Dunia perubatan di Terengganu mencatat sejarah apabila dua bayi, masing-masing lelaki dan perempuan selamat dilahirkan buat pertama kalinya menerusi program persenyawaan dalam tabung uji (IVF) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, pada 31 Ogos lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar meluangkan masa melawat kedua-dua ibu bayi itu, berkata ini adalah bayi tabung uji yang pertama dilahirkan di HSNZ sejak perkhidmatan IVF dilaksanakan sepenuhnya bermula November tahun lalu.
HSNZ menjadi hospital ketiga menawarkan perkhidmatan itu secara sepenuhnya selepas Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Dr A Rahman berkata, sepasang bayi berkenaan dilahirkan Mastika Abdul Aziz, 31, dan Salina Mohamad, 44. Malah, HSNZ dijangka bakal menerima 10 lagi bayi menerusi kaedah IVF sepanjang tahun ini hingga tahun depan.
Menurutnya, kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM1 juta bagi melaksanakan perkhidmatan IVF terutama menyediakan pelbagai peralatan dan pengubahsuaian dewan bedah di HSNZ.
Katanya, hospital itu mempunyai tiga orang doktor pakar yang mengendali program IVF dengan diketuai pakar perunding Dr Mohd Zulkifli Mohd Kassim.
Ibu bayi lelaki, Mastika berkhidmat sebagai jururawat di HSNZ dan berasal dari Marang, berkata, beliau bersama suaminya Mohammad Fadli Ngah, 31, menunggu selama empat tahun menerusi pelbagai kaedah perubatan untuk mendapatkan cahaya mata termasuklah melakukan permanian beradas tetapi masih belum berjaya memperolehi zuriat.
"Selepas usia perkahwinan memasuki dua tahun, saya mencuba permanian beradas sebanyak tiga kali, bagaimanapun keputusannya amat mengecewakannya. Sehinggalah saya disyorkan kaedah IVF ini oleh seorang doktor pakar dan sebaik mencuba ia benar-benar mendatangkan hasil," katanya .
Kegembiraan Mastika yang melahirkan bayi seberat 2.92 kg dengan cara pembedahan pada kira-kira 9.07 minit berganda apabila anak sulungnya lahir pada hari Kemerdekaan negara ke-53 serta sambutan lebaran seminggu lagi .
Sementara ibu bayi perempuan, Salina yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Perempuan Likas, Kota Kinabalu, Sabah berkata, kelahiran anak keduanya itu merupakan suatu yang amat bermakna buatnya dan suami, Fazuri Ishak, 38, yang merancang mendapatkan anak lagi selepas melahirkan anak sulung, Ahmad Faris secara normal enam tahun lalu.
“Suami saya berkhidmat sebagai anggota tentera laut dan dihantar mengikuti projek kapal selam di Perancis menyebabkan kami jarang bertemu. Selepas suami kembali akhir tahun lepas, kami mengambil peluang menggunakan kaedah IVF di sini dan syukur semuanya selamat tanpa sebarang komplikasi," katanya yang melahirkan bayi seberat 2.81 kg pada 11.25 pagi.
TEGANUKITA