Halaman

05 May 2014

Orang Ramai Sokong Pembinaan Litar

Oleh: Suriati Ali

Orang ramai terutama peminat sukan pemotoran menyatakan sokongan penuh hasrat kerajaan negeri membina Litar Lumba berhampiran Kompleks Sukan Gong Badak Kuala Terengganu. Pembinaan yang bakal bermula tahun depan itu mampu menangani masalah kegiatan lumba haram dikalangan mat motor di negeri ini.

 Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said pada Majlis Penutupan Karnival Pemotoran Terengganu 2014, di Perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, kelmarin.

Naib Presiden Persatuan Pemotoran Daerah Hulu Terengganu, Othman Endut, berkata pihaknya ingin menyatakan terima kasih kepada kerajaan negeri khususnya Menteri Besar kerana memahami jiwa peminat sukan pemotoran.

 Katanya, langkah itu sangat bertepatan dan yakin kewujudan litar lumba tersebut, sudah tentu dapat mengurangkan masalah mat motor di Terengganu yang sering mengganggu ketenteraman pengguna jalan raya. “Sudah tiba masanya mereka membuktikan kehebatan menunggang motosikal dengan berlumba di litar lumba yang dilindungi insuran.

 “Sebaliknya, tidak wajar menjadikan jalan raya sebagai lokasi menunjuk bakat kerana sudah tentu mengancam keselamatan dan membahayakan nyawa pengguna lain,” katanya dihubungi Teganukita.

 Othman turut memberitahu, jika mat motor menggunakan kaedah yang betul, mereka bukan saja dilindungi insuran malah ditegaskan memakai pakaian keselamatan, kasut dan topi kaledar. Katanya, segala peraturan yang ditetapkan itu sudah tentu menjamin keselamatan penunggang.

 “Kita tidak mahu lagi mendengar kejadian mengerikan atau istilah orang awam `mati katak. Oleh itu sewajarnya mat motor menggunakan peluang ini sebai mungkin untuk beraksi,” katanya.