Halaman

06 December 2012

SPR puas hati persiapan PRU-13 lancar

Oleh; Esah Abdullah

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) berpuas hati dengan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang berjalan lancar dan penerimaan parti-parti politik berhubung penerangan perjalanan pilihan raya berkenaan.

Timbalan Setiausaha SPR, Dato’ Haji Noordin Che Ngah berkata, setakat ini semua negeri kecuali Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka sudah diberikan taklimat berkaitan proses pilihan raya.

Katanya, SPR kini dalam proses memberi Taklimat dan Simulasi Pengundian yang dijalankan di seluruh negara bagi memberi penerangan secara teperinci mengenai penggunaan dakwat kekal serta pengundi pos.

“Setakat ini kita telah melaksanakan tugas kita dan pemimpin parti- parti politik dilihat berpuas hati,” katanya dalam sidang media selepas program Taklimat dan Simulasi Pengundian kepada Pemimpin Parti-parti Politik Negeri Terengganu di Primula Beach Resort Kuala Terengganu hari ini.

Hadir sama Pengarah SPR Terengganu Haji Fakhrul Razi Abdul Wahab.

Bagaimanapun, Dato’ Haji Noordin berkata, masih terdapat segelintir individu tidak memahami serta enggan menerima penerangan yang diberi serta terus tidak mempercayai SPR dan anggota polis.

“Kita tak boleh buat apalah dengan orang sebegini, kerana dia terus berkeras mengatakan SPR dan polis ini tidak boleh dipercayai, Yang pentingnya kita telah menjalankan tugas dengan jujur,” katanya.

Katanya, walaupun terdapat dakwaan mengatakan ada individu mengundi dua kali tetapi itu sekadar tomahan liar dan ia tidak pernah sampai kepada SPR .

“Saya berharap mereka yang ada bukti sila buat laporan polis agar siasatan boleh dijalankan,” katanya.

Dato’ Haji Noordin turut memaklumkan sedikit perubahan bagi pengundi pos membabitkan anggota polis yang akan dikendalikan oleh petugas pilihan raya dan wakil parti politik dibenar masuk sebagai pemerhati.