Halaman

04 December 2012

Projek naik taraf HSNZ hampir selesai

Oleh: Noraini Jusoh

Projek naik taraf Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang melibatkan peruntukan RM129.9 juta memasuki fasa terakhir dan dijangka siap sepenuhnya tidak lama lagi.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Anwa Sulaiman berkata, antaranya membabitkan pembinaan Kompleks Pakar Materniti serta projek naik taraf unit kecemasan.

"Pembinaan Kompleks Pakar Materniti yang menempatkan wad bersalin serta kemudahan yang berkaitan dengan kehamilan serta kelahiran bayi dijangka siap pada 8 Mac depan.

"Apabila siap sepenuhnya nanti, Kompleks Pakar Materniti yang mempunyai blok bangunan setinggi 6 tingkat diharap dapat mengurangkan masalah kesesakan pesakit di wad bersalin sedia ada seperti sekarang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas selesai Majlis Pelancaran Kutipan Derma Kemanusian Palestin 2012, baru-baru ini. 

Katanya, projek naik taraf unit kecemasan pula di peringkat pelaksanaan kerja-kerja terakhir dan pada 6 Disember ini pemeriksaan akhir akan dilakukan oleh pihak jabatan, Kementerian Kesihatan serta kontraktor yang terlibat.

"Projek naik taraf unit kecemasan melibatkan pertambahan bilik serta kelengkapan yang lebih canggih untuk mengatasi masalah kesesakan serta ketidakselesaan pesakit,” ujarnya.

Justeru, dengan siapnya projek tersebut akan memudahkan pesakit dan orang ramai yang berurusan di HSNZ.