramai 500 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari kawasan Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu hadir mendengar taklimat itu.
Program seumpama itu akan diadakan secara berperingkat-peringkat mengikut zon yang dijadualkan.




Sultan saran guna khidmat arkitek mampu tonjol ciri binaan menarik

Oleh: Esah Abdullah

Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin menintahkan supaya khidmat arkitek yang mampu menonjolkan ciri-ciri binaan lebih menarik digunakan bagi merekabentuk bangunan baru di Bandar Kuala Terengganu.

Baginda bertitah, langkah itu perlu bagi memastikan bangunan yang lebih artistik dan mampu menarik minat pelancong, didirikan sekitar bandar ini, sesuai dengan jolokannya Bandaraya Warisan Pesisir Air.

“Dengan adanya bangunan yang cantik dan unik serta mengekalkan ciri-ciri tradisional, akan menambah daya tarikan pelancong di negeri ini,” titah baginda selepas taklimat Pembangunan Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) di pejabat Datuk Bandar MBKT di bangunan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) hari ini.

Taklimat sempena lawatan rasmi baginda ke MBKT, disampaikan Datuk Bandar MBKT, Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan serta ketua-ketua jabatan.

Baginda Sultan Mizan turut bertitah agar pihak berkuasa mencari jalan menyelesaikan masalah kesesakan dalam bandar Kuala Terengganu bagi mengurangkan rungutan pengguna.

Baginda turut menyarakan agar pejalan kaki diadakan di kawasan strategik bagi kemudahan orang ramai dan pengindahan kawasan bandaraya.

Sementara itu, Dato’ Seri Haji Ahmad menjunjung kasih di atas titah Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin yang prihatin dan mengambil berat terhadap perkembangan pembangunan pesat di negeri ini, terutama di Bandar Kuala Terengganu.

“Kerajaan negeri merafak sembah menjunjung kasih di atas keberangkatan Tuanku Sultan mendengar taklimat dan memberi teguran serta saranan bagi tujuan penambahbaikan kemudahan dalam kawasan bandaraya,” katanya kepada pemberita sebaik taklimat selesai.

Katanya, kerajaan sentiasa mendengar dan mengambilkira suara rakyat serta memastikan semua perancangan pembangunan dilaksanakan memberi keuntungan kedua belah pihak iaitu kerajaan dan rakyat.




Sultan Terengganu lawat MBKT

Oleh; Esah Abdullah

Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat melawat pejabat Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan mendengar taklimat pembangunan di bandar ini, pagi ini.



Menyambut keberangkatan baginda ialah Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Datuk Bandar MBKT, Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri serta ketua-ketua jabatan.

Taklimat disampaikan oleh Dato’ Haji Adzlan merangkumi keseluruhan pembangunan dalam kawasan pentadbiran MBKT bermula sejarah penubuhannya, bidang kuasa, profil, halatuju, struktur pentadbiran, carta organisasi dan fungsi serta peranan organisasi tersebut ke arah kesejahteraan warga bandar.



Dalam takilmatnya, Datuk Bandar turut menyentuh tentang perkhidmatan MBKT secara menyeluruh, pendapatan, perbelanjaan, pembangunan semasa merangkumi kepesatan di kawasan bandar raya termasuk pertumbuhan pusat-pusat kesihatan, pendidikan dan pelancongan.

Tambahnya, pembangunan bandar raya menjelang 2018 memerlukan satu perancangan yang teliti lagi komprehensif, antaranya projek Jalan Jeram ke Kampung Tok Kong sepanjang 2.2 kilometer (km) (fasa 1) dan 3.6 km (fasa 2) dengan kos keseluruhan RM225.9 juta.

Manakala projek jambatan di atas Sungai Terengganu ke Pulau Sekati membabitkan jambatan sepanjang 1.15 km serta keseluruhannya 2.5 km dengan kos RM238.5 juta.

Selain itu, MBKT turut merancang membangunkan Kuala Terengganu City Centre (KTCC) sebagai tranformasi utama projek pusat bandar raya membabitkan pelaburan RM5 bilion.






100 pelajar miskin dari DUN Jertih dapat basikal

Oleh: Mohammad Ishak




Kesulitan pelajar dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih untuk berulang alik ke sekolah kerana masalah pengangkutan akhirnya dapat diselesaikan apabila mereka diberi basikal untuk kegunaan harian.

Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Besut yang menyedari kesulitan dihadapi oleh pelajar berkenaan tanpil memberi bantuan basikal bagi memudahkan mereka pergi ke sekolah.

Seramai 100 pelajar miskin dari kawasan DUN Jertih dipilih oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan dikemukakan kepada pejabat Ahli Parlimen Besut untuk diteliti dan diambil tindakan.

Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Penasihat Agama Perdaana Menteri, merasmikan majlis penyerahan basikal berkenaan kepada pelajar dan ibu bapa yang terpilih menerima bantuan itu.

Abdullah berkata, pihaknya menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada pelajar daerah itu termasuk bantuan kewangan, peralatan sekolah dan basikal bagi membantu mereka pergi ke sekolah dengan sempurna.

“Pihaknya tidak memilih secara rambang sebaliknya menyerahkan kepada JKKK untuk mencari calon yang layak bagi menerima basikal itu,” katanya.

Beliau berkata, dengan adanya penagagihan basikal itu pelajar yang menghadapi masalah pengangkutan tidak lagi merunggut sebaliknya boleh pergi sendiri tanpa menunggu kenderaan awam.

Katanya, pelajar sekarang amat beruntung kerana mereka mendapat pelbagai bantuan dan sumbangan sama ada daripada individu dan kerajaan berbanding dahulu yang tidak menikmati kemudahan seumpama itu.



Wali Band jelajah Terengganu Mac ini

Oleh FAUZI MOHD



Kumpulan muzik pop kreatif tersohor dari Indonesia, Wali Band akan dijemput untuk mengadakan konsert jelajah di empat daerah di Terengganu pada Mac ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, konsert percuma itu akan bermula di Kemaman sebelum meneruskan jelajah ke Besut, Hulu Terengganu dan berakhir di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu.

Menurutnya, kumpulan yang ditubuhkan pada Oktober 1999 itu dipilih kerana elemen seni dan muzik yang dipersembahkan mampu mendidik masyarakat dengan lagu berkonsepkan ketuhanan serta irama nasyid.

“Pendekatan ini dilihat boleh menjadi wadah untuk menarik minat golongan belia berkumpul dan bergaul secara positif kerana Kerajaan negeri memahami cita rasa orang muda

“Karya seni lima anak muda memang diminati golongan muda di negeri ini memandangkan mereka bermula dari sebuah sekolah pondok di Indonesia sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Islam Syarif Hidayatullah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) di Taman Tamadun Islam, di sini malam tadi yang turut dihadiri Pengarah APMT, Roshali Taha.

Tambah Dato’ Seri Ahmad, konsert anjuran Kerajaan negeri itu akan dikendalikan beberapa badan bukan kerajaan (NGO), persatuan kesenian dan kebudayaan serta Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu.

“Bagi pusingan kedua, Wali Band yang banyak menyampaikan mesej-mesej Islam di dalam kebanyakan lagunya akan meneruskan persembahan mereka di daerah Dungun, Marang dan Setiu,” jelasnya sambil memberitahu tarikh dan lokasi persembahan akan dimaklumkan kemudian.

Sementara itu, di majlis berkenaan, lapan APMT di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) memenangi Anugerah APMT Terbaik iaitu DUN Jertih dari Parlimen Besut, DUN Permaisuri (Setiu) dan DUN Teluk Pasu (Kuala Nerus).

Bagi Parlimen Kuala Terengganu dimenangi APMT DUN Bandar, DUN Kuala Berang (Hulu Terengganu), DUN Rhu Rendang (Marang), DUN Bukit Besi (Dungun) dan DUN Chukai (Kemaman).

Dato’ Seri Ahmad turut menyampaikan Anugerah Khas Menteri Besar kepada Ketua Penyelia APMT DUN Kota Putera, Ismail Shafie dan Pembantu Penyelia APMT DUN Manir, Gayah Ismail.


MAJLIS PENERANGAN BAJET 2012



Perarakan Maulidur Rasul dijangka disertai 20,000 peserta

Oleh: Aida Abd Rahman

Perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu pada 5 Februari ini (Ahad) dijangka lebih meriah berbanding tahun sebelumnya berikutan 20,000 peserta bakal menyertai majlis itu.

Pada tahun ini, kira-kira 15,000 pemimpin masyarakat Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) seluruh Terengganu turut menyertai perarakan itu, selain kira-kira 5,000 agensi kerajaan, swasta, badan beruniform serta pelajar.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata kerajaan negeri berhasrat pada tahun ini sambutan hari kebesaran dalam kalendar Islam itu diraikan dengan penuh meriah berbanding tahun sebelumnya.

“Pada 5 Februari ini, kita semua akan menyambut Maulidur Rasul. Kerajaan negeri mahu menganjurkan perarakan lebih besar berbanding tahun sebelumnya, di mana kali ini kita akan libatkan ahli dan pemimpin masyarakat iaitu JKKK.

“Penglibatan mereka nanti akan menjadikan peserta pada sambutan kali ini kira-kira 20,000 orang,” katanya ketika berucap di majlis Perhimpunan dan Anugerah Khidmat Cemerlang Bulanan Peringkat Wisma Darul Iman Bagi Bulan Oktober hingga Disember 2011, di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (25 Februari).

Perarakan dijangka bermula dari Taman Syah Bandar melalui bulatan Ladang sebelum berakhir di Stadium Negeri, Jalan Sultan Mahmud.

Sementara itu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dijangka berangkat ke majlis sambutan kali ini.

Dalam perkembangan lain, sempena sambutan itu juga turut diadakan konsert percuma, Muhammad Al-Ameen yang bakal menggabungkan dua ikon popular industri hiburan tempatan iaitu Datuk Siti Nurhaliza dan Rabbani di Dataran Tamadun Islam, Kuala Terengganu.



25 January 2012

Le Tour de Langkawi promosi Terengganu di 70 negara

Oleh FAUZI MOHD


Perlumbaan jelajah berprestij, Le Tour de Langkawi (LTdL) kini sudah menjadi satu jenama kepada acara berbasikal di rantau ini yang bakal memasuki edisi ke-17 bermula 24 Februari depan.

Terengganu terus meniti kemasyhuran sebagai kuasa baru sukan negara apabila melakar sejarah sebagai negeri pertama menjadi tuan rumah siri penjelajahan berstatus dua hors pada kalendar perlumbaan Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI).



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, perlumbaan 10 hari yang berakhir di Terengganu pada 4 Mac depan bakal memberi impak besar kepada sektor sukan dan industri pelancongan negeri untuk jangka masa panjang.

Menurutnya, liputan media antarabangsa dari 70 buah negara bukan sekadar mempamerkan aksi kayuhan 22 pasukan profesional, malah mampu menjana peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.

“Liputan media asing sudah tentu memberi promosi meluas kepada Terengganu menerusi penyiaran kepada ratusan juta penonton,” katanya selepas majlis penyerahan penajaan LTdL bernilai RM1 juta di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.



Pengarah Pengurusan Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Dato’ Ab. Jalil Abdullah menerima tajaan berkenaan daripada Menteri Besar yang mewakili penganjur iaitu Kementerian Belia dan Sukan, MSN dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF).



Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB. Rozi Mamat dan Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah.

Tambah Dato’ Seri Ahmad, melalui pengenalan konsep penajaan venue yang pertama kali diperkenalkan dalam penganjuran LTdL, Terengganu tampil mengambil bahagian dalam inisiatif berkenaan.

Menurutnya, konsep itu memecah tradisi penganjurannya yang tidak melibatkan Langkawi dan ia sama seperti konsep Tour de France di mana lokasi permulaan jelajah terbesar itu diadakan di banyak lokasi seperti Monaco, London, Dublin dan Amsterdam.

“Dengan komitmen yang diberikan Kerajaan negeri, penganjur juga akan memberi peluang kepada rakyat negeri ini menyaksikan pelumba kelahiran Terengganu beraksi,” jelasnya sambil merujuk kepada pasukan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) yang turut serta.

Beliau turut meminta penganjur menjemput pasukan seperti Champion System dari China yang membarisi dua pelumba kelahiran Terengganu, Anuar Manan dan Adiq Husainie Othman serta OCBC Cycling Team, Singapura yang disertai Ahmad Haidar Anuawar, pelumba kelahiran Kemaman.

“Tidak kiralah apa pasukan yang mereka wakili, apa yang penting ialah pelumba itu kelahiran Terengganu dan ia akan memberi rasa bangga buat rakyat negeri ini nyatakan sokongan ketika perlumbaan berlangsung,” katanya.

Pada edisi kali ini, Terengganu akan menjadi hos kepada tiga peringkat perlumbaan iaitu peringkat kelapan dari Pekan, Pahang ke Chukai sejauh 100.8km, diikuti dua peringkat berikutnya iaitu Kemasik-Kuala Terengganu (165.7km) dan Tasik Kenyir-Kuala Terengganu (114.8km).



Video Le Tour De Langkawi