Halaman

10 May 2014

Koperasi jadi modus operandi Umno Kuala Terengganu dekati rakyat

Oleh: Aida Abd Rahman

Penubuhan Koperasi Pembangunan Rakyat Parlimen Kuala Terengganu akan menjadi satu `modus operandi’ bagi membantu rakyat dan mendekati semua pihak termasuk di kalangan bukan ahli Umno, kata Dato’ Sri Hasan Malik.

Dato' Sri Hasan Malik menurunkan tandatangan ke atas plug perasmian Koperasi Pembangunan Rakyat Parlimen Kuala Terengganu Berhad.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berkata demikian ketika berucap sempena pelancaran Koperasi Pembangunan Rakyat Parlimen Kuala Terengganu, di Bangunan Umno Gong Kapas, Kuala Terengganu, hari ini.


Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi; Naib Ketuanya, Encik Badrol Hisham Zaki; Ketua Wanita, Puan Rozalina Mokhtar ; Ketua Pemuda, Dr Najmil Fais Mohamad Aris dan Ketua Puteri, Puan Nia Notieya Zaharuddin.

“Saya percaya Umno Bahagian Kuala Terengganu mempunyai kekuatan dan kelebihan yang tersendiri. Malah, penubuhan koperasi kali ini sejajar dengan peranan Umno itu sendiri yang sentiasa berusaha memberi peluang dan bantuan kepada rakyat.

“Kehadiran saya bagi merasmikan koperasi ini membuktikan kementerian saya begitu serius untuk memastikan lebih banyak koperasi di negara ini diwujudkan termasuk Koperasi Pembangunan Rakyat Parlimen Kuala Terengganu supaya dapat bergerak maju dan berdaya saing sebagaimana koperasi di negara lain.Ini hasrat saya,”katanya.

Dato' Sri Hasan berkata, sokongan dan dokongan oleh semua pihak termasuk Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan KPDNKK terhadap penubuhan koperasi berkenaan dapat merealisasikan matlamat menjana ekonomi penduduk malah menyatupadukan masyarakat setempat dalam gerakan kerjasama yang erat serta padu dalam menempuhi cabaran semasa.

Di majlis itu, beliau turut meluluskan dana permulaan sebanyak RM30,000 kepada koperasi itu bergerak dan akan menambah peruntukan dari masa ke semasa bergantung kepada prestasi badan itu di masa depan.

Sementara itu, Datuk Mohd Sabri berkata pihaknya mensasarkan seramai 2,700 ahli Umno bahagian itu akan menanggotai koperasi yang mengehadkan minima nilai syer RM100 dan maksimum RM3,000.

“Kita berhasrat untuk melihat sekurang-kurangnya koperasi ini mampu menjadi sumber pendapatan kepada ahli koperasi itu sendiri. “Setakat ini, kita daftarkan jawatankuasa kanan Umno Bahagian Kuala Terengganu terlebih dahulu yang berjumlah 120 orang. Selepas selesai penubuhan, dalam tempoh dua minggu lagi kita akan edarkan borang melalui cawangan supaya mereka mengisi dan menghantarnya semula kepada kita,” katanya.

Menurutnya, koperasi itu juga tidak hanya terikat kepada ahli Umno semata-mata berikutan turut terbuka keanggotaannya kepada golongan `atas pagar’ dan bukan ahli Umno yang berminat.