Halaman

07 December 2012

Bomba berjaya selamat harta benda bernilai RM253.22 juta

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu berjaya menyelamatkan harta benda bernilai RM253.22 juta dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Pengarahnya, Encik Md Salleh Sarbini berkata, kerugian akibat kebakaran pula bernilai RM31.85 juta.serta merekodkan 2,120 panggilan kecemasan dalam tempoh tersebut berbanding tahun lalu sebanyak 2.404 panggilan.

Katanya, daripada jumlah panggilan itu, sebanyak 874 membabitkan panggilan kebakaran, 1,192 penggilan menyelamat antaranya kemalangan jalan raya dan lemas serta 54 panggilan khidmat khas.

 "Dalam tempoh sama, satu kematian direkodkan akibat kebakaran di loji minyak di Kertih " katanya pada sidang akhbar sempena Perhimpunan Bulanan JBPM Terengganu di pejabatnya.

Menurutnya, kes kebakaran rumah dan belukar paling banyak berlaku yang berpunca daripada kelalaian manusia seperti aktiviti di dapur dan masalah pendawaian elektrik.

Katanya, ada sesetengahnya rumah kediaman mempunyai pendawaian elektrik yang telah lama di samping penggunaan alat elektrik yang tidak dijamin kualiti dan penggunaan elektrik secara berlebihan.

Beliau juga memuji sikap dan kesedaran masyarakat hari ini semakin meningkat terhadap keselamatan kebakaran dan mangsa kebakaran didapati bertindak cepat menyelamatkan diri serta memadamkan kebakaran sebelum ketibaan bomba. `

`Ini membuktikan kempen kesedaran yang sering diadakan oleh jabatan dipraktikkan sebaik-baiknya di samping kerjasama masyarakat setempat untuk membantu,” katanya.

Selain itu beliau berbangga dengan pasukan bomba sukarela terutama di kawasan-kawasan perumahan untuk membantu memadamkan kebakaran sebelum ketibaan jentera bomba.

 Katanya, ahli pasukan bomba sukarela diberi latihan kebombaan dalam tempoh tertentu untuk membolehkan mereka dapat melakukan kerja-kerja memadamkan kebakaran dengan baik.

Kerajaan negeri perkasa Sekolah Imtiaz

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Kerajaan Terengganu akan memperkasa Sekolah-Sekolah Imtiaz di negeri ini kerana ia mampu menjana masyarakat yang mampu hafaz al-Quran serta cemerlang di bidang pelajaran. Menteri Besar,

Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata tahun ini 287 pelajar dari sekolah berkenaan mampu menghafal al-Quran dan mereka diberi RM1,000 seorang sebagai imbuhan.

 “Bagi tujuan itu kerajaan negeri membelanjakan RM287,000 bagi memberi sagu hati sebagai dorongan kepada pelajar yang telah menghafal al-Quran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan al-Quran Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, pada masa ini terdapat lima buah Sekolah Imtiaz di negeri ini di mana setiap daerah kecuali Marang dan Setiu, mempunyai sekolah berkenaan.

“Kita akan memperkasakan sekolah Imtiaz sedia ada dan membina dua buah sekolah lagi iaitu di daerah Marang dan Setiu bagi membolehkan lebih ramai pelajar masuk ke sekolah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, ramai ibu bapa dari negeri-negeri lain berminat menghantar anak-anak mereka belajar di Sekolah Imtiaz, tetapi setakat ini kerajaan negeri hanya memberi peluang 10 peratus pelajar luar melanjutkan pelajaran di sekolah berkenaan.

 “Kita tidak bercadang untuk menambah kuota berkenaan bagi memastikan pelajar tempatan diberi lebih peluang untuk belajar di sekolah Imtiaz,” katanya.

 

Umat Islam dilarang ikut fahaman individu tertentu

 Oleh: Suriati Ali

 Umat Islam di negara ini digesa mereformasikan kehidupan seharian mereka berlandaskan kepada ajaran Islam sebenar dan bukannya bergantung kepada fahaman individu tertentu.

 Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Ilmuan Malaysia, Ustaz Fathul Bari Mat Jahya, berkata golongan liberal kurang memahami sensitiviti masyarakat beragama Islam.

 “Kebebasan tanpa batasan yang diperjuangkan mereka bukan saja menimbulkan pelbagai kesan yang boleh menjejaskan fitrah kejadian manusia malah boleh memusnahkan ajran fundamental setiap agama.

“Perjuangan mereka hanya tertumpu kepada aspek material dan mengenepikan perkara berkiatan kerohanian,” katanya ketika membentangkan isu `Serangan Akidah Di Zaman Globalisasi kepada peserta Seminar Maal Hijrah di Menara Yayasan Islam Terengganu, Kuala Terengganu, semalam.

 Katanya sedangkan manusia dicipta dalam bentuk tubuh badan dan jiwa atau roh, kehidupan manusia tidak akan mencapai kebahagiaan hakiki jika salah satu daripada aspek ini diabaikan

“Hasil perjuangan liberal, maka wujud golongan bertuhankan hawa nafsu tanpa batasan yang dikenali sebagai masyarakat `hedonistic’ yang tiada haluan dan pendoman hidup.

 “Apabila perkara itu wujud, tidak hairanlah akan timbul budaya songsang dan menjijikkan seperti lesbian, biseksual, gay dan transgender (LBGT),” katanya.

 

Ahli SRS Felda terima kad keahlian

Oleh: Nurul Aziela Saberi

Seramai 90 orang ahli Skim Rondaan Sukarela (SRS) telah menerima Sijil Rukun Tetangga dan Kad SRS di Dewan Orang Ramai Felda Kerteh 5 semalam.



Sejak SRS ditubuhkan pada tahun 2007, warga Felda Kerteh 5, Kg. Baru dan Kg. Semai Bakti sama-sama menjalankan tugasan seperti membuat rondaan setiap malam, memberi pertolongan apabila berlaku sebarang kecurian dan sentiasa bersedia demi memastikan keselamatan orang kampung terjaga.

Pengerusi Rukun Tetangga Felda Kerteh 5, Nik Ramli Nik Mat berkata, dengan adanya kad keahlian SRS ini dapat membangkitkan lagi semangat warga kampung untuk lebih bertanggungjawab dalam memikul amanat demi menjaga keharmonian kampung.

Namun begitu, ahli SRS yang semakin bertambah tidak boleh menyalahgunakan kad keahlian ketika bertugas dan membelakangkan pihak berkuasa seperti polis.



Sekiranya berlaku kes jenayah yang melibatkan nyawa, perkara ini perlulah dilaporkan kepada pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum bertindak bagi menggelak keadaan menjadi bertambah buruk.

Menurut Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Terengganu, En. Tukimin Haji Sarlan, penglibatan golongan belia dalam sukarelawan Rukun Tetangga semakin merosot saban tahun.

Hal ini berlaku kerana kurangnya kesedaran dalam diri mereka untuk sama-sama menjaga keharmonian kawasan setempat dan mereka hanya bergantung kepada pihak polis semata.

“Walau bagaimanapun, perkara ini perlu dipandang serius bagi menjaga kesejahteraan penduduk setempat memandangkan kebanyakan yang berjaga malam adalah orang tua.

“Kurangnya pendedahan mengenai betapa pentingnya sikap rukun tetangga dalam diri mereka juga menjadikan golongan belia ini kurang berminat untuk menyertai sama SRS”, katanya ketika merasmikan majlis itu semalam.

Turut hadir, Pegawai Pejabat Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Kemaman, Pn. Masturul Jannah Rashid, Ketua Balai Polis, S.M Abdul Halim dan Ketua Peneroka En. Rashid Ahmad.



Masyarakat wajar faham erti wasatiyah

Oleh: Suriati Ali 

 “Wasatiyah mempunyai pelbagai maksud, ia boleh disebut sebagai keseimbangan dan kesaksamaan antara dua pihak, yang mana satu tidak mengatasi yang lain.

 “Ia juga boleh ditafsirkan sebagai suatu keadaan yang tidak terlalu beku atau terlalu longgar,” kata Penceramah Bebas Ustaz Dr Zulkifli Muda ketika menjelaskan isu `Wasatiyah Dalam Akidah Islam’ kepada peserta Seminar Maal Hijrah di Menara Yayasan Islam Terengganu, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, kalau dikaitkan dengan agama, wasatiyah memberi maksud adil, kebaikan, keadilan dan ketinggian.

 “Apabila wasatiyah disandarkan ke[ada umat Islam, maka ia memberi makna umat yang mencapai sifat-sifat mahmudah atau terpuji yang terbit daripada kedudukan syariat Allah yang bersifat sederhana.

“ Dengan itu, umat Islam dianggap sebagai penghulu segala umat, ketua segala bangsa dan menjadi saksi ke atas mereka pada hari akhirat,” katanya.

 Ustaz Dr Zulkifli turut memberitahu ajaran pluralisme agama pula berkait rapat dengan akidah di mana pengangan sebegitu boleh merosakkan iman seseorang.

“Perkara akidah adalah teras kepada jati diri orang Islam, jika rosak sudah tentu taiad makna keimanan seseorang itu walaupun ia mengakui dirinya sebagai Islam sejati.

“Harus diingat bahawa perbezaan agama dikalangan masyarakat di Malaysia bukan berpunca kepada perpecahan. Perbezaan beragama harus dihormati antara satu sama lain,” katanya.

 

06 December 2012

T-Team senarai nama 26 pemain

T-TEAM hari ini menyenaraikan nama 26 pemain, termasuk dua pemain import untuk saingan Liga Malaysia musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Rashid Jusoh, berkata pihaknya kini dalam proses membuat pendaftaran pemain dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang akan ditutup Khamis ini.

“Bagi musim baru ini, rata-rata pemain tempatan kita berumur bawah 25 tahun kecuali ketua pasukan, Mohd Marzuki Yusof yang akan masuk usia 32 tahun depan.

“Kita membuat pemilihan pemain yang tepat kerana matlamat kita ialah untuk mencapai sekurang-kurangnya sasaran satu piala dapat dibawa pulang tahun depan,” katanya kepada pemberita pada majlis ramah mesra pemain dengan peminat di sini hari ini.

Turut hadir jurulatih Peter James Butler yang juga bertindak selaku pengurus pasukan.

Terdahulu T-Team mengikat kontrak selaa setahun dua pemain import iaitu Antwi George Boateng dari Ghana dan Caleb Colman Folan dari Ireland. Menurut Rashid, untuk persiapan tahun depan,

T-Team terpaksa menggunakan khidmat ramai pemain luar dari Terengganu berikutan ramai pemainnya telah berhijrah ke pasukan negeri lain.

Senarai Pemain T-Team 2013:

PENJAGA GOL: Suhardy Alby, Mohd Iqbal Suhimi.

PERTAHANAN: Mohd Shazlan Alias, Md Hassan Basri Ahmad Ridzuan, Aizulrizwan Mustafa, Mohd Nuraliff Zainal Abidin, G. Mahathevan, Mohd Marzuki Yusof, Mazlizam Mohamad, Mohd Syuhiran Zainal, Humaidi Azmi.

TENGAH: Ismal Halil, Saiful Mohamad, Mohamad Hasbullah Awang, Antwi George Boateng, Mohd Badrul Hisyam Morris, Azrul Hazran Amiluddin Baki, Shafuan Adli Shaari, Pritam Singh Charun Singh, Muhamad Naim Zakaria, Muhammad Hafizan Talib, Ahmad Takhiyuddin Roslan.


SPR puas hati persiapan PRU-13 lancar

Oleh; Esah Abdullah

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) berpuas hati dengan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang berjalan lancar dan penerimaan parti-parti politik berhubung penerangan perjalanan pilihan raya berkenaan.

Timbalan Setiausaha SPR, Dato’ Haji Noordin Che Ngah berkata, setakat ini semua negeri kecuali Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka sudah diberikan taklimat berkaitan proses pilihan raya.

Katanya, SPR kini dalam proses memberi Taklimat dan Simulasi Pengundian yang dijalankan di seluruh negara bagi memberi penerangan secara teperinci mengenai penggunaan dakwat kekal serta pengundi pos.

“Setakat ini kita telah melaksanakan tugas kita dan pemimpin parti- parti politik dilihat berpuas hati,” katanya dalam sidang media selepas program Taklimat dan Simulasi Pengundian kepada Pemimpin Parti-parti Politik Negeri Terengganu di Primula Beach Resort Kuala Terengganu hari ini.

Hadir sama Pengarah SPR Terengganu Haji Fakhrul Razi Abdul Wahab.

Bagaimanapun, Dato’ Haji Noordin berkata, masih terdapat segelintir individu tidak memahami serta enggan menerima penerangan yang diberi serta terus tidak mempercayai SPR dan anggota polis.

“Kita tak boleh buat apalah dengan orang sebegini, kerana dia terus berkeras mengatakan SPR dan polis ini tidak boleh dipercayai, Yang pentingnya kita telah menjalankan tugas dengan jujur,” katanya.

Katanya, walaupun terdapat dakwaan mengatakan ada individu mengundi dua kali tetapi itu sekadar tomahan liar dan ia tidak pernah sampai kepada SPR .

“Saya berharap mereka yang ada bukti sila buat laporan polis agar siasatan boleh dijalankan,” katanya.

Dato’ Haji Noordin turut memaklumkan sedikit perubahan bagi pengundi pos membabitkan anggota polis yang akan dikendalikan oleh petugas pilihan raya dan wakil parti politik dibenar masuk sebagai pemerhati.

MB minta pemimpin, ahli Umno hayati amanat PM

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Semua pemimpin dan ahli Umno diminta menghayati amanat Presiden Umno, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang meminta mereka semua mengetepikan kepentingan diri, sebaliknya mengutamakan Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kerajaan sedia ada terus memerintah negara ini.



Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata ucapan Presiden sewaktu merasmikan dan menggulung Perhimpunan Agung parti itu minggu lalu amat jelas dan mesej beliau sudah mencukupi bagi semua pihak untuk memperkemaskan kedudukan parti.

“Saya yakin jika semua pihak menghayati intipati ucapan Presiden dan sedia untuk bersama-sama berganding tenaga pada pilihan raya akan datang, Umno dan BN akan mencapai kemenangan yang mutlak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan al-Quran Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad yang juga Menteri Besar berkata, Umno Terengganu tidak risau tentangan daripada pihak pembangkang kerana mereka tidak kuat.

“Kita mahu pemimpin dan ahli Umno akur dengan pemilihan calon yang akan diputuskan pucuk pimpinan parti dan bekerja keras bagi memenangkan semua calon yang dipilih nanti.

“Jika semua pihak menyokong calon dan tidak melakukan sabotaj, Umno dan BN boleh menang besar pada pilihan raya akan datang,” ujar beliau. Beliau berkata, rakyat kini sudah bosan dengan perjuangan Pas dan parti pembangkang lain yang hanya pandai menabur janji-janji kosong.

“Kita harap pekerja parti dan pemimpin menjalankan tugas mereka dengan ikhlas dan merapatkan jurang perbezaan demi menjamin kemenangan Umno dan BN,” katanya.

Beliau berkata, masalah perpaduan di kalangan pemimpin Umno tempatan sudah diperbaiki dan keadaannya jauh lebih baik berbanding beberapa tahun lalu.

 

Kerajaan akan usahakan asrama pelajar di Rusia

Oleh: Kamarudin Mat Akib 


Kerajaan negeri akan berusaha menyediakan asrama pelajar di Rusia bagi menempatkan pelajar Terengganu yang sedang menuntut di negara berkenaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata beliau dan beberapa pegawai kerajaan akan pergi ke negara itu tahun depan bagi mencari bangunan yang sesuai untuk disewa sebagai asrama.

“Kita akan menyewa atau memajak bangunan yang sesuai di negara berkenaan untuk dijadikan asrama bagi mengatasi masalah pelajar mendapatkan tempat tinggal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan al-Quran Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Pengarah YT, Haji Zakaria Yusof dan ibu bapa pelajar Imtiaz seluruh Terengganu turut hadir bagi memeriahkan majlis berkenaan.



Bercakap kepada wartawan selepas majlis itu, Menteri Besar, berkata pada masa ini terdapat 189 pelajar tajaan YT sedang menuntut di bidang perubatan di dua buah universiti di Rusia.

“Baru-baru ini saya bertemu dengan wakil pelajar dari negara itu di Kuala Lumpur dan mereka menyebut masalah ini agar kerajaan negeri membantu menyediakan kemudahan tersebut kepada pelajar,” katanya.

Beliau berkata, pada masa ini pelajar yang menuntut di negara itu menggunakan perkhidmatan ‘orang tengah’ untuk menyewa rumah kerana kesukaran mendapatkan kemudahan itu.

Tambahan pula, katanya, harga sewa tidak menentu dan mereka menggunakan sistem siapa cepat dia dapat menyebabkan kesukaran bagi pelajar baru mendapat rumah kediaman.

Katanya, kerajaan negeri tidak mahu masalah tersebut akan menganggu pembelajaran pelajar berkenaan dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mencari jalan menyelesaikannya.

 



Semua pihak diminta tolak LBGT

Oleh: Suriati Ali 

 Semua golongan diminta bersama-sama kerajaan menentang habis-habisan ejen songsang yang mempromosikan budaya dan cara hidup lesbian, biseksual, gay dan transgender (LBGT) di negara ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Muhammad Ramli Nuh, berkata Islam mengharamkan hubungan sejenis, sehubungan itu mana-mana pihak yang mahu menghalalkan perkara yang diharamkan di sisi agama adalah dikira murtad.

Katanya, ramai yang mengetahui budaya LGBT boleh menyumbang kepada keruntuhan akhlak yang lebih teruk sekiranya dibenarkan diamalkan di negara ini.

“Ada individu luar negara memohon keizinan mahkamah supaya membenarkannya berkahwin dengan pasangan sejenis, tetapi permohanan itu tidak diluluskan kerana dibimbangi pelbagai gejala negatif berlaku,” katanya.

“Ejen songsang itu pula ingin mengiktiraf walaupun mengetahui umat Islam di negara ini menentang keras budaya jijik, tidak berakhlak dan memalukan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Maal Hijrah di Menara Yayasan Islam Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini.

Pada seminar itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Ilmuan Malaysia, Ustaz Fathul Bari Mat Jahya selaku pembentang utama menjelaskan isu `Serangan Akidah Di Zaman Globalisasi.

 Manakala Penceramah Ustaz Dr Zulkifli Muda pula membentangkan tajuk `Wasatiyyah Mengikut Perspektif Akidah’.

Kira-kira 500 peserta terdiri daripada wakil-wakil jabatan kerajaan, badan berkanun, swasta, pemimpin masyarakat dan pelajar hadir pada majlis anjuran Yayasan Islam Terengganu.

 YB Muhammad Ramli turut memberitahu dia yakin masyarakat yang waras akan menolak LGBT ini kerana jelas Islam mengharamkan hubungan sejenis.

 “Sebaliknya hanya membenarkan perkahwinan antara lelaki dan perempuan. Kegiatan LBGT bukan sahaja ditentang semua agama malah ia terbukti menghapuskan keseluruhan asas kekeluargaan,” katanya.