Halaman

03 December 2012

Sukan luncur ombak tarik pelancong ke Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh

Pertandingan sukan luncur ombak mampu menjadi salah satu produk pelancongan yang dapat menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Terengganu 2013.

Demikian ditegaskan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said ketika merasmikan majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan ‘Terengganu Rip Curl Pro Contest 2012’ bertempat di Pantai Peranginan Batu Buruk, semalam.

Pertandingan yang berlangsung selama tiga hari bermula 30 November lalu berjaya menarik penyertaan 120 peserta dari 12 buah negara termasuk Malaysia, Maldive, Indonesia, Taiwan serta Thailand.

Dianjurkan kerajaan negeri Terengganu dengan kerjasama Rip Curl Malaysia dan Asian Surfing Championship (ASC), pertandingan sukan luncur ombak yang kali kedua dianjurkan kerajaan negeri menyediakan hadiah yang cukup lumayan kepada para pemenang.

Bagi kategori ‘Longboard Open’ peserta dari Indonesia, Arip Nurhidayat berjaya merebut tempat pertama dengan membawa pulang wang tunai RM1500 beserta trofi.

Tempat kedua dimenangi Tipi Jabrik juga dari Indonesia yang berjaya membawa pulang wang tunai RM1000 beserta trofi.

Manakala tempat ketiga dan keempat milik Decha Sithidej dari Thailand dan Khairil Doje dari Malaysia dimana masing-masing berjaya memenangi wang tunai RM800 dan RM500 beserta trofi.

Dato’ Abdul Rahin dalam ucapan ringkasnya turut mengucapkan tahniah kepada pemenang serta semua yang terlibat dalam kejohanan bertaraf antarabangsa ini.

"Tahniah kepada pemenang dan bagi pihak kerajaan negeri saya menjemput semua yang menyertai pertandingan luncur ombak pada kali ini untuk sama-sama mengikuti Kejohanan Piala Monsun 2012 yang bermula 3 Disember,” ujarnya.