Halaman

08 May 2014

Genap setahun tadbir Setiu: Zulkifly dan Iskandar cakna rakyat.

Oleh: Aminudin Ismail.

'HUMBLE’ atau rendah diri dan mudah didekati, itulah yang boleh digambarkan dengan lima wakil rakyat BN yang diamanahkan untuk mentadbir empat DUN dan satu Parlimen di Setiu ini malah hubungan mereka dengan penduduk ibarat sebagai rakan yang sudah lama berkenalan sebagai tempat mengadu pelbagai permasalahan samada di peringkat kampung ataupun masalah peribadi.

Semalam, Teganukita menceritakan serba ringkas tentang keupayaan dua wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat untuk mentadbir kawasanya selepas mencapai kemenangan pada PRU yang ke 13 tahun lalu iaitu Bazlan Abdul Rahman (Adun Batu Rakit) dan Dato’ Sabri Mohd Nor (Adun Langkap).

Hari ini, Teganukita akan menyingkap pula secara ringkas bagi mengenali dua lagi wakil rakyat di Setiu ialah Mohd Zulkifly Jusoh (Parlimen Setiu) dan Adun Jabi, Mohd Iskandar Jaafar.

Iskandar...disenangi penduduk.
Mohd Iskandar Jaafar, 39 tahun, berasal dari Kampung Apal, Besut, mendapat pendidikan sehingga peringkat bachelor di Universiti Malaya (UM). Sebagaimana yang umum sudah ketahui bahawa beliau adalah bekas Penolong Pengarah Kanan Jabatan Penerangan Negeri Terengganu.

Walaupun pemilihannya sebagai calon wakil rakyat Dun Jabi sebagai ‘bidang terjun’ dalam PRU Umum lalu kerana beliau ditawarkan untuk bertanding beberapa hari sebelum penamaan calon namun ternyata tawaran yang diterima oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said sendiri pada jam 3 pagi itu, sebagai satu hadiah paling bernilai buat penduduk Dun Jabi.

Berlatar belakangkan seorang yang boleh berpidato, ternyata anak muda yang aktif berpesatuan ini menjadi tumpuan apabila beliau menyampai ucapan.

Setiap apa yang diucapkan mempunyai fakta dan kadang-kadang ada unsur jenaka bagi menarik perhatian pendengar serta beliau akan laksanakan apa yang diucapnya termasuklah menunaikan janji-janji pilihanya yang lalu.

Pemilihan beliau sebagai wakil rakyat Dun Jabi selepas  menang dalam PRU lalu dengan memperolehi undi sebanyak 7,735 ternyata tepat dan harus disyukuri penduduk Jabi kerana beliau adalah pemimpin masa depan dan mempunyai banyak masa untuk memajukan dan memakmurkan Dun Jabi.

Selepas menang PRU ke 13 lalu, beliau mempunyai agenda tersendiri  sebagai wakil rakyat, antara agenda utamanya ialah mempastikan bidang pendidikan di Dun Jabi bertambah baik supaya lebih ramai yang mencapai keputusan baik dalam peperiksaan.

Dia melaksana beberapa perkara ke arah itu termasuklah memastikan JKKK sentiasa memantau prestasi sekolah dan menghulur pelbagai bantuan untuk memajukan bidang pendidikan itu.

Selain itu, Iskandar juga terkenal seorang wakil rakyat yang terlalu cakna tentang masalah yang dihadapi penduduk di kawasannya malah bertemu dengan penduduk sudah menjadi rutin hariannya jika tidak mempunyai urusan di luar kawasan.

Beliau juga sedang berusaha untuk membangun pekan Jabi yang dikenali sebagai pekan satay itu menjadi sebuah bandar kecil lebih tersusun dan akan menjadi tumpuan ramai.

Ternyata, pemilihan beliau sebagai wakil rakyat tidak sia-sia kerana dia sememangnya di anugerahkan kepada penduduk Dun Jabi bagi mengurus tadbir dengan baik supaya kawasan Dun itu terus maju dan makmur di bawah pentadbiran Barisan Nasional.

Zul...tegas di Parlimen tetapi lembut hati di kawasan.
Bagi Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifly Jusoh pemilihannya sebagai calon pilihanraya Umun lalu dengan majoriti 7,943, agak mengejutkan penduduk Parlimen Setiu, kerana tiba-tiba beliau diumumkan sebagai calon BN kerana sebelum itu beliau kurang dikenali sebagai orang politik di Setiu.

Namun pengalaman berpolitik bukanlah syarat untuk menjadi pemimpin yang baik kerana ada calon yang bukan ahli politik tiba-tiba muncul di pentas politik mampu menjadi pemimpin yang baik dan disegani.

Sebagai Ahli Parlimen, Zulkifli hanya ada beberapa bulan sahaja di dalam kawasan manakala yang selebihnya dihabiskan masa dan kudrat mencurah idea di parlimen namun sebagai wakil rakyat, Zulkifli memanfaatkan masa yang ada untuk bersama penduduk di Parlimen Setiu untuk mengenal pasti permasalahan dan bentuk bantuan yang harus dihulurkan.

Paling membanggakan usaha wakil rakyat, anak tempatan Setiu ini ialah pelaksanaan Cakna Rakyat Parlimen Setiu yang diadakan kerjasama antara pejabat Parlimen Setiu dan pejabat Dun. Program ini besar maknanya, kerana setiap wakil rakyat akan berkunjung dari rumah ke rumah untuk mengenal pasti permasalahan penduduk dan menghulurkan bantuan.

Sehingga kini kesemua Dun sudahpun melaksanakan program ini dan ada yang sudah masuk pusingan kedua, program ini akan diteruskan supaya setiap rumah penduduk yang ada masalah dan memerlukan bantuan dapat dikunjungi oleh wakil rakyat.

Tahniah YB Zul, daripada seorang hakim mahkamah persekutuan yang berkhidmat untuk negara kepada seorang wakil rakyat yang berkhidmat untuk seluruh penduduk Parlimen Setiu.

Suaranya bergema di dewan rakyat malah beberapa kali berdebat dengan ketua pembangkang namun di kawasan parlimennya, Zulkifli seorang yang lembut hati dan seorang yang begitu cakna kepada permasalahan penduduk dan setiasa berusaha untuk memajukan Parlimen Setiu.

...Bersambung pada keluaran akan datang, Teganukita akan berusaha mendapatkan Ketua UMNO Bahagian Setiu, Dato' Mohd Jidin Shafee untuk mendapatkan komen beliau mengenai genap setahun kemenagan Barisan Nasional di Setiu selepas PRU 13 lalu dan masa depanya dalam politik di Setiu...teruskan klik TEGANUKITA untuk berita semasa dan politik terkini.

 

50 Murid S.K Seberang Takir Sertai Program Amal Mesra

Oleh: Noraini Jusoh

Kelab Mahasiswa Pengurusan Risiko dan Takaful, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah mengadakan Program Amal Mesra 2014 di Dewan Sivik Seberang Takir, hari ini.

Seramai 50 anak yatim dan miskin dari Sekolah Kebangsaan Seberang Takir menyertai program motivasi yang dikendalikan 23 fasilitator yang terdiri daripada ahli kelab berkenaan.

Mohamad Nuruddin Mohd Farza 
Pengarah Program Amal Mesra 2014, Mohamad Nuruddin Mohd Farza berkata, program tersebut merupakan salah satu tanggungjawab sosial yang dilaksanakan terhadap masyarakat setempat.

“Saya dan rakan-rakan merasa terpanggil untuk memberi sumbangan kepada murid miskin dan anak yatim di sekitar kawasan tempat pengajian kami bagi menaikkan semangat supaya mereka terus belajar dengan bersungguh-sungguh.

“Walaupun sumbangan ini dilihat kecil tetapi kami percaya sedikit sebanyak dapat memberi keyakinan untuk mereka berusaha dengan gigih sekali gus mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita ketika ditemui di Majlis Perasmian Program Amal Mesra 2014 di Dewan Sivik Seberang Takir, hari ini.

Turut hadir, Pemangku Pengarah Unit Komunikasi Terengganu, Ruslan Abd Rahman yang turut menyampaikan motivasi sempena majlis itu.

Menurut Mohamad Nuruddin, pihaknya turut mendapat tajaan daripada pihak kerajaan dan swasta bagi menjayakan program tersebut termasuk Hotel Tabung Haji serta Nestle.

 

Ahli Parlimen rasmi Mesyuarat Koperasi Felcra Panchor Merah.

HADIR…sebahagian daripada seramai 50 ahli Koperasi Felcra Kawasan Pancor Merah, Setiu hadir menjayakan mesyuarat agung tahunannya yang ke 21 yang diadakan di perkarangan Kedai Koop 1Malaysia, Kampung Guntung, semalam.

Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifly Jusoh yang merasmikan mesyuarat itu mengharapkan koperasi itu terus maju dan setiap ahli akan mendapat manfaat.

“Saya mengharakan koperasi Felcra ini bergerak aktif dan sentiasa mencari ruang untuk menambah pendapatan supaya ahli-ahli yang menyertainya akan mendapat manfaat termasuklah menerima dividen yang berpatutan pada setiap tahun,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga sentiasa memainkan peranan untuk membantu koperasi supaya terus maju dengan menyalurkan pelbagai bantuan dan dana.- Aminudin Ismail. 
Zulkifly berucap merasmi mesyuarat.
Kedai 1Malaysia milik Koperasi Felcra Panchor Merah,

 

07 May 2014

Pembangunan Terengganu mengutamakan kepentingan rakyat

Oleh: Noraini Jusoh

Mohd. Johari Abu Bakar
Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Mohd. Johari Abu Bakar menyifatkan kemajuan pembangunan negeri Terengganu di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said amat bertepatan dengan agenda dan pendekatan yang digunapakai iaitu ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’.

Menurut beliau, lebih enam tahun menerajui negeri ini terbukti kepimpinan Dato’ Seri Ahmad lebih mengutamakan kepentingan rakyat.

Katanya, apa jua pembangunan di negeri ini termasuk dari aspek sosial dan ekonomi dibuat berdasarkan pelan perancangan yang begitu teliti dan hala tuju pembangunan kerajaan negeri yang memenuhi keperluan rakyat.

 “Sebagai contoh, kerajaan negeri menyediakan pelbagai skim bantuan termasuk perumahan, persekolahan, dana raya dan sebagainya bagi meringankan beban kewangan rakyat yang kurang berkemampuan bagi memudahkan mereka menjalani kehidupan seharian.

“Malah, kerajaan negeri juga sentiasa menitikberatkan kemudahan infrastruktur untuk dinikmati rakyat Terengganu,” ujarnya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.

Mohd. Johari yang juga merangkap Ketua Pemuda UMNO Bahagian Hulu Terengganu berkata, rakyat negeri ini sepatutnya bersyukur atas nikmat yang dikecapi dan berterima kasih kepada kepimpinan Dato’ Seri Ahmad.

Katanya, dari aspek ekonomi pula, pelbagai pelaburan melibatkan pelabur asing dibawa masuk ke negeri ini untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat.

“Antaranya, projek bernilai jutaan ringgit diwujudkan dalam pelbagai sektor termasuk perindustrian, pembuatan, pelancongan, minyak dan gas yang pastinya menjanjikan peluang pekerjaan kepada anak Terengganu.

“Ditambah dengan pelbagai pembangunan komersial berimpak tinggi yang sedang rancak dijalankan, pastinya mampu memacu Kuala Terengganu terus maju ke hadapan selaras dengan peredaran zaman,” ujarnya.


 

Terengganu tuan rumah SOM 2014

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu bakal menjadi tuan rumah Special Olympics Malaysia (SOM) Ke-3 bermula 24 hingga 28 Mei ini.

Kejohanan yang bakal menghimpunkan kira-kira 1,200 atlet Orang Kelainan Upaya (OKU) kategori masalah pembelajaran dari seluruh Malaysia.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Encik Zuhami Omar, berkata Terengganu bersedia menjadi tuan rumah kejohanan selepas temasya yang sepatutnya diadakan di Pahang tahun lalu ditangguhkan berikutan masalah jerebu.

 “Kita bersedia menerima kehadiran atlet OKU dari seluruh negeri berkampung di Terengganu pada kejohanan lima hari itu nanti dengan memperincikan persiapan teknikal dan kemudahan yang sepatutnya menerusi pembentukan 13 jawatankuasa khas kejohanan.

“Selain menyertai kejohanan, kita berharap atlet dan pegawai dapat memanfaatkan tempoh masa menikmati keindahan negeri Terengganu termasuk melawat lokasi menarik sekitar negeri,” katanya ketika menyampaikan taklimat kejohanan di mesyuarat pelaksanaan SOM di Wisma Darul Iman, semalam.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JKM, Haji Zulkiply Ramli.

Dalam pada itu, majlis perasmian kejohanan berkenaan dijangka akan disempurnakan Menteri Kesihatan, Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, di Stadium Negeri, pada 25 Mei (Ahad) jam 8 malam. 

Majlis makan malam dan penutup kejohanan dijangka akan dilancarkan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu pada 27 Mei (Selasa) jam 8 malam.

Kejohanan akan mempertandingkan enam acara, iaitu bola sepak, bocce, olahraga, boling, renang, ekuestrian serta menawarkan 820 pingat melibatkan 284 pingat emas, 268 perak dan 268 gangsa.


Genap setahun mentadbir: Wakil Rakyat di Setiu buktikan kemampuan.

Gandingan yang mampu terus memakmur dan memajukan Setiu.
Oleh: Aminudin Ismail.

SABTU lalu genap setahun Pilihanraya Umum ke 13 diadakan dan pada hari itu, genap setahunlah pemerintahan Barisan Nasional di negeri Terengganu selepas memperolehi majoriti yang agak tipis iaitu lebih dua kerusi daripada pembangkang (17-15).

Namun kemenangan itu tetap memberi BN untuk membentuk kerajaan di negeri Terengganu, di mana Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Dato’ Seri Ahmad Said terus diberi kepercayaan pemimpin tertinggi UMNO sebagai Menteri Besar Terengganu.

Sebagaimana di ketahui umum, hanya dua parlimen sahaja di Terengganu ini yang berjaya menang di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Parlimen Besut dan Parlimen Setiu di mana kesemua kerusi itu dimenangi selesa pada PRU lalu.

Mohd Jidin...pemangkin Setiu.
Di Parlimen Setiu, sekalipun terdapat sedikit percaturan politik dalaman UMNO di mana ada segelintir pemimpin UMNO mengambil keputusan untuk ‘menentang’ kepimpinan Ketua Bahagian UMNO iaitu Adun Permaisuri, Dato’ Mohd Jidin Shafee namun Parlimen yang mempunyai hampir 80,000 pengundi itu tetap memilih Barisan Nasional untuk kembali mentadbir daerah itu.

Genap setahun pemerintahan BN di Setiu, sekalipun dibarisi empat muka baru yang tiada pengalaman sebagai wakil rakyat dan hanya Mohd Jidin yang mempunyai pengalaman itu tetapi ternyata empat ‘anak didik’ Exco kerajaan negeri ini termasuklah Ahli Parlimennya, Mohd Zulkifly Jusoh  mampu menjalankan tugas dengan baik dan cemerlang.

Pemilihan Bazlan Abdul Rahman, bekas guru, sebagai Wakil Rakyat Batu Rakit ternyata tidak sia-sia apabila orang kuat UMNO Batu Rakit itu terus menjalankan tugasnya sejurus selepas mengangkat sumpah sebagai Adun dengan melancar pelbagai strategi untuk memajukan dan memakmurkan bumi Dun Batu Rakit.

Antara agenda utamanya yang dianggap berjaya selepas dilantik wakil rakyat ialah mengatasi masalah banjir kilat di beberapa kampung di kawasanya yang sering ditengelami air akibat sistem perparitan yang kurang sempurna.

Bazlan...gigih berkhidmat.
Bazlan beberapa kali turun padang pada setiap kali berlakunya hujan lebat meninjau sendiri kampung terbabit dan beberapa langkah awal bagi mengatasi masalah itu sudahpun dilakukanya dengan meminta bantuan Pejabat Daerah Kuala Terengganu dan mengeluarkan peruntukan yang ada.

Seperkara lagi yang menarik tentang Bazlan ini, beliau begitu memperjuangkan nasib penduduk Pulau Redang di mana dia sendiri pernah menetap di pulau yang antara tercantik di dunia itu sebagai seorang guru selama beberapa tahun sebelum bertukar mengajar di daratan.

Sejak setahun memegang jawatan itu, Bazlan sudah beberapa kali ke Pulau Redang walaupun pada musim tengkujuh dan musim ombak berkucah demi untuk menyelesaikan beberapa masalah penduduk dan merasmikan beberapa program.

Bagi Bazlan menjalankan empat atau lima tugasan sehari sudah menjadi lumrah bagi, malah dia akan memenuhi apa jua undangan daripada majlis rasmi sehinggalah kepada minum bersama-sama penduduk di kedai kopi untuk melihat dan mendengar segala permasalahan rakyat.

Tahniah YB Bazlan, atas segala usaha itu, pastinya akan dihargai penduduk Batu Rakit, kekalkan momentan kerja selagi masih diberi kesihatan yang baik oleh Allah s.w.t . Semoga Dun Batu Rakit akan terus maju dan makmur di bawah tadbiran Barisan Nasional.

Dato' Sabri...mula di hati penduduk Langkap.
Dato’ Sabri Mohd Nor, Adun Langkap, yang sebelum ini hanya dikenali sebagai seorang usahawan berjaya di Setiu, tiba-tiba muncul sebagai calon Wakil Rakyat Dun Langkap. Walaupun pada mulanya ada desas-desus menyatakan beliau dikatakan ‘enggan’ menerima perlantikanya sebagai calon namun ternyata percaturan Mohd Jidin meletakan beliau sebagai calon BN Dun Langkap tepat dan tidak sia-sia.

Malah kemenangan majoriti yang lebih besar yang diperolehinya iaitu iaitu sebanyak 3,022 undi membuktikan penduduk Langkap mahu Sabri memimpin Langkap menjadi sebuah kawasan yang maju dan makmur.

Dato’ Sabri yang berkelulusan Diploma Ukur Bahan itu, sebenarnya seorang yang sudah lama aktif berpolitik dan pernah memegang beberapa jawatan dalam UMNO dan paling terbaru ialah Bendahari UMNO Bahagian sebelum menang jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiu pada pemilihan parti itu tidak lama dahulu.

Tanpa pengalaman sebagai wakil rakyat tetapi Sabri membuktikan bahawa dia mampu memikul amanah itu apabila beliau kini mula mendapat tempat di hati penduduk Langkap kerana kemuliaan hatinya serta sering mendampingi rakyat.

Menang sahaja sebagai wakil rakyat dalam PRU lalu, Sabri sudah mula memulakan agendanya ialah dia berjanji akan berusaha menyelesaikan masalah tanah di kawasan Langkap itu termasuklah berusaha mendapat geran bagi tanah sudah lama diduduki yang memenuhi syarat.

Dia juga tidak loket mambantu golongan yang kurang kemampuan yang memerlukan bantuan serta golongan OKU malah ada dikatakan ada penduduk miskin yang datang berjumpanya kerana masalah bil air dan api tertunggak dan ada yang dia selesaikan bagi meringankan beban penduduk itu.

Sabri juga tidak menghampakan mana-mana pihak yang menjemputnya untuk merasmikan sesuatu majlis termasuklah mesyuarat PIBG malah dia pernah menghadiri majlis itu lebih tiga kali dalam sehari serta beberapa program lain yang memerlukan beliau hadir.

Ternyata selama setahun mentadbir Langkap, Sabri sudah melaksanakan dan menyelesaikan beberapa agendanya dan kepimpinannya cukup kuat di Langkap malah ada di kalangan ahli pembangkang yang memujinya sebagai seorang yang berhati mulia.

Semoga Allah s.w.t akan terus memberi kesihatan yang baik kepada Dato’ Sabri bagi membolehkan beliau terus mentadbir Langkap untuk beberapa penggal lagi kerana saya yakin untuk terus menjadi wakil rakyat Langkap hanya perlu beliau bertanya kepada dirinya sendiri kerana penduduk Langkap, Insya Allah akan terus memilihnya pada PRU akan datang.

....bersambung mengenai tiga lagi Wakil Rakyat di Parlimen Setiu ini pada keluaran akan datang dan teruskan klik TEGANUKITA.

 

Salasiah/ Aisyah johan Badminton Tertutup Sekati.

KENANGAN..peserta Kejohanan Badminton Tertutup Kampung Sekati, Kuala Terengganu bergambar kenangan selepas bertanding dalam kejohanan sehari yang diadakan di Dewan Sivic Manir, baru-baru ini. 

Kejohanan yang disertai seramai 20 peserta itu adalah program tahunan yang dianjurkan bersama Jawatankuasa Jiran Wanita KRT, Gerakan Belia 4B Wanita dan Puteri UMNO Kampung Sekati.

Jurucakap penganjur, Mohd Yassin, berkata tujuan utama pertandingan itu diadakan ialah untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat khususnya wanita.

"Selain itu, pertandingan yang akan dijadikan acara tahunan ini juga bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat terpendam dalam permainan badminton di kampung ini untuk dipertengahkan ke peringkat daerah ataupun negeri," katanya.

Katanya, Pasangan Salasiah Zakaria dan Aisyah Zakaria berjaya menjadi juara pertandingan dengan mengenepikan saingannya, Tengku Shahirah Tengku Anuar dan Fatihah Abdullah dalam perlawanan akhir manakala tempat ketiga, katanya, ialah milik Rosini Zakaria/Rosini Zakaria- Aminudin Ismail.

 

06 May 2014

MENGINGATI SETAHUN KEMENANGAN BN DALAM PRU KE 13- DOA BUAT PEMIMPIN

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Pilihan raya umum Malaysia ke-13 (PRU-13) telah diadakan pada 5 Mei 2013 setelah sebelumnya Parlimen dibubarkan pada 3 April .

Tentu ramai yang masih ingat, pilihan raya umum itu berlangsung pada hari Ahad dan kita di Terengganu telah diberikan cuti umum bagi membolehkan semua menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.



Alhamdulillah Barisan Nasional (BN) di peringkat negara dan Terengganu masih lagi bertahan dan mampu membina kerajaan biarpun mendapat asakan yang begitu hebat dari pembangkang.

Di Terengganu keputusan 17-15, kemenangan dengan majoriti mudah itu memberi peluang untuk BN amnya dan Umno khususnya meneruskan berkhidmat sebagai kerajaan.

Dalam pilihanraya, kemenangan walaupun dengan kelebihan 1 undi sekalipun ia tetap dikira menang, bahkan di negeri Kelantan pernah parti yang memerintah menang dengan hanya majoriti 1 kerusi sahaja.

Sebagai orang Umno dan pendokong BN, kita tentulah bersyukur di atas kurniaan Tuhan itu, sekalipun tidak mencapai tahap 2/3 majoriti.

Apa yang penting ialah kita perlu melihat kedudukan itu dengan penuh semangat usaha gigih untuk mempastikan kedudukan itu lebih baik di masa akan datang, khususnya dalam Pilihan Raya Umum ( PRU) ke 14.

Jangan pula kita sebagai ahli dan penyokong yang setia kepada parti cuba menimbulkan suasana yang keruh di sebalik keadaan yang sudah jernih, melainkan kita ada matlamat tertentu yang tersirat di hati.  Namun kalau kita berpegang kepada pesanan orang tua-tua supaya sentiasa teguh dalam perjuangan walau apa sekalipun rintangan dan halangannya.

Kita telah bertaat setia kepada parti dan perjuangan tidak mungkin akan khianati perjuangan suci kita melalui parti Umno ini, demi untuk agama, bangsa dan negara.

Jika kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya. Peribahasa Melayu ini sangat bertepatan dengan ajaran Islam yang mengajar umatnya untuk perpegang kepada konsep kesetiaan atau kejujuran. Dalam Bahasa Arab ia disebut Al-Wafa’.

Ia dapat didefinisikan sebagai sifat menepati janji, tidak khianat serta mempertahankan ikatan atau persetujuan yang telah dimeterai, iaitu menyokong dan menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh pimpinan parti kita.

Janji kita ialah untuk menangkan parti dan bukannya menangkan orang tertentu sahaja, maka sesiapa yang telah dinamakan sebagai calon, telah dilantik ke pelbagai jawatan, hatta Menteri Besar dan Ahli Exco Kerajaan dan apa apa kedudukan, maka kita terimalah seadanya.

Itulah janji setia kita kepada parti dan perjuangan kita atas nama agama, bangsa dan negara. Perjuangan dan kejayaan dengan penuh kesukaran, menghadapi lawan, Tuhan telah memberi peluang BN dan Umno meneruskan khidmatnya untuk rakyat.

Pertahankan kemenangan ini dan isilah kemenangan ini dengan pelbagai program pembangunan sebagaimana yang sedang dilaksanakan; maka janganlah ada yang cuba menganggu-gugat dan menimbulkan keadaan yang tidak stabil.

Setahun selepas PRU 13, memberikan kita semangat untuk meneruskan perjuangan yang belums selesai.


Hari ini Unit Komunikasi Negeri (UKOM) mengadakan majlis ringkas doa selamat dan jamuan meraikan setahun kemenangan BN, semoga Allah memberi kekuatan kepada pemimpin serta peneraju negara dan negeri ini untuk meneruskan agenda pembangunan rakyat.







UNTUK RAKYAT TERENGGANU YANG BERBAKAT DAN BERKEBOLEHAN DALAM SENI KHAT





100 penuntut Unisza, Besut sertai program belia.

GEMBIRA...kira-kira 100 penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin, Kampus Tembila, Besut bergambar kenangan ketika menyertai Program Jambori Belia di Kota Putera, Besut, baru-baru ini.

Penuntut dari Fakulti Informatik dan komputaran (FIK) dan Fakulti Pertanian, Bioteknologi dan Sains Makanan (FPBSM) itu menyertai pelbagai aktiviti pada program sehari itu, antaranya peramainan rakyat seperti boling kelapa, congkak dan guli.

Aksi satu permainan tradisional.
Seorang penuntut, Syahirah Halim berasal dari Bangi, Selangor berkata, program itu banyak memberi manfaat kepada beliau dan rakan-rakannya kerana selain dapat mengenali dekat lebih dekat masyarakat setempat, program itu juga dapat menghidupkan kembali beberapa permainan rakyat.

"Selain dapat mengeratkan hubungan silaturrahim dengan penduduk di kawasan ini, saya dan rakan-rakan juga gembira kerana dapat menyertai dalam beberapa acara permainan rakyat negeri ini, antaranya ialah bermain guli, congkak, terompah gergasi dan bowling kelapa yang mana saya memang jarang bermain permainan ini," katanya.- Aminudin Ismail.