Halaman

07 May 2014

Genap setahun mentadbir: Wakil Rakyat di Setiu buktikan kemampuan.

Gandingan yang mampu terus memakmur dan memajukan Setiu.
Oleh: Aminudin Ismail.

SABTU lalu genap setahun Pilihanraya Umum ke 13 diadakan dan pada hari itu, genap setahunlah pemerintahan Barisan Nasional di negeri Terengganu selepas memperolehi majoriti yang agak tipis iaitu lebih dua kerusi daripada pembangkang (17-15).

Namun kemenangan itu tetap memberi BN untuk membentuk kerajaan di negeri Terengganu, di mana Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Dato’ Seri Ahmad Said terus diberi kepercayaan pemimpin tertinggi UMNO sebagai Menteri Besar Terengganu.

Sebagaimana di ketahui umum, hanya dua parlimen sahaja di Terengganu ini yang berjaya menang di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Parlimen Besut dan Parlimen Setiu di mana kesemua kerusi itu dimenangi selesa pada PRU lalu.

Mohd Jidin...pemangkin Setiu.
Di Parlimen Setiu, sekalipun terdapat sedikit percaturan politik dalaman UMNO di mana ada segelintir pemimpin UMNO mengambil keputusan untuk ‘menentang’ kepimpinan Ketua Bahagian UMNO iaitu Adun Permaisuri, Dato’ Mohd Jidin Shafee namun Parlimen yang mempunyai hampir 80,000 pengundi itu tetap memilih Barisan Nasional untuk kembali mentadbir daerah itu.

Genap setahun pemerintahan BN di Setiu, sekalipun dibarisi empat muka baru yang tiada pengalaman sebagai wakil rakyat dan hanya Mohd Jidin yang mempunyai pengalaman itu tetapi ternyata empat ‘anak didik’ Exco kerajaan negeri ini termasuklah Ahli Parlimennya, Mohd Zulkifly Jusoh  mampu menjalankan tugas dengan baik dan cemerlang.

Pemilihan Bazlan Abdul Rahman, bekas guru, sebagai Wakil Rakyat Batu Rakit ternyata tidak sia-sia apabila orang kuat UMNO Batu Rakit itu terus menjalankan tugasnya sejurus selepas mengangkat sumpah sebagai Adun dengan melancar pelbagai strategi untuk memajukan dan memakmurkan bumi Dun Batu Rakit.

Antara agenda utamanya yang dianggap berjaya selepas dilantik wakil rakyat ialah mengatasi masalah banjir kilat di beberapa kampung di kawasanya yang sering ditengelami air akibat sistem perparitan yang kurang sempurna.

Bazlan...gigih berkhidmat.
Bazlan beberapa kali turun padang pada setiap kali berlakunya hujan lebat meninjau sendiri kampung terbabit dan beberapa langkah awal bagi mengatasi masalah itu sudahpun dilakukanya dengan meminta bantuan Pejabat Daerah Kuala Terengganu dan mengeluarkan peruntukan yang ada.

Seperkara lagi yang menarik tentang Bazlan ini, beliau begitu memperjuangkan nasib penduduk Pulau Redang di mana dia sendiri pernah menetap di pulau yang antara tercantik di dunia itu sebagai seorang guru selama beberapa tahun sebelum bertukar mengajar di daratan.

Sejak setahun memegang jawatan itu, Bazlan sudah beberapa kali ke Pulau Redang walaupun pada musim tengkujuh dan musim ombak berkucah demi untuk menyelesaikan beberapa masalah penduduk dan merasmikan beberapa program.

Bagi Bazlan menjalankan empat atau lima tugasan sehari sudah menjadi lumrah bagi, malah dia akan memenuhi apa jua undangan daripada majlis rasmi sehinggalah kepada minum bersama-sama penduduk di kedai kopi untuk melihat dan mendengar segala permasalahan rakyat.

Tahniah YB Bazlan, atas segala usaha itu, pastinya akan dihargai penduduk Batu Rakit, kekalkan momentan kerja selagi masih diberi kesihatan yang baik oleh Allah s.w.t . Semoga Dun Batu Rakit akan terus maju dan makmur di bawah tadbiran Barisan Nasional.

Dato' Sabri...mula di hati penduduk Langkap.
Dato’ Sabri Mohd Nor, Adun Langkap, yang sebelum ini hanya dikenali sebagai seorang usahawan berjaya di Setiu, tiba-tiba muncul sebagai calon Wakil Rakyat Dun Langkap. Walaupun pada mulanya ada desas-desus menyatakan beliau dikatakan ‘enggan’ menerima perlantikanya sebagai calon namun ternyata percaturan Mohd Jidin meletakan beliau sebagai calon BN Dun Langkap tepat dan tidak sia-sia.

Malah kemenangan majoriti yang lebih besar yang diperolehinya iaitu iaitu sebanyak 3,022 undi membuktikan penduduk Langkap mahu Sabri memimpin Langkap menjadi sebuah kawasan yang maju dan makmur.

Dato’ Sabri yang berkelulusan Diploma Ukur Bahan itu, sebenarnya seorang yang sudah lama aktif berpolitik dan pernah memegang beberapa jawatan dalam UMNO dan paling terbaru ialah Bendahari UMNO Bahagian sebelum menang jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiu pada pemilihan parti itu tidak lama dahulu.

Tanpa pengalaman sebagai wakil rakyat tetapi Sabri membuktikan bahawa dia mampu memikul amanah itu apabila beliau kini mula mendapat tempat di hati penduduk Langkap kerana kemuliaan hatinya serta sering mendampingi rakyat.

Menang sahaja sebagai wakil rakyat dalam PRU lalu, Sabri sudah mula memulakan agendanya ialah dia berjanji akan berusaha menyelesaikan masalah tanah di kawasan Langkap itu termasuklah berusaha mendapat geran bagi tanah sudah lama diduduki yang memenuhi syarat.

Dia juga tidak loket mambantu golongan yang kurang kemampuan yang memerlukan bantuan serta golongan OKU malah ada dikatakan ada penduduk miskin yang datang berjumpanya kerana masalah bil air dan api tertunggak dan ada yang dia selesaikan bagi meringankan beban penduduk itu.

Sabri juga tidak menghampakan mana-mana pihak yang menjemputnya untuk merasmikan sesuatu majlis termasuklah mesyuarat PIBG malah dia pernah menghadiri majlis itu lebih tiga kali dalam sehari serta beberapa program lain yang memerlukan beliau hadir.

Ternyata selama setahun mentadbir Langkap, Sabri sudah melaksanakan dan menyelesaikan beberapa agendanya dan kepimpinannya cukup kuat di Langkap malah ada di kalangan ahli pembangkang yang memujinya sebagai seorang yang berhati mulia.

Semoga Allah s.w.t akan terus memberi kesihatan yang baik kepada Dato’ Sabri bagi membolehkan beliau terus mentadbir Langkap untuk beberapa penggal lagi kerana saya yakin untuk terus menjadi wakil rakyat Langkap hanya perlu beliau bertanya kepada dirinya sendiri kerana penduduk Langkap, Insya Allah akan terus memilihnya pada PRU akan datang.

....bersambung mengenai tiga lagi Wakil Rakyat di Parlimen Setiu ini pada keluaran akan datang dan teruskan klik TEGANUKITA.