Halaman

02 December 2012

Kesetiaan jadi tunjang kekuatan parti

Oleh: Aida Abd Rahman

Kesetiaan terhadap parti menjadi tunjang utama kepada kekuatan Umno dan juga Barisan Nasional (BN) seterusnya mengekalkan pemerintahan pada Pilihan Raya Umum (PRU13).

Maka, bersandarkan kepada perkara pokok itu, Presiden Umno, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak meminta kesemua perwakilan Umno 2012 di PWTC, yang berakhir petang semalam `tepuk dada, tanya selera’ sebaik selesai perhimpunan itu, terhadap soalan cepu emas beliau yang berbunyi “Kalau anda tidak terpilih sebagai calon, adakah anda akan sokong sepenuhnya calon yang dipilih Umno dan BN?”.

Di sebalik soalan itu, beliau seraya menyenaraikan lima kemungkinan jawapan yang sewajarnya dipertimbangkan oleh perwakilan serta ahli Umno, iaitu pertama, akan sokong sepenuhnya calon yang dipilih parti; kedua, sokong, ketiga, tak bekerja; keempat, sabotaj dan kelima, lompat parti.

Menurut Dato’ Seri Najib `survey’ yang tidak perlu dijawab dalam borang, sebaliknya hanya memerlukan jawapan ikhlas dalam jiwa sanubari setiap ahli Umno itu cukup penting sebagai kayu ukur terhadap kesetiaan ahli Umno memperjuangan kedaulatan parti selama ini.

Sekiranya kesemua ahli parti dan perwakilan seia-sekata memilih jawapan `pertama’, pastinya PRU13 BN mampu mempertahankan mandat rakyat sekali gus memenangi dua pertiga kerusi yang dipertandingkan nanti.

Pun begitu, Perdana Menteri turut meluahkan kegusaran pada pilihan raya nanti, bukan kerana kekuatan pembangkang selain beliau turut meletakkan keyakinan bahawa rakyat sudah mampu menilai parti sebenar yang mampu memperjuangkan nasib bangsa dan agama, tidak lain tidak bukan pastinya Umno dan BN serta mampu memihak kepada parti itu.

Sebaliknya, Dato’ Seri Mohd Najib khuatir jika matlamat sebenar dalam memperjuangkan parti dan mempertahankan kedaulatan dan kesucian agama Islam, membela nasib Melayu dan negara terjejas ekoran wujudnya rasa kecewa apabila tidak terpilih sebagai calon.

 “Yang saya khuatir sikit saja, soal kita sesama kita. Katakan dengan penuh yakin dan percaya, katakan dari hati dan jiwa kita, demi Islamdemi Melayu, demi Malaysia, demi bumi bertuah kita, demi anak cucu kita, kita mesti setia pada perjuangan umno demi kedaulatan dan kesucian agam Islam kerana Umno mempertahankan Islam.

 “Kita mesti taat kepada pemimpin parti demi kemenangan parti kerana hanya Umno pembela rakyat,” kata Perdana menteri dalam ucapan penggulungan beliau itu lagi.

Selain itu juga, intipati sebalik ucapan penggulungan beliau semalam turut menyentuh mengenai usaha kerajaan yang bakal menubuhkan institusi Umno dalam tempoh terdekat bagi menyediakan barisan kepimpinan generasi baru parti yang lebih ampuh bagi berdepan cabaran akan datang.

Malah, beliau turut mengumumkan had pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia ditambah sekali ganda menjadi RM100,000, berbanding hanya RM50,000 sebelum ini.

Pada masa yang sama, kerajaan akan mengkaji semula Undang-Undang kebangkrapan yang terlalu ketat serta mencari jalan melepaskan mereka yang diisytiharkan muflis.

 Presiden Umno juga meminta semua ahli Umno lebih celik media sosial berikutan kemajuan dunia tanpa sempadan hari ini menyebabkan segala fitnah dilemparkan terhadap parti menerusi medium berkenaan.