Halaman

06 December 2012

Kursus Asas Fotografi pikat golongan muda

Oleh :Amirullah Othman

Seramai 30 peserta terdiri daripada anak-anak muda dari seluruh negeri menyertai program Kursus Asas dan Komposisi Seni Fotografi di Motel Desa, semalam.

Kursus tersebut bertujuan mendedahkan mereka kepada teknik-teknik fotografi yang dikendalikan tenaga pengajar hebat dan berpengalaman. Yusnirafi Yahya, Pengerusi Kelab Fotografi Kuala Terengganu merupakan penganjur program itu dan amat berpuas dengan kerjasama dan peningkatan teknik semua peserta yang hadir.

Beliau juga turut melahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana program ini merupakan idamannya sejak dulu lagi atas rasa minat yang sangat mendalam dalam bidang fotografi.

Amirul Mukminim merupakan pengelola program dan membuat pengisian yang tersusun dan sistematik dengan mengadunkan teori dan amali.

Salah seorang peserta, Basha Suri dari Felda Mengkawang amat berterimakasih kepada penganjur dan dia selalu menantikan peluang bagi mengikuti kursus secara percuma kerana anak Felda sepertinya tidak mampu mengikuti program seumpama itu jika dikenakan bayaran.

Tenaga pengajar untuk program ini adalah Mohd Asri Yusof dari Eman Foto Enterprise yang merupakan jurugambar profesional dan sering dipilih sebagai jurugambar di majlis-majlis perkahwinan.

Program itu bertujuan menjinakkan anak-anak muda kepada bidang fotografi sebagai salah satu hobi untuk memenuhi masa lapang dan juga sebagai punca pendapatan dengan moto “cemerlang bersama fotografi”.

Langkah itu juga bertujuan mengalihkan perhatian golongan muda kepada budaya tidak sihat seperti melepak dan merempit.